Monday, May 30, 2011

BAHAYA TAKBUR DAN CARA MENGUBATINYA

Daripada Abdullah Bin Mas’uud (ra), daripada Nabi Muhammad SAW sabdanya:

“Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya (sifat) Takbur (walaupun) sebesar zarah. Lalu seorang lelaki bertanya: (Bagaimana dengan) orang yang suka berpakaian bagus dan bersepatu bagus? Maka jawab baginda: Sesungguhnya Allah itu cantik (sempurna), Dia suka kepada yang cantik (sempurna). (Adapun) takbur ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia lain.(Hadis Sahih Riwayat Muslim dan Tarmidzi)


Huraian Al-Hadis:

Hadis di atas memberi gambaran betapa bahaya sifat takbur. Sifat ini akan menjadi penghalang seseorang dari memasuki syurga Allah walaupun sifat takbur yang ada dalam hatinya itu sangat kecil seperti sebesar debu.

Jika sifat takbur telah bertapak pada diri seseorang maka sudah pasti pada orang tersebut berkumpul segala sifat yang tercela lainnya.

Dia biasanya tidak suka orang lain memiliki apa yang dia miliki, dia tidak mampu bersifat tawadhu’ (merendah diri kepada orang lain), dia sangat mudah dengki atau hasad pada orang lain, dia tidak dapat mengawal perasaan marah, dia tidak mudah menerima nasihat atau menerima pengajaran dari orang lain, dia suka merendah-rendahkan atau memperlecehkan orang lain, bila dia bercakap suka meninggi diri, kalau dia menasihati seseorang dia suka menghina, bila dia duduk dia akan marah jika tidak diletakkan pada tempat yang baik lagi terhormat.

Itulah sebabnya maka Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa tidak termasuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sifat takbur walaupun sebesar zarah. Sifat takbur itu menghalang dia daripada masuk syurga kerana takbur telah menghalang dia daripada memiliki akhlak yang mulia dan sifat-sifat yang terpuji.

Takbur adalah dosa pertama yang wujud di alam ini kerana sifat takburlah yang mendorong Iblis untuk enggan sujud pada Adam (as). Ketika Allah bertanya kepada Iblis: Apakah yang menghalang kamu untuk sujud kepada Adam ketika Aku perintah tadi? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada dia, Engkau mencipta aku daripada api, sedangkan dia (Adam) Engkau ciptakan daripada tanah.

Motif keengganan Iblis untuk sujud kepada Adam adalah takbur. Ini sebagaimana dijelaskan olih Allah:

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam”, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir”. (Al-Baqarah 2:34)

Jenis Takbur Dan Hukumnya:

Takbur menurut hadis di atas ialah:

1. Menolak Al-Haq (kebenaran).

2. Menghina manusia lain.

Dan atas dasar inilah maka para ulama membahagi takbur kepada tiga jenis:

1. Takbur terhadap Allah. Inilah jenis takbur yang paling buruk. Takbur jenis ini hukumnya kufur. Contohnya: Fir’aun pada zaman Nabi Musa dan Namrud pada zaman Nabi Ibrahim.

2. Takbur terhadap para Rasul. Jenis takbur ini juga sangat buruk tetapi dibawah darjat takbur kepada Allah. Hukumnya juga kufur. Contohnya seperti kekufuran orang Arab Jahiliyah terhadap Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam).

3. Takbur terhadap sesama manusia. Hukumnya bolih membawa kepada kufur sekiranya kesombongannya itu terhadap ajaran Allah dan ajaran Rasul yang disampaikan oleh seseorang. Tetapi hanya maksiat atau dosa besar jika kesombongannya itu hanya menyangkut masalah status dalam masyarakat umpamanya sombong kerana dia merasa status dalam masyarakat umpamanya sombong kerana dia merasa lebih kaya, pangkat lebih tinggi, wajah lebih cantik dan sebagainya.

Jadi pembahagian takbur ini berdasarkan dua jenis takbur yang termaktub di dalam Hadis di atas. Yang pertama boleh membawa kekufuran jika yang menjadi pendorongnya adalah menolak kebenaran, sedangkan jenis kedua adalah maksiat jika pendorongnya kerana kedudukan.

Nasib Orang Takbur Di Padang Mahsyar:

Di antaranya peranan Hari Kiamat ialah: خَافِضَةٌ رَّافِعَةٌ ertinya: (Kiamat) akan merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain). (Surah Al-Waqi’ah :3).

Menurut ulama tafsir makna ayat di atas ialah pada Hari Kiamat nanti Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang suka merendah dirinya ketika berada di dunia. Dan sebaliknya Allah akan merendahkan darjat orang-orang yang dulunya di dunia suka membesarkan dirinya (takbur).

Baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:

“Orang-orang yang takbur akan dihimpun pada Hari Kiamat sebesar kuman dalam bentuk manusia. Mereka akan diliputi olih kehinaan dari semua penjuru. Mereka akan digiring ke panjara di dalam Neraka Jahannam”. [HR An-Nasaai dan Tarmidzi]

Cara Mengubati Sifat Takbur:

Sekiranya seseorang mengaku beriman kepada Allah, tetapi tidak tunduk dan tidak menerima isi kandungan kitabNya Al-Quran, tidak merasa terikat dengan ketentuan agamaNya, suruhanNya, laranganNya dan bimbinganNya, maka pada hakikatnya orang tersebut adalah pendusta dan kafir.

Dan jika seseorang mengaku beriman kepada Rasul, tetapi dia tidak tunduk dan tidak patuh dengan apa yang datang daripada Rasul, malah kadang-kadang menentang sunah Rasul yang sahih, maka orang tersebut juga pada hakikatnya dusta dalam imannya dan kufur terhadap Rasul.

Oleh itu, ubat takbur kepada Allah dan Rasul ialah dengan memantapkan iman kepada Allah dan RasulNya serta tunduk patuh terhadap segala ajaran Allah yang telah dibawa oleh RasulNya. Dengan kata lain, ia mestilah bersikap: Sami’naa Wa Atha’naa segala yang datang dari Allah dan Rasul.

Demikian juga andaikata takbur kepada sesama manusia kerana orang tersebut menyampaikan kebenaran yang datang dari Allah dan Rasul, maka ubatnya ialah sebagaimana kita sebutkan di atas.

Adapun takbur dengan sesama insan yang disebabkan oleh statusnya (kedudukannya) dalam masyarakat maka antara ubatnya ialah sebagaimana berikut:

1. Dia hendaklah memperbanyak membaca ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi yang berkenaan dengan azab yang bakal diterima oleh orang-orang takbur di akhirat nanti. Antaranya: kelak dia akan dibangkitkan di Padang Mahsyar sebesar kuman, takbur akan menghalang amalnya diterima Allah.

2. Dia mestilah selalu merenung tentang dirinya. Dari apakah asal-usulnya dan ke mana akan berakhir dirinya. Dirinya berasal dari air yang hina (mani) dan kelak akan berakhir dengan kemusnahan. Oleh itu tidak wajar bersikap sombong.

3. Dia mestilah menyedari bahawa perjalanan hidupnya hanya terletak di tangan Allah. Setiap saat ia berhajat kepada rahmat, redha dan ampunan Allah. Dia tidak tahu pasti malaikat yang manakah yang akan turun menjemput rohnya; malaikat Rahmat atau malaikat Azab? Dia juga tidak pasti apakah dapat menjawab atau tidak pertanyaan malaikat mungkar wa nakir dalam kubur nanti?

4. Dia hendaklah merenung sejenak, apakah sebab yang mendorong dia menjadi takbur? Sekiranya kerana ilmu, maka sebenarnya apa yang ia ketahui sangat sedikit jika dibandingkan dengan apa yang ia belum ketahui (jahil). Atau masih banyak lagi orang yang lebih ‘alim daripadanya. Demikian juga jika takburnya kerana kekayaan, kekuasaan, kejelitaan dan sebagainya.

5. Sekiranya pendorong dia menjadi takbur adalah kerana keturunan, maka ketahuilah asal-usulnya adalah tanah atau air yang hina (mani). Nenek moyangnya jikapun mulia adalah kerana sifat-sifat mulia dan amal soleh mereka. Sekiranya dia ikut jejak mereka yang mulia itu maka dia berhak mendapat kemuliaan kerana amalnya bukan kerana mereka. Demikian sebaliknya, sekiranya akhlaknya buruk, maka kemuliaan nenek moyangnya sedikitpun tidak akan berguna untuknya.

6. Dan andai kata pendorong takburnya kerana ibadahnya yang lebih banyak daripada orang lain. Dia hendaklah menyedari bahawa akhir hayatnya hanya di tangan Allah. Dia tidak tahu pasti akan hidupnya akan berakhir dengan husnul khatimah (akhir yang baik) atau sebaliknya su-ulkhatimah (akhir yang buruk).

Imam al-Ghazali ada mencatatkan lima cara untuk mengikis sikap takbur dalam diri seseorang iaitu dengan cara:

1. Apabila kita bersuara dengan anak-anak kecil, maka kita anggaplah yang sebenarnya dia lebih bersih dan mulia daripada kita kerana mereka masih belum mempunyai dosa-dosa berbanding dari kita yang telah dewasa.

2.Apabila kita bersuara dengan orang tua pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya doanya lebih mulia daripada kita kerana dia lebih lama beramal ibadah kepada Allah dari kita.

3.Apabila kita bersuara dengan orang alim pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya beliau lebih mulia daripada kita kerana insan sebegini memiliki lebih banyak ilmu yang beliau ketahui tetapi kita belum mengetahuinya.

4.Apabila kita bersuara dengan orang jahil pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya dia lebih mulia dari kita kerana dia melakukan dosa disebabkan kejahilannya, sedangkan kita berdosa akan tetapi memiliki ilmu pula dengan sengaja kita melakukannya walaupun hakikatnya kita tahu yang mana satu perkara buruk dan baik.

5.Apabila kita bersuara dengan orang kafir pula, katakanlah dalam hati bahawa suatu hari nanti mungkin dia akan insaf dan akan memeluk islam. Maka semua dosa yang dilakukan sebelum dia masuk Islam akan diampunkan oleh Allah s.w.t. Sedangkan kita pula sebagai umat islam sejak lahir terus-menerus melakukan dosa tanpa mengenal balasan Allah yang bakal tiba kelak.

Dan yang sebenarnya telah banyak manakah dosa dan pahala yang tidak mampu kita pastikan.? Dari itu segeralah kita kembali kepadaNYA semoga amalan kebaikan kita di dunia ini akan dibalas kegembiraan diakhirat kelak.

Kita berdoa, semoga Allah swt kurniakan pada kita sifat tawadhu’ (rendah diri) dan melindungi kita dari sifat takbur.

Wasallam.

No comments:

Post a Comment