Syarikat yang didakwa membekalkan dakwat kekal bagi pilihan raya umum lalu Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd mula menjadi buruan wartawan selepas namanya didedahkan di Parlimen semalam.

Setakat jam 2.20 petang tadi, termasuk Malaysiakini, sudah tiga pengamal media hadir ke pejabat syarikat itu di Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9A, Seksyen 9, Shah Alam.

Bagaimanapun, kesemua pemberita hampa selepas gagal mendapat sebarang reaksi daripada Integrated Challenger, yang perolehan dakwat kekal itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malaysiakini pada sebelah paginya mengunjungi alamat syarikat itu berhampiran kawasan perumahan dan sebuah sekolah di Seksyen 13, Shah Alam, yang alamatnya diperoleh daripada carian maklumat di Google.

Bagaimanapun, tempat itu kini didapati menempatkan sebuah spa yang menawarkan khidmat terapi ozon dan penjagaan kesihatan.

Loceng pintu masuk spa yang terletak di tingkat dua bangunan kedai dan pejabat itu tidak dijawab oleh sesiapa selepas ditekan berulang kali.

Ruang dalam yang boleh dilihat menerusi kaca pintu juga gelap gelita. 

Sementara rak kasut di tepi kanan pintu dan sepasang kasut di atasnya diselaputi habuk yang tebal, seperti lama ditinggalkan.

'Dia ada tugas luar'

Enggan kecewa dengan penemuan itu, pada tengaharinyaMalaysiakini berkunjung pula ke lokasi kedua di Seksyen 9 Shah Alam seperti tercatat dalam daftar syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Jika lokasi pertama adalah sebuah spa, lokasi kedua pula terletak di atas sebuah spa yang menawarkan khidmat pelangsingan dan urutan badan ala-Bali.

Malaysiakini terhalang untuk naik ke pejabat itu oleh pintu kaca yang berkunci namun berjaya bercakap dengan seorang pekerja pejabat melalui interkom.

Malaysiakini: Selamat petang. Ini pejabat Integrated Challenger Sdn Bhd kan? Saya hendak bercakap dengan Puan Norsiah Yusoff (yang dikatakan pengarahnya, hasil maklumat carian di Internet).

Pekerja: Dia tak ada di pejabat sekarang. Dia buat kerja luar.

Malaysiakini: Saya mahu dapatkan maklum balas tentang dakwaan syarikat ini membekalkan dakwat kekal untuk SPR. Siapa yang boleh saya hubungi?

Pekerja: Saya pun tak tahu encik. Puan Norsiah pun saya tak pasti bila dia akan selesai dengan tugasan luar dia.

Dakwaan hubungan rapat dengan bos SPR

Penyambut tetamu tersebut enggan memberikan nombor telefon Norsiah atau pegawai syarikat lain yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut.

Malaysiakini juga menunggu selama sejam di kawasan berdekatan untuk menunggu kemunculan Norsiah atau pegawai lain syarikat itu.

Setengah jam kemudian, dua orang wartawan dari sebuah harian berbahasa Melayu juga tiba di lokasi sama tetapi difahamkan mereka dimaklumkan, premis itu bukan pejabat Integrated Challenger.

Mereka mahu menemui Mohamad Salleh Mohd Alli, yang didakwa pemilik syarikat itu oleh Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli semalam.

Bagaimanapun, wartawan berkenaan dimaklumkan, beliau sedang berada di luar negara.

NONETidak lama kemudian, muncul lagi dua orang wartawan sebuah portal berita baru yang akan beroperasi tidak lama lagi, di lokasi sama.

Mereka pula dimaklumkan bahawa kedua-dua Mohamad Salleh dan Norsiah tidak ada di pejabat.

Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli (atas) semalam di Dewan Rakyat mendedahkan Integrated Challenger sebagai syarikat yang didakwa sebagai pembekal dakwat kekal pilihan raya umum lalu.

Beliau menyebut nama serta nombor kad pengenalan individu yang didakwa sebagai pemilik syarikat terbabit.

Pengarah strategi PKR itu juga mendakwa syarikat itu mempunyai hubungan rapat dengan pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, tuduhan yang dinafikan suruhanjaya itu.

Rafizi juga mendakwa, Integrated Challenger turut mendapat kontrak bernilai besar RM6.9 juta itu secara rundingan terus.