Wednesday, January 15, 2020



Susunan: Ust Ishak AR

Diantara jenis-jenis amalan khurafat orang Melayu adalah seprti berikut;
1. Anggapan sial atau membawa malapetaka kepada seseorang ataupun masyarakat dengan kehadirannya dan amalan buang sial: tepung tawar, Lenggang perut, Mandi bunga/Sintok limau dan Mandi Safar. Islam menganggap setiap orang itu ada qadar baiknya dan ada qadar buruknya dan sama sekali tidak ada kesialan pada diri seseorang. Begitu juga cara untuk menghindari sesuatu musibah adalah memohon kepada Allah yang menciptakan segala-galanya bukannya dengan amalan-amalan buang sial.

2. Kepercayaan kepada hantu dengan alasan untuk tinggal selamat di suatu tempat atau memberi makan kepada hantu peliharaannya ataupun konon-kononnya untuk membayar niat tertentu.
Sesungguhnya Islam dengan aqidah dan tauhid yang amat kental mengajak manusia agar beriktikad bahawa segala sesuatu yang memberi bekas adalah Allah SWT saja yang tidak ada sekutu dengannya. Oleh itu tidak perlu menjamu kepada sesiapa kerana segalanya adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang amat lemah.

3. Ilmu seru gerak yang kebiasaannya diamalkan oleh kumpulan silat yang mengamalkan jurus kebatinan.
Islam itu lengkap dan amat sempurna dari unsur-unsur luar yang bercadang untuk menyempurnakan Islam. Ilmu mempertahankan diri adalah amat baik dan Islam amat menggalakkan umatnya mempersiapkan kelengkapan dan segala kekuatan bagi mempertahankan kesucian Islam tetapi bukan dengan sesuatu yang tidak ada asalnya dari Islam seperti : ilmu seru gerak dan jurus kebatinan.

4. Jampi serapah yang ada unsur-unsur syirik atau menghina Islam atau tidak difahami maksudnya.
Para ulama berbeza pendapat dalam masalah membaca jampi serapah yang bukan bersumber dari al-Qur’an dan hadits kepada beberapa pandangan. Sebahagian mereka tidak mengharuskan sama sekali sebarang jenis bacaan jampi jika bukan dari al-Qur’an mahupun hadits. Tetapi sebahagian yang lain mengharuskan dengan syarat difahami maknanya dan tidak ada unsur-unsur yang dilarang dalam agama di dalam bacaan jampi tersebut. Seperti : seruan kepada sesuatu, menghina Allah, Nabi Muhammad (), ajaran Islam, memohon sesuatu kepada selain Allah SWT, termasuk meminta keapad batu atau kayu dan sebagainya.

5. Mempercayai percakapan, ramalan dan tilikan dukun samada terhadap perkara yang telah lalu atau di masa akan datang.
Sebahagian daripada perkara yang haram, berdosa besar bahkan syirik di dalam Islam ialah mempercayai tilikan dukun.

6. Memohon dengan percakapan atau ungkapan yang tidak ada asal usul suruhan dalam Islam seperti kata-kata “Tabik Tok Nenek” ketika melalui sesuatu tempat atau “Minta simpang Malaikat 44” ketika mengharapkan sesuatu yang tidak diingini.

7. Penggunaan tangkal di rumah atau dipakai di badan yang bukannya dari sesuatu yang tsabit dalam agama serta tidak dijaga dari dibawa ke tempat-tempat yang bukan suci.
Pada kebiasaannya penggunaan tangkal akan menyebabkan seseorang bertumpu kepada tangkal dan merasakan dirinya selamat selama tangkal itu berada dengannya. Maka sebab itulah Baginda Nabi SAW melarang penggunaan tangkal.
8. Meletakkan Ladam Kuda dipintu rumah dengan alas an boleh menghindari dari gangguan makhluk halus.

9. Mengantung isim yang dipahat di logam tertentu dengan berbagai-bagai rajah dan tulisan yang bukannya ayat al-Qur’an atau sesuatu yang warid dalam agama.

10. Bersahabat dan meminta pertolongan kepada Jin/Khadam/Masuk Tok Nenek dalam badan (menurun).
Islam amat melarang umatnya bersahabat, meminta pertolongan dan apatah lagi berkahwin dengan golongan jin yang kejadiannya, seleranya dan kehidupannya amat berbeza sama sekali dengan manusia.

11. Mengamalkan ilmu pengasih
Ilmu pengasih atau ilmu yang didakwa dapat menawan hati seseorang samada dengan tujuan baik, iaitu ingin bernikah, ataupun dengan tujuan yang jahat, iaitu ingin memperdaya seseorang adalah haram di sisi agama. Ia termasuk dalam kelompok ilmu sihir, walaupun dengan menggunakan ayat al-Qur’an yang ditokok tambahkan dengan kalimah-kalimah tertentu.

12. Perasapan kemenyan dengan tujuan supaya menghalau jin dan hantu di dalam rumah dan menjemput malaikat datang ke rumah.
Amalan yang terdapat dalam masyarakat Melayu ialah perasapan kemenyan pada malam Jumaat. Dengan alasan, agar rumahnya didatangi oleh para malaikat ataupun untuk menghindari rumahnya dari dimasuki oleh iblis syaitan ataupun untuk menyepuh keris-keris atau sebarang jenis senjata warisan dan sebagainya. Sebenarnya amalan-amalan seumpama ini adalah amalan yang bersumberkan kepada ajaran agama Hindu dan jelas bercanggah dengan ajaran Islam bahkan dapat mengundang kemudharatan kepada pelakunya.

13. Meletakkan air di dalam bekas untuk dijamukan kepada para malaikat “Air Malaikat”.
Sesungguhnya Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah SWT daripada Nur atau cahaya yang tidak pernah menderhakai Allah SWT walaupun mereka tidak mempunyai nafsu, tidak makan, minum, tidur, berkahwin, beranak ataupun melakukan sesuatu yang disebabkan nafsu. Maka bagaimana mungkin air boleh disediakan untuk minuman para malaikat? Ini adalah disebabkan kejahilan tentang perkara agama.

14. Menganiaya atau menzalimi orang melalui sihir, santau dan pukau.
Tujuan mereka untuk menguji ilmu mereka, membantu orang lain yang bermusuhan dengan seseorang, memintas perniagaan seseorang, mencuri atau ingin mengambil hak milik seseorang bukan dengan secara hak. Kesemua itu zalim namanya yang sangat layak diancam dengan azab yang amat pedih oleh Allah SWT.


15. Pemakaian susuk untuk mencantikkan muka dan badan atau lainnya.
Merubah sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah SWT kepada manusia adalah haram. Seperti firman Allah dalam Surah at-Tin, ayat 4 :-
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya)”.

16. Pemakaian raksa atau apa-apa logam untuk menguatkan tubuh badan atau untuk kuatkan rangsangan seks.
Pemakaian raksa boleh mengkategorikan sebagai merubah ciptaan Allah SWT dan amaln sihir, kerana pemakaian raksa akan menyebabkan seseorang itu menjadi kuat, kebal, tidak penat bekerja berat. Jampi serapah serta amalan tertentu diperlukan untuk memasukkannya seperti pemakaian susuk.

17. Menggunakan objek untuk menakuti jin.
Menggunakan sesuatu objek dengan alasan golongan jin akan takut kepada benda tersebut ataupun bermain dengannya, seperti menabur beras kunyit di dalam rumah, menabur kacang hijau atau lada hitam, menyembur air garam ataupun cuka di rumah, meletakkan sesuatu benda yang berduri di dalam rumah.

18. Kepercayaan kepada kebolehan benda memberi mudharat dan manfaat.
Mempercayai sesuatu objek boleh memberi mudharat dan manfaat seperti batu zamrud, kayu koka, kemuning hitam, raja kayu, teras kilo dan buluh tumpat.
19. Kepercayaan kepada tuah keranda.
Lari dibawah keranda seseorang yang kita terlalu kasih supaya tidak teringat kepadanya.
Sebahagian dari fahaman khurafat yang masih lagi menyelubungi umat Islam dalam masyarakat kita ialah fahaman-fahaman seperti :-
Jangan makan nasi di dalam periuk atau belanga nanti jadi fakir. Jangan main batu baling (batu tujuh) dalam rumah nanti sempit rezeki. Jangan sapu rumah atau buang sampah pada waktu malam nanti sempit rezeki. Rebus batu atau panah matahari dengan cili kering atau sambung baju pengantin sampai ke atas bumbung yang kesemuanya itu supaya tidak turun hujan.

20. Menzalimi binatang seperti amalan memindahkan penyakit kepada binatang atau menyihir seseorang dengan menggunakan katak atau binatang lain.
Tindakan menzalimi binatang dengan alasan untuk menyelamatkan manusia tidak dapat diterima akal dan syarak, bahkan termasuk dalam amalan sihir yang dilaknati Allah SWT.

21. Kepercayaan kepada kebolehan seseorang mendatangkan mudharat atau manfaat.
Mempercayai seseorang wali, keramat atau seseorang seperti bomoh dan dukun boleh mendatangkan kemudharatan ataupun manfaat.

22. Kepercayaan kepada kejadian alam sebagai isyarat masa depan. Mempercayai sesuatu perkara atau bunyi yang berlaku ada kaitan dengan apa-apa perkara atau kaitan dengan orang tertentu, seperti bunyi cicak atau burung, kucing atau biawak melintas dalam perjalanan akan membawa malapetaka.

23. Membaca ayat al-Qur’an secara songsang ataupun dihentikan pada tempat yang salah dari segi tajwid dengan alasan tertentu yang bercanggah dengan syarak.
Umpamanya membaca surah al-Fatihah atau surah al-Ikhlas terbalik kononnya dengan tujuan perubatan atau untuk menghantar balik sihir yang dibuat oleh orang lain. Amalan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan firman Allah SWT, yang mencela sikap golongan Yahudi yang mengubah-ubah ayat-ayat Allah di dalam kitab-kitab terdahulu sehingga mereka menjadi sesat.
“Di antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata Dalam hati): “Kami tidak akan menurut”. (Surah an-Nisa, ayat 46)

24. Kepercayaan kepada kebolehan wafaq. Mempercayai wafaq atau huruf Hija’iyah yang tertentu, yang tertulis sama ada secara rajah ataupun tidak dan juga yang tidak dapat difahami maksudnya, dapat mendatangkan sesuatu manfaat ataupun mudharat. Ini adalah sebahagian dari amalan sihir yang menyesatkan. Apatah lagi jika dikaitkan dengan sesuatu fahaman dan iktikad umpamanya boleh melariskan perniagaan, mendekatkan jodoh dan menghindarkan penyakit.

25. Pengubatan yang bercanggah dengan Islam. Berubat dengan kaedah yang salah dan haram disisi agama seperti menyembelih ayam jantan/hitam, makan bara api, menilik di dalam air atau asap, menitik lilin di dalam air untuk mengetahui sesuatu, mandi air najis, membuka, melihat dan menyentuh aurat pesakit tanpa hajat, berdua-duaan dengan pesakit.

26. Pengubatan dengan bahan harum. Berubat dengan menggunakan bahan-bahan yang haram. Misalnya najis, darah, nanah, air longkang, kain lampin, tuala/modes wanita yang mengandungi kesan darah, sesuatu dari cebisan tubuh badan manusia, seperti rambut, kuku, gigi dan tulang manusia.

27. Upacara memanggil roh. Mengadakan upacara Tahdhirul Arwah, kononnya untuk memanggil roh-roh tertentu masuk kedalam badan seseorang, seperti : memanggil roh Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani dan sebagainya.

28. Pengubatan tanpa sumber agama. Berubat dengan kaedah yang tidak ada asal usul dalam ugama seperti ilmu cungkil urat dengan digaris-garis di hadapan jari kaki dan tangan yang diurut di atas sebuah papan dengan menggunakan pisau tumpul, menggunakan pahat atau penukul. Kononnya sebagai isyarat untuk memulihkan sendi atau uray yang sakit. Juga memaku paku di tiang rumah untuk menghilangkan sakit gigi, menggunakan keris, pisau, pedang dan gambar.

29. Pengubatan oleh bomoh bukan Muslim. Berubat dengan bomoh bukan Islam, seperti : sami Hindu, sami Buddha, paderi Kristian dan tok batin Orang Asli yang menggunakan kaedah kepercayaan terhadap agamanya ataupun jampi serapah agamanya.

30. Mendakwa diri sebagai seorang kasyaf. Mendakwa diri sebagai seorang wali yang kasysyaf dan boleh melihat jin dan sebarang makhluk halus dan boleh menyembuhkan sebarang penyakit.

31. Mensyaratkan pengeras yang pelik-pelik. Seperti mesti memberi benda tajam, atau bayaran yang berjumlah suku seperti dua ringgit suku dan membawa pulut kuning dan telur berwarna.

Rujukan :
Menjana Masyarakat Beraqidah – Himpunan Kertas Kerja Seminar Motivasi Masyarakat Beraqidah Majlis Ilmu 2007, Cetakan Pertama : 2008, Diterbitkan oleh : Jabatan Perdana Mentiri, NBD.

Kesan-Kesan Negatif Daripada Kepercayaan Khurafat
Kepercayaan khurafat boleh membawa kepada kesan negatif kepada seseorang manusia. Khurafat boleh menjadikan seseorang itu berlaku syirik kepada Allah swt kerana mempercayai sesuatu atau ada kuasa yang lain daripada Allah Taala yang mampu memberi pertolongan kepada mereka. Ini menyebabkan seseorang itu terkongkong kerana pantang larang yang diamalkan serta menyekat kebebasan berfikir yang mengakibatkan seseorang itu lemah dan mundur dalam segala hal.
Bahkan mereka sanggup menghabiskan wang, tenaga dan membuang masa mereka dengan sia-sia. Akhirnya perkara tersebut menyebabkan berlakunya huru hara dan perpecahan dalam masyarakat kita.

Cara-Cara Mengatasi Atau Menghapuskan Kepercayaan Khurafat
Untuk membenteras dan menghalang dari berlakunya kepercayaan khurafat di kalangan masyarakat hari ini usaha-usaha da’wah dan penerangan kepada semua peringkat umat Islam perlu dilaksanakan dengan lebih meluas lagi. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang melakukan perkara khurafat iaitu dengan mengenakan hukuman yang berat serta menghapuskan tempat-tempat yang menjadi tempat pemujaan mereka seperti bina-binaan di atas kubur yang dianggap keramat.




Ciri-ciri Mantera

Dari segi bentuk :

i.            Bentuk bebas atau tidak terikat
ii.           Jumlah baris dalam satu rangkap adalah bebas / tidak tetap
iii.          Jumlah rangkap bagi satu-satu mantera juga adalah bebas.
iv.          Rima akhir baris adalah bebas iaitu tidak ada skema rima yang tertentu.

Dari segi isi :
i.            Mengandungi pengucapan dan doa yang penuh dengan kata-kata pujian dengan tujuan membawa keuntungan danmenjauhkan bencana.
ii.           Mengandungi unsur-unsur atau ungkapan magis yang digunakan dalam upacara-upacara tertentu serta bersifatkudus atau menyelami soal-soal kebatinan

Dari segi bahasa :
i.            Mengandungi kata-kata yang dapat memberi kesan gambaran (imej) yang tertentu seperti gambaran alamsemulajadi, benda-benda, tingkah laku atau perbuatan, perasaan atau sentuhan, bunyi atau pendengaran
ii.           Kaya dengan bahasa perbandingan, kata-kata perulangan, kata-kata kiasan atau kiasan bahasa dan metafora.

Jenis mantera dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan, iaitu :
a. Perubatan
b. Pakaian diri
c. Pekerjaan
d. Adat istiadat

1.           Mantera Pakaian Diri

Mantera pakaian diri merupakan mantera yang diamalkan dengan tujuan menjadikan dirinya atau diri seseorang kebal,kuat, terselamat dari perbuatan jahat dan sihir, manis dipandang, dikasihi orang berkenaan dan sebagainya.

a.         Mantera Kuatkan Syahwat.

i.            Bismi’llahi- Rahmani –Rahim
Cang-cang setandang besi
Anak harimau setandang malam
Keras kalam menjadi besi
Keras siang hingga ke malam
Keras seperti besi khursani
Panah batu, batu runtuh
Panah gunuh, gunung runtuh
Panah selera dengan aku
Oh yaman, oh berkat aku pakai
Dengan berkat La Ilaha illa’llah
                                                                                                     (Omar Ahmad,Pulau Pinang)

b.           Mantera Kebal Diri

i.            AssalamualaikumHei !
Diri ku empat anasir
Daging kulitku asalnya tanah
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya hitam
Huuuu ( hembus nafas)
Darahku asalnya api
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya merah
Huuu (hembus nafas)
Uratku asalnya angina
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya kuning
Huuuu (hembus nafas)
Tulangku asalnya air
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya putihHuuu (Hembus Nafas)
Berkat doa La ilaha illa’llah
(Tok Pah, Tanjung Malim ,Perak)



2.           Mantera Perbomohan dan Perubatan

Mantera Perbomohan dan Perubatan  dalam konteks ini bermaksud, semua mantera yang digunakan oleh bomoh untuk menyembuhkan penyakit atau menjadikan seseorang itu sakit. Perbomohan merupakan salah satu institusi sosial yang penting dalam masyarakat Melayu, terutama pada zaman silam kerana bomoh memainkan peranan yang penting sebagai orang perantaraan untuk berhubung dengan makhluk ghaib.

a.           Mantera Memulihkan Sakit Pinggang

i.            Bismi’llahil-Rahmani’l Rahim
Hei besi kalin besi malila
Besi kalin besi tembaga
Besi melilit pinggang aku
Aku tidur engkau jaga
Engkau pelihara pinggang aku
Hei sembelit mula jadi
Daripada besi khursani
Nyahlah engkau terbang ke laut subhanallah
Kalau engkau tidak nyah
Derhakalah engkau kepada Allah
Derhakalah engkau kepada Muhammad
Berkat kata
La ilaha illa ‘llah,
Muhammadar Rasululah
 (Hj. Mohammad Hassan,Pekan)

ii.         Assalamualaikum
Akulah anak panah Sang Ranjuna
Aku panah langit,langit tembus
Aku panah laut, laut kering
Aku panah api, api padam
Aku panah awan, awan hancur
Aku panah gunung, gunung runtuh
Aku panah kayu, kayu tumbang
Aku panah batu, batu pecah
Aku panah jin dan manusia
Tembus dari jantung ke limpa
Hei jin dan manusia
Pindah balik ke tempat kau
Kau tidak boleh duduk tunggu jaga tempat ini
Kau dengar-dengarlah pesanan aku
Jika kau tidak dengar pesanan aku
Aku sumpah, derhakalah kau kepada Allah
Bukan kata aku Kata Allah,
kata Muhammad
Berkat Doa La ilaha illa’llah[1]


3.           Pembantu dalam Pekerjaan

a.           Mantera Menangkap Ikan Guna Hantu Air

Walaupun hantu air di sesuatu tempat perlu dihalau sebelum tangkapan dibuat, namun adakalanya hantu air boleh digunakan untuk membantu penangkapan. Hantu air berupaya memanggil ikan dalam jarak empat batu dan dikumpulkan pada satu tempat. Ini dipercayai berlaku di Kampung Belimbing, Kuantan Pahang dalam tahun 1989. Menurut penduduk kampong itu, kemudian diakui oleh Tok Putih Hassan, dukun yang bertanggungjawab dalam hal itu bahawa :

Atok (Tok Putih) kasihan melihat Salim,anak atok. Dia sudah banyak kali pergi memukat. Ikan tak dapat, ansuran bot dan pukat hendak dibayar. Atok ambil sepinggan bertih dan dijampi. Salim bawa bertih itu dan ditabur dalam air. Dia tahan pukat, dapat enam belas pikul ikan patin sekali tahan.

i.            Manteranya ialah :

Assalamualaikum
Hei Datuk Kepala Putih, mambang di laut
Yang hidup di tali arus,
Yang hidup di arus terentang
Kau hidup di kuala beting
Yang menjadi Bukit Qaf, gunung segunung
Makan kau dari Sarib ke Maghrib
Hei Datuk Panglima Hitam, raja di laut
Ini aku khabar kepada engkau
Kau kampungkan segala ikan kedalam pukatku
Aku tak tahukan jahat
Aku tahukan baik semata-mata pada engkau
Berkat kata La ilaha illa’llah

 ii.          Mantera Hantu Raya

Digunakan pada waktu malam untuk menugaskan hantu raya supaya menjaga tanaman dan menakutkan haiwan-haiwan lain yang berniat untuk memakan tanaman tersebut. Dibaca secara berulangkali. Ada juga yang percaya bahawa mantera ini juga boleh dibaca sebelum berperang atau berlawan dengan manusia atau haiwan.Tapi secara asalnya mantera ini adalah untuk menjaga tanaman.Manteranya ialah:

“Tum Ketumbak Indai Ragum Nadai Diak,
 Nyau Mansai Sungai Pemesa Ulih Kitak”

 iii.         Mantera Pelaris Perniagaan

Matlamat utama berniaga adalah untuk mendapatkan keuntungan daripada hasil jualan barangan atau perkhidmatan. Sehubungan itu pengusaha atau perniaga mencari jalan untuk menarik pelanggan. Di antaranya mereka atau bomoh membuat pelaris. Pelaris itu antaranya :

Bismi ‘llahi ‘l-Rahmani ‘l- Rahim
Aku puja ilmuku Si Semar senyum
Senyumanku bagaikan Semar Senyumanku
kegembiraan kedatanganku
Ngiling-ngiling sedih sepeninggalanku
                             Datang belas datang kasih
Orang sealam semesta ini
Semua kasih kepada aku
Kasih dengan kehendak Allah
Berkat doa
La ilaha illa ‘llah, Muhammadar Rasulullah
 (Dibaca pada minyak atau sesuatu dan diletakkan di dalam kedai)



4)           Mantera untuk Upacara

a.           Mantera Ulit Mayang

Anda sudah tentu pernah dengar lagu tradisi Negeri Terengganu, Ulek Mayang. Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Namun amalan itu dikatakan amalan khurafat kerana menggunakan khidmat makhluk halus atau pun jin dalam mengubati seseorang pesakit.Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain.
 Manteranya ialah:

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.
                            
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.


Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.
             
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala