Daftar Umrah

Daftar Umrah
SILA KLIK BANNER DI ATAS UNTUK MENDAFTAR PAKEJ UMRAH & HAJI 2014 BERSAMA UST ISHAK AB RAHMAN AL HAJ (017-9238355)

Friday, October 8, 2010

FADHILAT DAN FALSAFAH SOLAT JAMA'AH DALAM MEMBINA PERPADUAN UMAT ISLAm

(BAHAGIAN  PERTAMA)
GB
Oleh:
Ishak Ab. Rahman

Muqaddimah

Berlakunya perselisihan perdapat dan berbeda idea dalam usaha membangunkan Islam adalah disebabkan umat, terutama di kalangan pemimpin, ketua agama, intelek, ulama' dan pendakwah tidak selalu berada di dalam suatu kumpulan permesyuaratan (syura). Sejarah telah mengajar kita dan membuktikan bahawa kegemilangan umat terdahulu adalah kerana mereka boleh bersama di dalam forum perbincangan yang boleh mencetuskan kesatuan fikrah dan gagasan untuk membangunkan umat dan kerajaan.

Apabila nafsu dan kemahuan kebendaan menguasai ilmu dan iman akhirnya kegemilangan dahulu tidak lagi dapat dibanggakan. Kejatuhan umat Islam bermula di abad ke -13, di mana kira-kira 400,00 buah kitab dan khazanah ilmu karangan tokoh dan intelek Islam dirampas dan berpindah ke tangan Barat. Cordova, Sepanyol menjadi pusat ilmu Barat yang telah diciplak dari buku-buku ini dan telah diterjemah ke dalam bahasa Latin, dan Inggeris. Akhirnya Tamadun Barat pula menguasai semua aspek dan bidang ilmu untuk  pembangunan dan kemajuan dunia yang dahulunya dikuasai Islam.

Kesatuan Intelek Islam

Perintah Allah, peringatan dan amaran bahawa kehancuran umat Islam akan berterusan tanpa ada penyudahnya, sekiranya umat Islam tidak membentuk kesatuan dan jamaah besar yang berpegang kepada kesatuan fikrah, gagasan dan matlamat.yang sepadu dan sekata.

Untuk tujuan itu kita harus mengembalikan semula fungsi sebenar institusi masjid (Rumah Allah). Masjid harus dimakmurkan, biarlah ia dilihat gemilang siang dan malam. Pemimpin, intelek, ulama' dan rakyat bertemu, bermuzakarah dan merancang untuk melaksanakan agenda Islam dan ummah. Insya-Allah kita berkeyakinan dengan bimbingan Allah SWT, kerana kita menjadi tetamuNya sepanjang masa, tidak ada kegagalan yang dijanjikan  di dalam Al-Quran. Hidupkan suasana kasih sayang, muhibah, tolong-menolong, saling bertukar ilmu dan pengalaman, mengenali ahli jamaah, ahli qariah dan jiran tetangga, semuanya bermula dan berputik di masjid. Rasulullah SAW pernah bersabda:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عليكم بالجماعة – (رواه النسائى)
Bermaksud: …"Bagi kamu (umat Islam) hendaklah membentuk kumpulan atau jamaah"…

Definisi Jamaah

Kalimah atau perkataan jamaah itu adalah dari akar kata bahasa Arab jama'a-yajma'u-jam'an, dan dipecahkan kepada berbagai kalimah lain yang membawa pengertian yang hampir sama seperti Ajma'a-(bermuafakat), jamma'a-(hadir menunaikan solat Jumaat), Ijtama'a-(berhimpun atau berkumpul), ijtima'-(perkumpuan atau perhimpunan) dan lain-lain pengertian. Solat jamaah bermakna solat yang didirikan secara berimam (berketua) yang memimpin makmumnya yang tidak kurang dari seorang.

Nilai Ukhuwwah Dalam Jamaah

Andainya umat Islam dapat mengerti dan menghayati nilai dan kebaikan serta fadhilat mendirikan solat jamaah ini, nescaya persaudaraan atau ukhuwwah umat Islam menjadi lebih kukuh, kekal dan tidak akan bolih digugat olih mana-mana kuasa yang ingin menghancurkan umat dan negara

Kasih sayang pastinya akan terjalin erat dan berkekalan melalui pertemuan yang membawa erti, dan perhimpunan dan pertemuan antara umat Islam di tempat sujud kepada Allah iaitu masjid atau surau atau di mana-mana sahaja, amat banyak membawa erti untuk membina keutuhan ukhuwwah, kecintaan dan kasih sayang di antara umat Islam. Sebab itulah bagi mereka yang tidak gemar atau suka menjauhkan diri darinya atau menolak seruan azan untuk menyeru kepada kejayaan diri dan umat Islam dianggap sebagai memutuskan silaturrahim.

Ketika pertama kalinya Rasulullah s.a.w didatangi Malaikat Jibril a.s di Gua Hira', Baginda cemas dan gelisah. Setibanya di rumah isteri baginda Siti Khatijah r.a menghiburkan dengan ucapan yang menunjukkan kebenaran baginda sebagai seorang  Nabi utusan Allah. Siti Khatijah berkata kepada baginda:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم انك لتصل الرحم وتحمل الكل على نوائب الدهر – (رواه البخارى)
Yang bermaksud: "Tidak, sekali-kali tidak! Allah tidak merendahkan martabat anda, kerana anda seorang yang selalu menjaga silaturrahim, menolong orang yang tidak berdaya dan membantu orang yang ditimpa musibah". (Riwayat Bukhari).

Inilah gambaran bahawa diantara urusan dan perkara pertama yang di tuntut oleh Allah iaitu perhubungan silaturrahim selain dari ilmu, pelajaran, pendidikan dan jihad. Tempat pertemuan  suci dan sentiasa di bawah peliharaan dan lindungan Allahs.w.t ialah di Rumah Allah iaitu masjid atau tempat-tempat ibadah lain umat Islam. Rasulullah pernah bersabda:


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم الرحم شجنة مني فمن وصلها وصلته ومن قطعها قطعته .
(رواه الطبراني وابو يعلى عن عامر بن ربيعة)

Bermaksud: "Silaturrahim itu adalah sebahagian daripada sifatKu, barangsiapa yang menghubungkannya maka Aku hubungkan dia denganKu, dan barangsiapa yang memutuskannya, maka Aku putuskan hubungannya denganKu".

Jika pertemuan dengan semangat persaudaraan Islam itu hanya dengan senyuman sekali pun, ia sudah mendapat suratan pahala. Menurut kajian saikologi Barat, senyuman ikhlas di pertemuan pertama antara gua insan yang masing-masing ada tekanan perasaan bolih melenturkan hati yang keras. Rasullah s.a.w ketika menasihati sahabat bersabda:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم تبسمك في وجه أخيك صدقة
– (رواه الترميزى)

Yang bermaksud: "Senyum kamu ke dalam wajah saudara kamu adalah satu sedekah(pahala)".

Dalam sebuah hadith qudsi yang lain Rasulullah s.a.w menyatakan firman Allah:

القدسي: حقت محبتي للمتحبين في . أظلهم في ظل العرش يوم القيامة يوم لاظل الا ظلي .
 – (رواه عباده بن الصامت)

Yang bermaksud: "Berhaklah kasih sayangKu diberikan kepada orang yang berkasih sayang keranaKu. Akan Aku naungi mereka di bawah arasKu di Hari Qiamat; iatu pada hari itu tiada naungan melainkan naunganKu". Riwayat Ubadah bin Asysyomit.

Jaminan dari perintah Allah kepada mereka yang menghubungkan silaturrahim sesama umat Islam ialah hidup kekeluargaan yang kekal di dunia dan jaminan kebaikan di akhirat. Hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas, katanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda dari firman Allah:

"صلوا ارحامكم فانه أبقي لكم في الدنيا وخير لكم في أخرتكم"...

Yang bermaksud: "Hubungkanlah silaturrahim dengan kaum keluarga kamu, maka yang demikian itu adalah lebih kekal dalam kehidupan di dunia ini dan baik bagi kamu untuk kehidupan di akhirat".

Rasulullah s.a.w telah meninggalkan berbagai nasihat dan perintah supaya ditegakkan solat lima waktu secara berjamaah. Amaran kepada yang ingkar dan menolak perintah ini juga  Rasulullah telah bentangkan dalam hadith-hadith baginda; antara lain ialah yang bermaksud " Sesebuah kampung atau kawasan kediaman umat Islam yang tidak menegakkan solat berjamaah sentiasa mendapat celaan Allah s.w.t. dan diingatkan bahawa bencana dan malapetaka akan diturunkan bila-bila masa sahaja sekiranya tidak ada umat atau hamba yang berusaha menegakkan syiar Islam termasuk menegakkan solat jamaah."

Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadith qudsi, firman Allah s.w.t:

لو أن عبادي أطاعوني  لأسقيتهم المطر باليل ولأطلعت عليهم الشمس بالنهار ولما أسمعتهم صوت الرعد
. (رواه أحمد , البزار والحكيم عن ابي هريرة)

Yang bermaksud: "Sekiranya hamba-hambaKu mentaatiKu, nescaya akan Aku terbitkan matahari di waktu siang, dan tidak Aku perdengarkan mereka suara guruh" (Riwayat Ahmad, al- Bazzar dan Al-Hakim)

Ini adalah diantara tanda-tanda sifat Rahman Allah kepada hambaNya, sekalipun di dalam sesebuah tempat atau qariah itu terdapat mereka yang tidak mentaati Allah dan kufur, tetapi ni'mat dan rahmat tetap diturunkan, kerana majoriti hambaNya berada dalam taat.

Bersambung

No comments:

Post a Comment