Monday, July 18, 2011

TANDA-TANDA PESAKIT ADA GANGGUAN JIN
By ishakAR
  • Sering Sakit pada bahagian punggung, bahu dan tengkuk.
  • Rasa sebal dan panas pada anggota badan.
  • Sering pening, sakit kepala dan mabuk yang bukan disebabkan oleh penyakit.
  • Perubahan sikap pada diri pesakit.
  • Seperti merasa ada sesuatu bergerak dalam angggota tubuh.
  • Suka menyendiri di dalam bilik sambil melihat cermin dan bermain dengan rambut.
  • Badan, tengkuk berasa bahang dan gelisah mendengar bacaan Al-Quran.
  • Dukacita dan selalu kesal.
  • Tidak mau tidur/sukar memejamkan mata sambil merasa seram dan takut.
  • Banyaknya terjadi pertikaian di dalam rumah di antara suami-isteri dan antara anak-anak.
  • Warna wajah muram, pucat dan kekuningan.
  • Mendengar suara bisikan di telinga.
  • Sakit yang berlari-lari atau sakit di antara kulit dan isi yang tidak dapat dikesan oleh perubatan moden.
  • Rasa seram diiringi sejuk seperti demam, sendawa angin, sakit kepala selepas masuk waktu Asar.
  • Sakit ketika ziarah orang mati.
  • Melihat jelmaan jin secara terus.
  • Gagal melakukan hubungan kelamin antara suami-isteri.
  • Kerap sendawa dan terasa mengantuk bila mendengar al-Quran.
  • Mimpi dilanggar kenderaan dan melihat darah bertaburan di jalanraya.
  • Mimpi diterkam, bergelut dengan makhluk yang menakutkan sebaik sahaja mula terlena.
  • Mimpi melihat binatang yang menakutkan seperti ular, harimau, buaya dsbnya.
  • Mimpi berada di tempat asing lagi menggerunkan seperti berjumpa mayat atau orang yang mati.
  • Mimpi berada di awang-awangan, tempat-tempat tinggi seperti gunung, bukit atau hutan lalu jatuh ke bumi.
  • Kedengaran bunyi goli jatuh ke lantai di rumah.
  • Kedengaran ada orang menarik perabot di rumah waktu malam.
  • Masakan cepat rosak dan basi.
  • Tempat berbau busuk atau kemenyan.
  • Keadaan keluarga porak peranda.
  • Nampak kelibat atau bayangan kemana sahaja pergi.
Jika saudara atau ahli keluarga mengalami keadaan seperti disenaraikan ini, maka bersegeralah berdoa dan memohon ke hadrat Allah S.W.T agar menolong saudara menghindar pengaruh sihir atau mengeluarkan jin penganggu tersebut dari tubuh dan rohani anda dan ahli keluarga.

 
Berikhtiarlah dengan kaedah yang dibenarkan oleh syarak', jauhi dari menggunakan khadam jin. Ikhtiar seumpama ini dengan keyakinan akan membawa kepada syirik kepada Allah.

Thursday, July 14, 2011

ARTIKEL JEMPUTAN

Dahsyatnya Azab Kubur


Oleh: Cina Muslim
Salam mesra kepada semua, sedikit tazkirah ringkas dalam blog saya ini untuk memperingati kepada diri saya dan semua akan azab kubur yang amat pedih dan dahsyat. Suatu azab yang cukup hebat kepada hambanya yang melakukan maksiat dan dosa. Azab kubur merupakan intro sebelum menempuh azab neraka kepada orang yang menderhakai Allah dan RasulNya.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.

Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”


Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepadanya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepadanya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)


Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.

Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.

Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.

Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.
Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali-Imran ayat : 16)

PETUA IMAM
SYAFIE RA

Bismillahirrahmanirrahim.........
 Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3 kerap mandi
4. berpakaian dari kapas
 Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam
 Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih
 Empat perkara merosakkan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat
 Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama
 4 CARA TIDUR
1. TIDUR PARA NABI Mengiring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.
2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA Mengiring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.
4. TIDUR SYAITAN Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.


Anda mungkin juga meminati:


• Cinta Daripada Pandangan Imam Al-Syafie


RENUNGAN BERSAMA

Hayati Firman Allah – Ayat 6 Surah Al-Hujurat


Atas segalanya, saya amat berharap semoga sistem perundangan, eksekutif dan kehakiman serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa beringat dengan nasihat Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.

Tuesday, July 5, 2011

Daulatkan syariat Islam

SEPANJANG minggu ini telah disifatkan GMUKM sebagai minggu yang menghina agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyedari perkara yang pada awalnya bermotifkan kepentingan politik kini telah mengheret syariat Islam sedikit demi sedikit. Klimaksnya, tanpa sebarang motif yang jelas, tiba-tiba Utusan Malaysia didapati telah menyiarkan sebuah kartun yang jelas menghina syariat berkenaan saksi perbicaraan dalam Islam.

Jelas sekali mesej yang cuba disampaikan akhbar tersebut bahawa betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat-syarat untuk membawa empat orang saksi dalam penghakiman kes zina, liwat dan rogol.

Lakaran kartun yang disiarkan cuba menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan membuktikan dengan rakaman handphone ditolak tok penghulu kerana tiada empat saksi.
Manakala ketika wanita sama mengadu kepada polis, bukti rakaman rogol menggunakan telefon bimbit diterima

PENGHINAAN TERHADAP ISLAM

"Ini jelas menghina Islam! Tindakan penulis ini adalah sama, malah lebih teruk daripada lakaran (pelukis Denmark) menghina Rasulullah SAW pada tahun 2006 dahulu," ulas Koordinator GMUKM, saudara Fariq Fitri ketika ditemui.

"Kita melihat percubaan mengaitkan kes mahkamah dengan syariat Islam ini adalah sangat-sangat memalukan dan menghina Islam seluruhnya, kerana kejahilan pelukis kartun ini telah memesong dan merosakkan objektif sebenar syariat membawa 4(orang) saksi yang diperintah di dalam Al-Quran.

"Kita kesal dan memohon pihak Kementerian (Dalam Negeri) menyiasat perkara ini kerana akhbar tersebut sudah dua kali mencetus provokasi yang jelas sangat-sangat menggugat negara," tambah saudara Fariq yang merujuk kepada insiden tajuk muka hadapan Utusan bulan lalu berkenaan 'Kristian Agama Persekutuan ?' yang juga telah diberi amaran oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.

GUGUR AKIDAH

Bagi saudara Wan Ahmad Fahmi, MPM GMUKM bagi kerusi tahun umum 3/4 yang juga merupakan Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan PMUKM menyifatkan lakaran kartun yang dibuat ini sengaja dilakukan atas kepentingan politik biarpun tahu ia merupakan syariat di dalam Al-Quran.

"Kita lihat di dalam Surah an-Nur, ayat 4 bermaksud 'Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.'

"Perkara ini telah lama dibahaskan oleh alim-ulama (yang telah memperincikan) bahawa ciri-ciri empat orang saksi tersebut. Antaranya, keempat-empat orang saksi adalah orang lelaki yang sempurna; tidak cacat penglihatan, pekak, bisu. Juga tiada unsur pakatan atau paksaan di antara keempat-empat saksi tersebut. Perkara ini jelas untuk mengelakkan kesamaran, (yang mungkin membawa kepada) fitnah kepada si tuduh.
"Jika saksi tidak dapat dibawa, video atau apa jua bukti lain yang disebut sebagai 'qarinah' boleh diterima, namun memerlukan pengesahan orang yang ahli bidang tersebut. Aduan dibuat dengan adab secara tertutup tanpa sebarang hebahan kepada awam, kerana takut menimbulkan fitnah.

“Kita kesal dengan sikap pengamal media ini yang tidak menjaga etika dan moral mereka, (kerana) takut-takut perkara ini boleh membawa kepada gugurnya akidah sekiranya pelukis dan editor akhbar tersebut sedar akan syariat ini, tetapi masih hendak menyiarkan kartun tersebut," tambah Fahmi.

Merujuk pula kepada bilangan pemohon untuk keluar agama (murtad) seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di dalam sidang Parlimen awal minggu ini, jumlah permohonan untuk murtad dari tahun 2000 hingga 2010 adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.Daripada itu, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.

"Kita khuatir dengan perkembangan tersebut yang membimbangkan seluruh umat Islam khusus di Malaysia kini. Jumlah 135 orang (yang murtad) bukanlah suatu angka yang biasa. Dan selebihnya daripada 686 orang yang telah memohon untuk murtad juga, sekiranya tidak ditangani dengan baik, individu tersebut akan murtad di luar(prosedur menukar status agama) dengan cukup sekali lafaz sahaja," ulas saudara Fahmi.

"Perkara ini bukan main-main kerana di setiap negeri kecuali di negeri Kelantan, ada sahaja permohonan untuk murtad. Maka masalah ini adalah masalah seluruh negara. Kita sebagai mahasiswa, perlu cakna (dengan perkara ini). Jangan sampai kita dipertanggungjawabkan di Hari Kemudian, atas sebab kita tak 'nak ambil tahu dan ambil tindakan dengan perkara ini.

"Saya menyeru kepada persatuan dan kelab-kelab di UKM, selain daripada kita merancang untuk adakan program-program Bakti Siswa atau OPKIM yang berkonsep turun ke lapangan masyarakat, jangan kita lupa untuk turun juga mendekati ahli-ahli masyarakat yang bermasalah akidah seperti ini. Perbanyakkan jaringan dengan majlis dan persatuan-persatuan penduduk atau komuniti masyarakat untuk kita kesan golongan bermasalah seperti ini," tambah saudara Fahmi merujuk kepada individu yang telah memohon menukar agama.

“Kita selaku yang faham tentang Islam dan tahu serba-sedikit tentang sifat hormat-menghormati serta akhlak baik perlulah bertanggungjawab turun ke lapangan masyarakat. Kita sendiri yang perlu turun menyedarkan mereka dan sebar fahamkan apa yang kita faham tentang Islam serta perkara-perkara berkaitan. Kedua-dua isu yang terjadi minggu ini jelas memerlukan satu tindakan bersepadu. Cadangan ringkas daripad saya, daulatkan syariat Islam,” ujar Fahmi mengakhiri temubual dengan Editor GMUKM.
http://gm-ukm.blogspot.com