Wednesday, October 20, 2010

FADHILAT DAN FALSAFAH SOLAT JAMA'AH DALAM MEMBINA PERPADUAN UMAT ISLAM



My Photo
(BAHAGIAN KEDUA)


Oleh:
Ishak Ab. Rahman El-'Alawy
MA Coventry, UK






Allah menyebutkan di dalam Al-Quran bawa seseorang hamba itu harus menghasilkan sesuatu yang baik, dan menghadapkan perhatian sepenuhnya kepada keredhaan Allah s.w.t Apabila seseorang itu telah beriman kepada Allah , maka ia akan selalu menjauhkan dirinya dari apa yang dilarang dan dibenci oleh Allah dan selalu berjalan diatas jalan-jalan yang baik dan taqwa serta mengharapkan keredhaanNya, dan selalu pula berusaha kearah kebaikan ummah. Usaha menegakkan solat jamaah adalah sangat dituntut oleh Allah melalui perintah-perintah RasulNya Muhammad s.a.w. Setiap yang diperintah oleh kekasihNya bermakna itulah juga disukai oleh Yang Mengasihaninya iaitu Allah s.w.t.
Setiap hambaNya yang patuh dijanjikan ganjaran, pemeliharaan dan keberkatan, Allah berfirman di dalam Surah al-A'raf ayat 96:

لو أن اهل القرى أمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السمأ و الارض .
(الاعراف : 97)

Yang bermaksud: "Dan kalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa sungguh akan Kami bukakan kepada mereka itu keberkatan dari langit dan dari bumi."

Di dalam ayat yang lain dalam surah An-Nahl ayat 97:

من عمل صالحا من ذكر أو أنثى وهو مؤمن فلنحيينه حياة طيبا . ولنجزينهم أجرهم بأحسن ما كانو يعملون
– (النحل:97)

Yang bermaksud: "Barangsiapa yang beramal soleh baik lelaki maupun wanita sedangkan dia orang yang beriman, maka sungguh Kami beri dia kehidupan yang baik, dan Kami berikan mereka pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan".

Di antara kebaikan-kebaikan, ni'mat dan kemanfaatan lain yang boleh dijanjikan dari melakukan solat jamaah ialah:

1. Melahirkan sebesar-besar syiar Islam di tengah-tegah masayarakat umat manusia.

2. Menimbulkan sikap kasih sayang, hormat menghormati dan menjalinkan persefahaman di antara satu sama lain.

3. Di masjid atau di mana sahaja tempat umat Islam berkumpul mendirikan solat berjamaah, di sanalah terbuka peluang yang luas untuk mereka bermuzakarah, syura dan perancangan melakukan usaha-usaha kebaikan. Mereka boleh merancang untuk memulakan perniagaan, perdagangan, perusahaan, menganjurkan kerja gotong-royong, kenduri-kendara, majlis-majlis berbentuk keagamaan dan kebajikan Islam bagi faedah ahli jamaah dan masyarakat setempat.

4. Melatih umat Islam untuk hidup berorganisasi di samping taat dan mematuhi segala perintah.

5. Mendatangkan keberkatan dan ganjaran yang berlipat ganda hasil dari berjamaah.

6. Memperoleh ilmu pengetahuan asas agama, dan yang lebih luas lagi ialah yang diadakan di masjid, surau dan di mana sahaja jamaah ditegakkan. Majlis ilmu hendaklah menjadi keutamaan dan memperuntukkan ruang masa yang lebih banyak.
Membentuk kumpulan bermula dengan dengan institusi keluarga. Ia suatu suatu latihan kepimpinan yang berkesan untuk sebuah kumpulan yang kecil. Dalam sebuah institusi keluarga bolih membentuk semua ciri-ciri kepimpinan, kekeluargaan, kerjasama dan kasih sayang.

Manakala institusi masjid yang merupakan titik pemusatan sesebuah organisasi yang lebih besar mestilah dibentuk melalui amalan solat berjamaah. Inilah sebenarnya yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita.
GB
Mengetahui Perintah Berjamaah

Para ulama' terdahulu khususnya pengikut-pengikut Imam Asy-Syafie telah menurunkan beberapa pendapat mereka tentang solat jamaah ini, dengan  berpandukan beberapa nas al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w. Perpaduan dan perkenalan bermula di masjid, begitu juga segala peneyelesaian komplik dan perselisihan hendaklah diselesaikan di dalam masjid juga. Orang mukmin semuanya bersaudara, maka jika berlaku perselisihan dan perpecahan hendaklah dipulihkan dan diperbaiki semula diantara mereka dengan segera. Dalam konteks ini Allah berfirman di dalam surah

انما المؤمنون اخوة فاصلحوا بين أخويكم...

Yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya semua orang mukmin itu adalah bersaudara, maka perbaikilah semula hubungan diantara mereka (sekiranya berlaku sebarang perselisihan atau perpecahan)"…

Umat Islam yang beriman harus memikirkan sedalam-dalamnya maksud firman Allah ini, dan tidak ada yang lebih baik cara penyelesaian komplik di kalangan umat Islam melainkan dengan mengembalikan fungsi solat jamaah. Justru, Rasulullah SAW amat mengambil berat kewajipan dan tanggungjawab umat Islam mengekalkan solat berjamaah.

Penulis menurunkan semua pendapat para ulama' mengenai kewajipan mendirikan solat secara berjamaah seperti beriku:

Pendapat Pertama:

Mengatakan bahawa berjamaah pada solat lima waktu itu adalah Fardhu Kifayah dengan berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah s.a.w:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما من ثلاثة في قرية أو بدو لاتقام فيه الجماعة وفي رواية الصلاة الا استحوذ عليهم الشيطان
 (رواية ابن حبان وغيره)

Maksudnya: "Tiada jua daripada tiga orang di dalam sesebuah kampung atau dusun atau hutan, maka jika mereka tidak mendirikan solat jamaah (setengah riwayat mendirikan solat) melainkan syaitan menguasai mereka"…

Pendapat Kedua

Sunat Muakkad dengan berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم صلاة الجماعة افضل من صلاة الفذ بسبع وعشرين درجة
– (رواه البخاري ومسلم)

" Solat Jamaah itu adalah lebih baik daripada solat seorang diri dua puluh darjat(pahala)". Bukhary dan Muslim.

Pendapat Ketiga

Menghukumkan Fardhu 'Ain dengan berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم..."ولقد هممت ان أمر بالصلاة فتقام ثم آمر رجلا فيصلى بالناس ثم أنطلق معي برجال معهم حزم من حطب الى قوم لا يشهدون الصلاة فأحرق عليهم بيوتهم بالنار
– (رواه البخاري)

Maksudnya: "Bahawa sesungguhnya aku merasa dukacita, dan menyuruh seorang lelaki solat, maka ia solat, dan aku perintahkan seorang lelaki lain mendirikan solat, dan ia solat bersama ramai manusia, kemudian berjalan ia bersamaku serta beberapa orang lelaki lain dengan membawa berkas-berkas kayu api menghala kepada kaum yang tidak mahu mendirikan solat secara berjamaah, kami bakar rumah mereka dengan api". (Riwayat Al- Bukhary).

Walau bagaimapun sebahagian besar ulama' memutuskan bahawa solat berjamaah itu adalah fardhu kifayah. Hukum fardhu kifayah itu adalah ke atas mereka yang; Muslim, berakal, genap umur mumayyiz (sudah bolih membedakan mana yang baik dan buruk), lelaki bermukim, merdeka(bebas tidak menjadi hamba sahaya), tidak bertelanjang (thiqah), tidak uzur (ada halangan syarie) dan tidak dalam pengembaraan (musafir).

Allah menegaskan di dalam al-Quran mengenai kesempurnaan mereka yang mendirikan solat lima waktu dan mereka yang ikhlas dan gembira mengeluarkan zakat harta benda , solat dengan ikhlas, dan mereka juga gembira melakukan solat jamaah bagi menghidupkan keakraban hubungan silaturrahim sesana ahli qariah.

berbuat demikian. Allah berfirman:

واقيموا الصلاة وآتوا الزكاة واركعوا مع الراكعين – (البقرة : 43)

Yang bermaksud: "Dan dirikanlah kamu solat dan mengeluarkan zakat serta ruku' bersama-sama orang yang ruku' (berjamaah)". Al-Baqarah,43.

Di dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan kelebihan berjamaah itu di antaranya ialah untuk memperoleh ni'mat khusu' yang sebenarnya berbanding dengan solat berseorangan diri. Allah menerangkan kelebihan berjamaah di dalam ayat yang lain yang dikaitkan dengan mereka yang beriman ialah mereka yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta ruku' (berjamaah) untuk mendapat ni'mat khusu' solat yang sempurna. Mereka meyakini sebenarnya bahawa Allah dan RasulNya yang kasih  dan sayang kepada umatnya dunia dan akhirat. Allah berfirman:

انما وليكم الله ورسوله والذين أمنوا الذين يقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة وهم راكعون .
(المائده : 55)
Yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya tidak ada yang lain melainkan Allah dan Rasulnya yang boleh membantu dan sentiasa memelihara kamu, dan orang-orang yang sebenar beriman ialah mereka yang mendirikan solat dengan khusu' orang yang sentiasa ruku' (berjamaah) dan setengah pendapat (khusu' dan solat dengan baik dan sempurna)".

Dalam ketentuan hukum berjamaah ini, walaupun ia tidak diwajibkan kepada kaum wanita, seorang suami atau bapa tidak boleh melarang mereka pergi ke masjid atau surau untuk tujuan berjamaah. Tetapi harus dinyatakan dengan baik kepada mereka bahawa bersolat di rumah adalah lebih baik bagi mereka. Dalam hal ini Abu Daud telah meriwatkan sebuah hadith yang bermaksud:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا تمنعوا نسآءكم المسجد وبيوتهن خير لهن
 – (رواه ابو داؤد)

Maksudnya"Janganlah kamu menegah wanita-wanita (isteri) kamu pergi ke masjid (untuk solat berjamaah) dan bersolat di rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka".

Fardhu kifayah memberi pengertian bahawa hukum berjamaah itu akan gugur sekiranya ada sebilangan (sekurang-kurangnya seorang imam dan seorang mukmin) mendirikan solat secara berjamaah. Pengguguran fardhu kifayahnya bergantung kepada tiga syarat berikut:

1.    Terdapat syi'ar Islam, iaitu telah terbukti nyata ada umat Islam di qariah yang mendirikan solat fardh itu.

2.    Sebuah kampung atau dusun yang kecil hanya memadai jamaah didirikan disatu tempat sahaja.

3. Sekiranya ia sebuah kawasan perkampungan atau taman kediaman yang luas atau negeri maka jamaah hendaklah didirikan di banyak tempat.

Syeikh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjary dalam kitab besarnya Sabiilul Muhtadiin mengatakan bahawa mereka yang enggan berjamaah hendaklah dihukum atau diperangi oleh Sultan (Ketua Pemerintah) bagi sesebuah negeri atau negara atau oleh Naibnya seperti hukum fardhu kifayah yang lain.

Hukum berjamaah bersama keluarga

Mendirikan solat berjamaah bersama keluarga bermaksud suami atau bapa bersolat berjamaah bersama anak-anak dan isteri di rumah. Tidak menjadi kesalahan dan itu juga dikatakan berjamaah. Jamaah boleh didirikan sama ada di masjid, surau atau di rumah dan sebagainya. Kelebihan yang disyariatkan ialah berjamaah di masjid itu adalah lebih baik dari di surau(musalla) dan berjamaah di surau adalah lebih baik dari di luar surau seperti di padang. Juga dinyatakan olih syariat Islam bahawa bilangan yang lebih ramai itu adalah lebik baik dari bilangan yang kecil.

Bagi seorang bapa atau suami Islam menggalakkan mereka memberikan pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak dan isteri, dan di antara pendidikan dan teladan yang harus ditunjukkan ialah dengan mengajak mereka berjamaah bersama-sama sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Walaupun demikian sayugia diingatkan kepada para bapa bahawa mereka mempunyai tanggungjawab kemasyarakatan yang tidak kurang pentingkan dalam Islam. Tanpa penglibatan atau komitmen setiap individu bapa ini maka jamaah tidak akan dapat ditegakkan dengan sempurna dan baik. Telah dinyatakan sebelum ini bahawa nilai-nilai ukhuwwah keislaman yang sungguh kuat dan penting adalah melalui jamaah.

Hukum berjamaah bersama jin

Dengan mengemukakan beberapa sedutan pandangan Syeikh Badruddin Asy-Syibly dalam karyanya يشاوره القرآن والسنة  غرائب وعجائب الجن كما (Gharaib wa 'Ajaibul jin – Kama Yushyawiruhal Quran was Sunnah) - mangatakan bahawa perbincangan yang diutarakan dalam hal ini tidak bertentangan dengan syariat Islam, sebab ibadah yang dilakukan bersama-sama tidak dapat kita katakan berjamaah. Jelasnya bahawa bukan setiap ibadah yang dilakukan bersama-sama itu semestinya dikatakan berjamaah.

Bagi menguatkan pandangan ini beliau membawakan beberapa riwayat yang menjelaskan bahawa terdapat beberapa orang yang boleh dipercayai pernah melakukan ibadah bersama jin

Ibnu Abi Dunya berkata:

Muhammad bin Al-Hussain meriwayatkan suatu peristiwa yang bermula pada Yazid Ar-Ruqosyi bahawa: Sufian bin Mahrozy Al-Maziini pernah solat malam(Tahajud) pada suatu malam, tiba-tiba penghuni rumah beliau yang dari golongan jin ikut solat bersama beliau kemudian mereka itu mendengarkan bacaan Al-Quran yang beliau baca.".

Imam As-Sary bin Ismail bertanya kepada Yazid, dari mana Sufian mengetahui itu adalah golongan jin?

Yazid menjawab: "Ketika beliau solat, Sufian sering mendengar suara rebut di belakangnya sehingga beliau merasa tidak senang, tetapi terdengar suara yang mengatakan: "Wahai hamba Tuhan, janganlah engkau takut, kami adalah saudara kamu sendiri yang ingin beribadah bersamamu, (solat tahajud), setelah itu Sufian merasa tangannya kalau ada suara seperti rebut dibelakangnya.

Makhluk jin dijadikan Allah untuk tujuan yang sama seperti manusia juga iaitu diperintah mengabdikan diri kepada Allah. Firman Allah s.w.t:

وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون- (الذاريات: 56)
Maksudnya: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah".

Golongan jin yang lebih ramai bilangan daripada manusia itu juga berpegang dengan beberapa aliran mazhab yang berbeda-beda dikalangan mereka. Kehidupan mereka ada yang muslim, kufur, ahli sunnah dan juga ada yang ahli bid'ah. Para jin pernah berkata yang di firmankan Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Al-Jin ayat 14:


وأنا منا المسلمون ومنا القاسطون فمن أسلم فاؤلئك تحروا رشدا ( الجن :14)

Yang bermaksud: "Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada pula yang menyeleweng dari kebenaran. Barangsiapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus".

واما القاسطون فكانوا لجهنم حطبا – (الجن :15)

Yang bermaksud: …" dan sesungguhnya orang-orang yang menyeleweng itu, maka di dalam neraka jadikanlah ia kayu bahan pembakar (kayu api)."

Adapun solat jamaah di mana yang menjadi imam adalah jin berdasarkan kepada satu riwayat yang dirujuk oleh Ibnu Abi Syirazy al-Syeikh Abil Baqa' Al-Hambaly bahawa pada suatu hari di belakang imam seorang jin. Beliau menjawab "Ya sah, kerana mereka juga menerima taklif atau kewajipan melakukan solat, dan Nabipun diutus untuk mereka, seperti kita manusia".

Solat jamaah yang diikuti oleh jin

Berdasar satu ayat al-Quran yang menurut Said bin Jubair ia diturunkan setelah ada pertanyaan dari jin kepada rasulullah s.a.w diriwayatkan oleh Sufian ath-Thaury dalam tafsirnya:

"Seorang jin bertanya kepada Rasulullah s.a.w bagaimanakah dengan kami yang ingin melakukan solat bersamamu di masjidmu, sedang kami jauh dari masjidmu wahai Rasulullah? Jawapan Rasulullah s.a.w adalah ayat yang diturunkan pada ketika setelah pertanyaan itu selesai:

وان المساجد لله فلاتدعوا مع الله احدا – ( الجن : 17)

Yang bermaksud: "Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping menyembah Allah".

Ibnu Syirazy dalam karangannya yang berjudul Nawadir juga menjelaskan bahawa jemaah bersama jin hukumnya adalah sah. Dari huraian di atas jelaslah bahawa tidak ada perbedaan pendapat ulama' mengenai kemungkinan dan keharusan berjamaah bersama para jin.

No comments:

Post a Comment