Thursday, November 5, 2020

 

HUKUM  PENGERAS BAGI RAWATAN SIHIR DAN UPAH BAGI RAWATAN ISLAM

Hukum memberi pengeras dalam rawatan mengubat sihir?

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pengeras didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai bayaran kepada pawang kerana berubat atau menuntut ilmu daripadanya. Pengeras dalam pengubatan Islam adalah sesuatu bahan atau bayaran yang ditetapkan sebagai syarat untuk rawatan yang dikaitkan dengan amalan yang bertentangan dengan syarak. (Lihat 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, m. 123). Ianya boleh sahaja dalam bentuk wang, haiwan, makanan dan lain-lain.

Upah adalah berbeza dengan pengeras. Upah bagi rawatan perubatan ruqyah syar’iyyah adalah diharuskan di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Sa’id al-Khudir, beliau berkata:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ، فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ، فَقَالُوا لَهُمْ: هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ؟ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ: نَعَمْ، فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، فَبَرَأَ الرَّجُلُ، فَأُعْطِيَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا، وَقَالَ: حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ وَاللهِ مَا رَقَيْتُ إِلَّا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَتَبَسَّمَ وَقَالَ: «وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟» ثُمَّ قَالَ: «خُذُوا مِنْهُمْ، وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ»

Maksudnya: “Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: “Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.” Salah seorang dari para sahabat menjawab: “Ya, ada.” Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: “Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW,” beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah.” “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.”

(Riwayat Muslim, no. 2201)

Imam al-Nawawi berkata: “Ini merupakan ucapan yang jelas sekali tentang keharusan mengambil upah daripada ruqyah dengan Al Fatihah dan zikir. Sesungguhnya ianya adalah halal tanpa kemakruhan di dalamnya. Demikian juga upah daripada mengajarkan al-Qur’an. Ini adalah mazhab al-Syafie, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan yang lainnya dalam kalangan Salaf dan ulama yang setelah mereka. Abu Hanifah melarang mengambil upah dalam pengajaran Al Qur’an, dan membolehkannya dalam ruqyah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/188)

Larangan memberi pengeras kepada pawang atau bomoh disebutkan dengan jelas dalam hadith sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Mas’ud al-Ansar:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “sesungguhnya Rasullullah SAW melarang jual beli anjing, wang hasil pelacuran dan memberi pengeras (habuan) untuk bomoh (atas tilikan dan ramalannya)”.

(Riwayat al-Bukhari, no. 2237)

Ibn Battal mendefinisikan (حُلْوَانِ الكَاهِنِ) sebagai upah daripada usaha perbomohannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/364)

Justeru, hukum memberi pengeras adalah haram dan boleh membawa kepada syirik kerana meletakkan syarat pengeras bagi penentu kesembuhan. Ini sekaligus menafikan kekuasaan Allah SWT sebagai Maha Penyembuh. Firman Allah SWT:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-An’am: 17)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan agamanya dengan cara yang sahih dan tidak bercanggah dengan syariat-Nya.

Rujukan Hadis-Hadis Rasulullah SAW

Hadis 1

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; Bermaksud: Bahawa beberapa orang di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. sedang berada dalam perjalanan melalui salah satu dari perkampungan Arab. Mereka berharap dapat menjadi tetamu penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu. Namun begitu ada yang bertanyakan kepada mereka; ”Adakah di antara kalian yang boleh menjampi? Kerana ketua kampung kami terkena sengatan binatang. Salah seorang daripada para sahabat itu menjawab: Ya, ada. Sahabat tersebut kemudiannya melawat ketua kampung yang sedang sakit itu dan menjampinya dengan Surah Al-Fatihah. Ternyata ketua kampung itu sembuh, lalu diberikanlah kepadanya beberapa ekor kambing. Sahabat itu menolak untuk menerimanya dan berkata: Aku akan bertanyakan dahulu kepada kepada Nabi s.a.w. Dia pun pulang menemui Nabi s.a.w. lalu menceritakan peristiwa tersebut kepada Rasullullah. Dia berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan Surah Al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu lalu Rasulullah s.a.w. tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau bahwa Al-Fatihah itu merupakan jampi? Kemudian baginda bersabda lagi: Ambillah pemberian dari mereka itu dan asingkan sedikit untuk bahagianku.

(Hadis Riwayat Imam Muslim) 

Hadis 2

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; Bermaksud: Bahawa pada suatu ketika beberapa orang sahabat Rasulullah SAW telah datang ke sebuah perkampungan Arab, akan tetapi penduduk kampung itu tidak menerima kedatangan para sahabat tersebut, tiba-tiba ketua kampung itu disengat ular, (lalu wakil penduduk kampung berjumpa dengan para sahabat tersebut) dan bertanya: Adakah kamu mempunyai ubat penawar sengatan ular atau adakah di antara kalian ahli perubatan?, para sahabat menjawab: Kalian telah tidak menerima kedatangan  kami di kampung ini, kami tidak akan melakukannya sehingga kalian membayar upah untuk kami. Akhirnya mereka berjanji akan memberikan beberapa ekor kambing sebagai upahnya. Kemudian salah seorang sahabat membaca Surah al-Fatihah, kemudian mengeluarkan sedikit ludah (diletakkan di bahagian sakit), dengan serta merta ketua kampung sembuh, kemudian mereka membawa kambing-kambing kepada para sahabat. Para sahabat tersebut berkata: Jangan kita ambil upah ini, sehingga kita bertanya kepada baginda Rasulullah SAW, kemudian mereka menanyakannya, lalu Rasulullah tersenyum dan berkata: Ketahuilah bahawa Surah al-Fatihah itu adalah ubat penawar, ambillah upah itu dan bagi aku sedikit (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Riwayat 3|

Diceritakan kisah serombongan sahabat Rasulullah SAW bermusafir hingga sampai di sebuah perkampungan. Mereka meminta untuk menjadi tetamu penduduk kampung, namun orang kampung tidak bersedia. Mereka (para sahabat) berkhemah di luar kampung tersebut. ditkdirkan Allah s.w.t. Penghulu kampung dipatuk ular. Satu riwayat menyebut terkena gangguan jin. Mereka lalu datang meminta pertolongan sahabat untuk merawat sakit tersebut. Seorang Sahabat menyahut bersedia untuk merawat (menjampi). Namun beliau mensyaratkan agar dibayar sebanyak 30 ekor kambing. Apabila orang kampung bersetuju maka beliau pun merawat dengan mebacakan surah al-Fatihah. Lelaki tersebut sembuh. Sahabat tersebut diberikan 30 ekor kambing seperti yang dijanjikan. Sahabat itu ingin mengagihkan hasil yang diperolehinya dariapa merawat tetapi para Sahabat yang lain menolak sehinggalah dijelaskan hukumnya oleh Nabi SAW Apbila tiba di Madinah Nabi SAW menyetujui apa yang dilakukan oleh sahabat tersebut. Baginda bersabda: "Bagaiamana kamu tahu bahawa surah Fatihah itu adalah satu jampi? Agihkan kambing tersebut dan berikan kepadaku satu bahagian.

Kesimpulan Hadis & Riwayat

1. Hukum upah rawatan adalah HARUS.

2. Secara umumnya Surah al-Fatihah boleh digunakan untuk rawatan semua jenis penyakit.

Perihal Upah Rawatan

Dari hadis-hadis dan riwayat yang disebutkan, hukum upah untuk rawatan sakit adalah harus. Dalam kes di atas, hanya dengan membaca Fatihah untuk rawatan sakit patukan ular atau gangguan jin, upahnya ialah 30 ekor kambing. Jika dinilai pada hari ini lebih dari RM15 ribu (30 ekor X RM500).   Justeru itu tidak salah bagi perawat mengambil upah atau mengenakan bayaran tertentu untuk rawatan pesakit mengikut persetujuan dua pihak (perawat dan pesakit).

Adalah wajib pesakit membayar bayaran yang telah dipersetujui dan haram jika pesakit enggan menjelaskan bayaran tersebut. Jika perawat telah menyatakan atau mempamerkan upah harga rawatan, wajib pada pesakit membayar mengikut harganya. Namun, jika tiada apa-apa perjanjian atau persetujuan mengenai jumlah bayaran, maka terpulang kepada pesakit untuk memberi seberapa yang termampu (biar berpadanan dengan rawatan).   

Pendapat Ulamak berkenaan Upah Bayaran

1.Berkata Ibn Qudamah dalam kitab Al-Mughni:

Adapun mengambil upah rukyah (menjampi) maka Imam Ahmad memilih qaul yang mengatakan Harus dan beliau sendiri mengatakan Tidak Mengapa.

2. Kata Ibn Hazam dalam kitab Al-Mahalli:

Upah rukyah (menjampi) adalah Harus 

3. Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti dalam kitab Fiqh As-Sirah:

Malik, Syafie, Ahmad, Ishak dan Abu Thaur berpendapat Harus Mengambil Upah Rawatan, manakala Abu Hanafiah memperincikannya iaitu Haram Mengambil Upah Bagi Mengajar Al-Quran Dan Harus Pula Untuk Merukyah.

Tujuan Upah Masa Kini

1.Upah dikenakan kerana penggunaan Masa, Tenaga dan Keperluan Am Untuk Merawat  seperti Kenderaan, Sewa Bangunan, Bayaran Pembantu Dll.

2.Risiko perawat diserang balas oleh Bomoh, Jin dan penyakit tekanan melampau akibat merawat seperti Demam, Strok dan sebagainya amat Tinggi. Siapa pula yang Harus membayar kos merawat untuk perawat jika perawat pula yang Sakit?

3.Adapun merawat penyakit gangguan kebiasaannya mengganggu masa tidur perawat. Bila tak cukup tidur, tentu akan menjejaskan kesihatan. Sewaktu sakit, perawat tidak berupaya merawat dan hilang sumber pendapatan. Siapa pula yang akan menanggung kos sara diri dan keluarga perawat?

Pesanan Pada Pesakit dan Keluarga Pesakit

Jangan kerana Ikhlas, Pesakit melabelkan perawat berubat kerana Wang, Bukan Kerana Allah. Perlu diingat, amalan untuk mengubati penyakit Harus Ikhlas pada syariat dan pengamalan.Jadi, bagi diri perawat sendiri sudah ditanam Taqarrub Pada Allah. Kenapa tidak dipersoalkan pada Perkhidmatan Doktor? Jika diberi ubat, betullah dengan kos pengilangan dan pengeluaran harus dibayar. Tapi bagaimana pula dengan Perkhidmatan? Atas nilai apa perlu dibayar? Ya...kerana ilmu untuk menjadi doktor diguna..Jadi itulah caj harga yang perlu dibayar... Bagi perawat Islam, perlukan seseorang itu menuntut dan berilmu? yang dibayar bukan ilmunya tetapi perkhidmatannya, maka samalah keadaannya dengan khidmat doktor perubatan. Mungkin bagi doktor perubatan ia dinilai kepada ilmu perubatan yang dimiliki dan khidmat yang diberikan kedua-duanya perlu dibayar.

Oleh itu janganlah dipertikaikan caj perkhidmatan rawatan yang ingin disumbangkan kepada para perawat Islam. Adapun kunci kesembuhan milik Allah adalah dengan tiga syarat utama: Pertama: Ikhlas dengan semua bentuk sumbangan, Kedua: Berkeyakinan sepenuhnya di atas ikhtiar yang dilakukan oleh perawat dan Ketiga: Bertawakkal kepada Allah moga dengan izinNya penyakit kita disembuhkan.

Wassalam

No comments:

Post a Comment