Friday, October 22, 2010

FADHILAT HAJI



Olih: Ishak Rahman

Saudara,

Maksud sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:…“Mengerjakan haji ke Baitullah al-Haram adalah antara amal-amal qurbah yang paling tinggi mutunya dan sebaik-baik wasilah. Memadailah untuk membuktikan yang demikian itu bahawa haji yang mabrur tidak ada lain balasannya melainkan syurga dan orang yang mengerjakan haji tanpa melakukan sesuatu yang keji dan ditegah, akan keluar ia dari dosa-dosanya seperti seorang bayi hari dilahirkan olih ibunya.”
(riwayat Al-Bukhary dan Imam Muslim)
Masjid Haram pada tahun 1880


Saudara,

Dari segi bahasa, haji bererti ‘berziarah’ manakala dari segi syara’ pula bererti “mengunjungi Baitullah di Mekah untuk melakukan beberapa amal ibadah di bulan haji dengan rukun dan syarat tertentu sebagai pelaksanaan Rukun Islam yang klima”.

Tuntutan mengerjakan haji ini bersesuaian dengan firman Allah SW.

Bermaksud: …”Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus mereka datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh seluruh dunia.”
(Al-Hajj:27)

Justru itu dapat dihayati di antara fadhilat mengerjakan haji ialah:

1.         Ia dilaksanakan di Mekah pada suatu tempoh waktu yang dihadkan (bulan Haji) menemukan umat Islam
dari seluruh dunia dari pelbagai tempat, pelbagai warna kulit, bahasa dan kebudayaan. Perhimpunan raksaksa hampir 7 juta umat Islam ini adalah bagi memenuhi undangan sebagai ‘tetamu Allah” dalam menghidupkan satu suasana persaudaraan Islam sejati beserta tekad dan keimanan yang bulat dan teguh terhadap Allah  swt
2.        Perhimpunan ini membuktikan bahawa umat Islam semuanya adalah sama sebagai ‘tetamu’ Allah. Berpakaiaan ihram putih melambangkan kesama- rataan, tidak lagi dinilai pangkat, kekayaan dan keturunan seseorang apabila ia datang menunaikan ibadah haji.

Bagi tujuan menyerahkan diri dan mematuhi perintah Allah tersebut, maka  selepas selesai memakai pakaian ihram mereka dituntut membaca talbiah:

Ertinya:
“Inilah aku datang mematuhi Engkau ya Allah, Inilah aku datang mematuhi Engkau, Inilah aku datang mematuhi Engkau, tidak ada sekutu bagi Engkau, Inilah aku datang mematuhi Engkau. Sesungguhnya segala macam pujian dan segala macam ni’mat, bahkan seluruh kerajaan ini adalah milik Engkau, tiada sekutu bagimu”.
3.          Dari sudut lain, mengunjungi Baitullah atau rumah Allah ini adalah untuk menyaksikan sendiri bagaimana kesan perjuangan para Rasul terutamanya Nabi Ibrahim a.s. dan Rasululullah s.a.w.menegakkan syariat Allah.
4.          Di samping itu, umat Islam dapat menghayati sendiri kesan-kesan tempat bersejarah seperti Bukit Uhud (kesan peperangan menegakkan Islam), Gua Thur (tempat pertama Rasulullah menerima Wahyu Allah),
Bukit Safa & Marwah (tempat Siti Hajar berlari-lari nak untuk mendapatkan air untuk anaknya Nabi Ismail a.s.) yangmana semua ini ada hubungannya dengan peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah umat Islam.
5.          Juga disifatkan olih sesetengah ulama bahawa ibadah haji ini khususnya berwukuf di padang Arafah sebagai satu lambang perhimpunan manusia di Hari Akhirat nanti, menunggu pengadilan Allah atas segala perbuatan yang telah dilakukan di dunia.
6.          Ibadah haji juga menyemaikan keinsafan di kalangan umat Islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari kelak dengan tidak akan membawa bersama harta, pangkat dan anak pinak kecuali iman, Islam, amal kebaikan dan taqwa…
Masjid Haram pada tahun 1953

Tujuan Sebenar IbadahHaji


Saudara yang budiman,
Di akhir zaman ini ada juga orang yang menyalahkan tujuan ibadah haji ini, yang sepatutnya hanya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t., tetapi mengalihkan tujuan lahiriah perbuatan mereka dan juga niat hati mereka kepada lain tujuan:

1.        Orang kaya tujuan berseronok-seronok (makan angin/melancong) sahaja. Golongan ini mungkin mengunjungi Mekah setiap tahun, tetapi tidak berupaya merubah diri kepada menjadi hamba Allah yang soleh,
2.        Orang berpendapatan pertengahan pula berkunjung sambil berniaga untuk mendapatkan laba dan keuntungan,
3.        Para alim-ulama’, ilmuan dan ustaz-ustaz pula berkunjung di musim haji ini bertujuan untuk disebut-sebutkan bahawa mereka sudah beberapa kali ke Mekah (ada sifat ‘ujub, riak dan sum’ah) dan
4.        Orang faqir dan miskin pula pergi ke Mekah (bagi yang tinggal berhampiran) bertujuan untuk meminta-minta.

Anas bin Malik meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:

Yang Bermaksud:
“Akan datang ke atas manusia suatu zaman dimana ketika itu orang kaya mengerjakan ibadah haji untuk makan angin dan orang mempunyai pendapatan sederhana untuk berniaga, para ulama’ kerana riak dan sum’ah manakala orang faqir pula mengerjakan haji sambil meminta-minta”…

Dalam hal ini juga Abdullah bin Mas’ud pernah berkata:
“Di akhir zaman nanti banyak orang kaya yang pergi ke Mekah tanpa sesuatu sebab (tujuan syar’ie). Perjalanan mereka ke sana menjadi mudah sekali dan rezeki pun melimpah ruah. Malangnya mereka kembali dari Mekah dengan tangan kosong. Tidak ada pahala atau ganjaran  Allah yang mereka perolehi. Orang ini memacu kenderaan di padang pasir (bersusah payah dalam perjalanan) dan mengeluarkan belanja yang banyak, sedangkan jirannya yang tinggal di sebelah rumahnya mengikat perut kenahan kelaparan, ia tidak mempedulikan mereka dan tidak membantunya”…

Demikianlah sedikit peringatan untuk tuan-puan bakal haji dan hajjah, agar dapat memfokuskan niat hati kita untuk menunaikan haji semata-mata kerana Allah. Kita mendoakan semoga tuan-puan dikurniakan Allah haji yang mabrur (diterima baik) – insya-Allah.

No comments:

Post a Comment