Friday, October 22, 2010

KEMUSYKILAN DIJAWAB TUAN GURU DATO DR HARON DIN

Kenapakah pihak berkuasa tidak mengambil tindakan keatas mereka yang mengamalkan sihir?
Soalan

Dato' banyak perkara dalam perbomohan Melayu yang melibatkan perkara syirik dengan Allah, serta amalan sihir yang berterusan, apakah pihak yang berkuasa tidak mengetahui hal ini dan mengapa tidak ada tindakan yang berkesan oleh pihak tersebut untuk mengatasinya?

Jawapan
Soalan dan kenyataan saudara adalah berat dan besar maknanya. Ada kebenarannya. Amalan-amalan yang berbau dengan perkara sihir yang terbabit dengan gejala syirik yang mengundang dosa besar memang berlaku dan ramai orang mengetahuinya.

Sebagai seorang awam, saudara dan saya mengetahui perkara ini memang wujud. Kalau orang awam mengetahuinya, apakah pihak berkuasa tidak tahu? Tentulah mereka lebih mengetahui.

Untuk mengetahui hal ini, tidak perlu adanya suatu penyiasatan rumit kerana mereka melakukannya secara terbuka. Perbomohan memang amalan terbuka, sesiapa pun boleh melihat dan boleh mendapat khidmat.

Dalam amalan itu jelas seolah-olahnya dibiarkan oleh pihak berkuasa tanpa ada tindakan, melainkan setelah ada laporan daripada pihak mangsa. Barulah tindakan diambil.

Biasanya kita dengar apabila berlaku skandal bomoh memperkosa pesakitnya, atau melakukan kerja tidak senonoh, atau menipu pelanggan dan melakukan sesuatu yang di luar daripada tabie, itulah maka diambil tindakan.

Tetapi gejala syirik dalam dunia perbomohan, malangnya tidak pernah ada peruntukan untuk diambil tindakan ke atas orang yang melakukan sihir dan syirik terhadap Allah SWT.

Saya ingin merujuk kepada hadis sahih, Nabi Muhammad s.a.w bersabda (mafhumnya), "Sesiapa yang mendatangi seorang 'arraf, maka tidak diterima amalnya selama 40 hari."

'Arraf maksudnya ialah orang yang mendakwa dia mengetahui perkara-perkara ghaib. Yang lebih senang difaham hari ini ialah tukang tilik. Bila orang ada masalah, berjumpa dengan tukang tilik yang menilik, memberitahu sesuatu perkara ghaib pada pandangan umum bahawa dia mengetahuinya.

'Arraf ini dilarang oleh Allah SWT. Tiada sesiapa pun yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah SWT sahaja.

Nabi s.aw ketika disihir oleh Labid bin al-A'sam, baginda tidak mengetahuinya melainkan setelah datang Jibril a.s, memberitahunya dalam tidur bahawa Nabi telah disihir Labid al-Yahudi.

Jika Nabi sendiri pun tidak mengetahui perkara ghaib, seperti sihir tadi., bagaimana mungkin orang biasa boleh mengetahuinya.

Jangan mendatangi orang sedemikian, ibadah kita tidak diterima Allah selama 40 hari.

Jika kita mendatangi orang sedemikian, tetapi kita hanya datang dan tidak percaya kepadanya, cuma seronok-seronok sahaja pun, amalan kita tidak diterima selama 40 hari.

Jika dipercayai orang yang disebut sebagai 'arraf itu, maka orang itu sudah kufur dengan yang diturunkan oleh Nabi Muhammad s.a.w,

Hadis yang menyebutkan perkara ini banyak. Ada hadis merujuk kepada 'Kaahin', 'Sahil' atau 'Munajjib', ke semuanya ini adalah gelaran orang yang membawa perkara buruk serta mengundang dosa besar dan syirik.

Orang perseorangan seperti saya hanya mampu menyedarkan masyarakat melalui mesej-mesej dakwah, bahawa kerja sedemikian itu tidak pulang modal dan amat merugikan serta tidak mendapat habuan di akhirat.

Eloklah, dengan soalan saudara, saya mengesyorkan supaya pihak berwajib mengambil tindakan yang bersesuaian untuk menangani perkara ini, dikurangkan dan seterusnya dibasmi bagi menjaga kejernihan aqidah umat Islam. Wallahu a'lam.

Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai atau ke laut. Bolehkah dipercayai?


Soalan
Banyak kali orang menyebut jin telah ditangkap, makhluk halus telah dipenjarakan, toyol telah dimasukkkan ke dalam botol, dibuang ke laut dan berbagai dakwaan lain seperti itu? Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus seperti itu boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai ke laut. Bolehkah dipercayai? Sila jelaskan.
NAUFAL MOHD AMIN
Jeli

Jawapan
Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang budayanya dicambahi dengan pelbagai kepercayaan dan tahayul. Disebarkan dengan berbagai dakwaan yang kebanyakannya ada yang menyalahi hukum syarak.

Masalah makhluk halus adalah masalah kefahaman kepada istilah itu sendiri.

Al-Qurannul karim merujukkannya sebagai syaitan, iblis, jin, ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadis yang semuanya merujuk kepada makhluk halus.

Pernah berlaku seketika di zaman Rasulullah s.a.w, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu, kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah sedang mengelak daripada sesuatu dan sedang memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak.

Selesai solat sahabat bertanya Rasulullah s.a.w, mengapakah gerak geri Rasulullah dalam solat tidak pernah dilihat sebelum itu.

Rasulullah menjelaskan kepada mereka, "Bahawa ifrit telah datang kepada ku dengan obor api untuk menganggu solat ku, aku mengelak daripada nyalaan obor api itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, mengangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengena ke lengan aku."

Kejadian ini membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah menangkap atau menambat iblis, jauh sekali memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana.

Yang berlaku ialah, baginda hendak mengelak dia diganggu, baginda adalan seorang Rasul yang dapat melihat sesuatu yang orang ramai tidak dapat melihatnya.

Baginda menangkap hanya kerana ifrit menganggunya, walaupun Muhammad teringin untuk menambat ifrit, namun mengingatkan doa Sulaiman maka ianya tidak berlaku.

Maka pada saya, soalan saudari tadi tiada asasnya untuk dipercayai hukum syarak.

Lagipun makhluk ini diperbuat daripada api (bukan fizikal). Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok.

Contohnya, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak.

Malah batu batan yang besar seperti Piramid, juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-ray.

Kalau setakat boleh yang diperbuat daripada kaca yang telus cahaya, bermakna makhluk halus boleh masuk dan boleh keluar, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang bentuknya fizikal?

Botol adalah benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api, dari unsur cahaya, kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya.

Tidak perlu dimasukkan ke dalam botol. Dia boleh masuk dan dia boleh keluar bila-bila masa.

Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad boleh menangkapnya kepada mereka Rasul. Tetapi tidak sabit pada amalan sahabat atau tabiin bahawa mereka boleh menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol.

Apa yang ada hanyalah ikhtiar manusia untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasullah s.a.w.

Tujuan kita ialah memohon Allah menjauhkan makhluk halus daripada kita.

Di antaranya yang Nabi sebut dalam Surah al-Baqarah, ayat Kursi dan sebagainya.

Dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, insya Allah dengan kehendak Allah, maka makhluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya dari badan manusia. Wallahu a'lam.

1 comment:

  1. dalam permasaalahan orang melayu hantu raya adalah satu keramat yang mana ketua kampung atau orang orang yang ternama dalam sebuah kampung yang mampu memiliki hantu raya dan berfungsi sebagai penjaga keamanan dalam kampung yang di jaga atau di kuasai nya,,,,, namun semua itu dalam islam baik orang melayu atau arab ia nya adalah mahluk allah asal nya iblis lalu berketuran dan akhir nya lahir lah hantu raya pelesit dan pontianak yang pasti sebagai mana adam berketurunan begitu jualah allah mencipta hantu raya dari keturunan iblis,.,.,.,., cuma hantu raya suka perempuan dan sesiapa yang dah bersuami habislah kalaw berjimak tak membaca doa jimak,..,wallahuaklam

    ReplyDelete