Sunday, September 26, 2010

PETUA-PETUA MEMPERBAIKI KOMUNIKASI ANTARA PERSEORANGAN

My Photo
Kemahiran berkomunikasi antara perseorangan memerlukan perhatian kepada pelbagai aspek yang ada hubungkaitnya dengan mewujud dan memelihara komunikasi bersalingan  yang sedia terjalin. Sebahagian dari aspek-aspek itu saya kongsikan bersama dengan saudara di bawah ini :

(a)               Latih diri supaya mudah mengingat nama orang lain. Semasa berinteraksi gunakan nama orang yang sedang berhubung dengan kita. Ini akan menyebabkan perhubungan menjadi lebih mesra dan melahirkan kesan psikologi yang positif. Nama kita adalah perkataan paling indah pada pendengaran kita ( walaupun ia Kulop BIN Sewang )

(b)               Kita harus sentiasa mengingat hakikat bahawa penghargaan dan pujian akan membawa kesan yang positif dan meninggikan prestasi orang lain manakala kritik menyebabkan kesan yang sebaliknya. Berikan penghargaan dan pujian secara jujur.

(c)               Jangan pula untuk MEMBELAI ( secara fizikal atau psikologikal atau kedua-duanya ) seseorang sebelum kita mengkritiknya Belaian ini akan menyejukkan hati pendengar dan menyebabkan pendengar itu lebih bersedia untuk menerima kritikkan tersebut. Sampaikan kritikan dengan nada yang dan air muka yang mesra dan ikhlas.

(d)               Sampaikan puji-pujian dari pihak yang ketiga kepada orang yang lain sedang kita ajak bercakap. Walau bagaimanapun tidaklah perlu kita menyampaikan komen-komen yang negatif. Setakat mana yang boleh kita harus membela orang lain yang sedang dikritik jika orang itu tiada di situ untuk membela dirinya sendiri.

(e)               Jangan bebankan orang lain dengan masalah kita, kecuali bila perlu. Kita harus ingat bahawa orang lain pun mempunyai masalahnya tersendiri yang kita tidak tahu. Dalam konteks ini, apabila orang lain menceritakan tentang masalahnya, tidaklah semestinya kita pula menceritakan masalah kita kepadanya kecuali kalau ia dapat membantu dalam menyelesaikan masalah orang lain itu.

(f)                 Latih diri supaya menjadi orang yang mudah dan seronok didampingi. Sentiasa tunjukkan muka yang manis dan mesra. Orang yang mukanya masam harus berlatih untuk SENYUM. Kita harus ingat bahwa senyum itu merupakan satu sedekah dan diberi ganjaran oleh ALLAH.

(g)               Bila kita tergerak untuk berdekat atau berbalah dengan orang lain, ingatkan diri kita bahawa setiap individu mempunyai pandangan yang unik dan mungkin berbeza mengenai seseorang, sesuatu objek atau sesautu keadaan. Hormati pandangan orang lain kerana setiap individu berhak untuk mempunyai pandangannya sendiri, kecuali pandangan yang bertentangan dengan syarat.

(h)               Pastikan kita hanya memberi komen atau pandangan mengenai perkara-perakra atau isu-siu yang dapat kita bincangkan secara optimistik dan bersemangat. Optimisme dan semangat yang kita tunjukkan Insya-Allah akan menular kepada pendengar kita.

(i)                  Jika persaan kita terluka, ingatkan diri kita bahawa orang lain mungkin tidak sengaja melukakan hati kita. Jarang terdapat orang suka menyakitkan hati orang lain dengan sengaja kecuali mereka sakit jiwa!

(j)                  Kita harus sentiasa peka kepada perasaan orang lain. Apa yang kita lakukan dan apa yang kita cakapkan harus bergantung kepada perasaan yang ditunjukkan oleh orang lain.

(k)                Bentuk keyakinan dalam diri orang lain dengan memberikan mereka tanggungjawab yang berpatutan. Tunjukkan yang kita yakin pada kebolehan dan kewibawaan mereka.

(l)                  Tunjukkan pernghargaan kita setiap kali orang lain melakukan sesuatu untuk kita. Berapa orang di antara kita yang memuji dan berterima kasih kepada jurutaip yang menaip surat kita dengan cermat dan cepat? Berapa orang di antara kita masih berterima kasih dan memuji isteri kita kerana secawan kopi ( walaupun dan kahwin selama 18 tahun!!! )?

(m)             Tunjukkan yang kita mengambil berat tentang orang lain. Kebanyakkan kita memang mengambil berat mengenai kebajikan orang lain tetapi malangnya tidak memanifestasikan perasaan dan hasrat kita itu. Air muka, pertuturan dan tindakan kita harus mencerminkan perhatian kita tentang orang lain.

(n)               Tegur dan beri penghormatan kepada orang lain tanpa mengira kedudukan mereka. Bayangkan betapa seronoknya hati seorang tukang kebun sekolah apabila guru besarnya menegurnya terlebih dahulu dengan penuh kemesraan dan kegembiraan!

(o)               Latihlah diri kita untuk menjadi seorang pendengar yang baik. Kebanyakkan kita pandai dan suka bercakap tetapi tidak berkemahiran untuk mendengar secara akitf, kritis dan empatik.

(p)               Tunjukkan kepada orang lain yang kita menganggap mereka sebagai orang yang mustahak. Satu cara yang paling berkesan ialah dengan meminta pandangan atau nasihat dari mereka. Betapa berbesar hati seseorang jurutaip bila pengurus dijabatanya meminta pandangannya untuk memilih corak yang sesuai untuk langsir pejabat!

(q)               Untuk yang tidak berbakat . kita harus melatih diri kita supaya pandai membuat atau menerima gurauan. Ada di antara kita yang pandai mengusik orang lain tetapi cepat masam muka apabila dia diusik.

(r)                 Jangan sekali-kali bocorkan rahsia yang diamanahkan kepada kita, walaupun pada isteri / suami kita.

(s)                 Hormati keanehan dan keunikan orang lain. Kita semua mempunyai keanehan dan keunikan yang tersendiri. Ada orang yang pitam bila masuk bilik yang tidak bertingkap ( walaupun bilik itu berhawa dingin) Ada pula orang yang pantang tengok orang yang berketayap. Macam-macam ragam manusia.

(t)                 Bila bercakap biarlah beralas. Cakap yang beralas itu lebih mudah diterima, dan jika kita tidak dapat memenuhi apa yang dijanjikan kita tidak akan ditempelak.

(u)               Bila bercakap dengan orang lain, pastikan kita menggunakan jarak yang sesuai dengan maklumat yang kita ingin sampaikan.

(v)               Gunakan bahasa badan yang sesuai dan yang menyokong bahasa lisan yang kita gunakan. Misalnya, berpeluk tubuh sambil bercakap kepada orang bawahan membayangkan kita bersikap angkuh dan apa yang dicakapkan itu dianggap sebagai perintah.

(w)              Wujud dan kekalkan kontak mata semasa bercakap dengan orang lain. Kontak mata semasa berbual menunjukkan penghormatan dan minat kita terhdap orang lain. Dengan memandang juga membolehkan kita membuat penilaian mengenai interaksi yang sedang dijalankan. Kita dapat meninjau samada pendengar kita seronok, faham, jemu dan sebagainya.

(x)                Anggukkan kepala kita pada setiap ketika yang sesuai semasa bercakap dengan orang lain. Angguk melambangkan persetujuan kita mengenai apa yang dicakapkan. Ini biasanya memberi galakkan kepada orang lain untuk meneruskan perbualan atau percakapannya. Jangan mengangguk diambil contoh seperti para jemaah solat Jumaat – ada yang mengangguk hinggakan dagu mencecah lantai walaupun khatib belum mula berkhutbah!

(y)                Bila berjabat tangan, jabatlah tangan orang lain dengan kemas, pandang ke mukanya dan berikan senyuman. Rasullullah s.a.w sangat mesra bila berjabat tangan dan baginda yang akhir sekali melepaskan tangan orang.

Saudara,

Tiada kata, kalau tidak ade lidah –
Tidak berbahasa, tidak adelah pujian indah  -

Tidak ternilai bahasa indah bermadah –
Tidak dirindui dan dikenangi dari kata-kata berpadah  -

Tidak disayangi walau isteri, ibu dan ayah –
Terkenang dan disanjungi cara berkomunikasi yang mudah dan indah.

.jim mcguigan
Professor saya DR JIM MacGuigan,
Coventry University, UK 

No comments:

Post a Comment