PENGUMUMAN
Assalamu'alaikum
Saudara, saudari yang dimuliakan, dimaklumkan bahawa Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa' Mentakab, Pahang mulai September 2020 telah menukar hari cuti rawatan dari hari Selasa kepada hari Jumaat. Ini bermakna PRK kini dibuka pada hari Selasa. Waktu Rawatan adalah sama seperti biasa.
Masa Rawatan dari jam 10.30 pagi hingga 6.00 petang. Malam dari jam 8.00 hingga 11.00 malam. Bagi mendapatkan rawatan sesi malam saudara/saudari diminta menghubungi PRK untuk membuat temujanji. No.tel PRK: 09-2773327/011-10825833 (Ust Ishak)/011-10812103(Ummi)
HUKUM PENGERAS BAGI RAWATAN SIHIR DAN UPAH BAGI RAWATAN ISLAM
Hukum memberi pengeras dalam rawatan mengubat
sihir?
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai
kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam
ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga
hari kesudahan.
Pengeras didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai
bayaran kepada pawang kerana berubat atau menuntut ilmu daripadanya. Pengeras
dalam pengubatan Islam adalah sesuatu bahan atau bayaran yang ditetapkan
sebagai syarat untuk rawatan yang dikaitkan dengan amalan yang bertentangan
dengan syarak. (Lihat 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, m. 123).
Ianya boleh sahaja dalam bentuk wang, haiwan, makanan dan lain-lain.
Upah adalah berbeza
dengan pengeras. Upah bagi rawatan perubatan ruqyah syar’iyyah adalah
diharuskan di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Sa’id
al-Khudir, beliau berkata:
أَنَّ نَاسًا مِنْ
أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ،
فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ
يُضِيفُوهُمْ، فَقَالُوا لَهُمْ: هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ؟ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ
لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ: نَعَمْ، فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ
بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، فَبَرَأَ الرَّجُلُ، فَأُعْطِيَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ،
فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا، وَقَالَ: حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ وَاللهِ مَا رَقَيْتُ إِلَّا
بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَتَبَسَّمَ وَقَالَ: «وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا
رُقْيَةٌ؟» ثُمَّ قَالَ: «خُذُوا مِنْهُمْ، وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ»
Maksudnya: “Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan
sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah
sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada
penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu
menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: “Adakah ada antara kamu yang boleh
menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.” Salah seorang dari
para sahabat menjawab: “Ya, ada.” Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut
dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut
sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu
menerimanya dan mengajukan syarat: “Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW,”
beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau
berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah
al-Fatihah.” “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan
jampi?” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Ambillah pemberian daripada mereka dan
pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.”
(Riwayat Muslim, no. 2201)
Imam al-Nawawi berkata: “Ini merupakan ucapan yang jelas
sekali tentang keharusan mengambil upah daripada ruqyah dengan Al Fatihah dan
zikir. Sesungguhnya ianya adalah halal tanpa kemakruhan di dalamnya. Demikian
juga upah daripada mengajarkan al-Qur’an. Ini adalah mazhab al-Syafie, Malik,
Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan yang lainnya dalam kalangan Salaf dan ulama yang
setelah mereka. Abu Hanifah melarang mengambil upah dalam pengajaran Al Qur’an,
dan membolehkannya dalam ruqyah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala
Muslim, 14/188)
Larangan memberi pengeras kepada pawang atau bomoh disebutkan
dengan jelas dalam hadith sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Mas’ud al-Ansar:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ،
وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ
Maksudnya: “sesungguhnya Rasullullah SAW melarang jual
beli anjing, wang hasil pelacuran dan memberi pengeras (habuan) untuk bomoh
(atas tilikan dan ramalannya)”.
(Riwayat
al-Bukhari, no. 2237)
Ibn Battal mendefinisikan (حُلْوَانِ
الكَاهِنِ) sebagai upah daripada usaha perbomohannya. (Lihat Syarh
Sahih al-Bukhari, 6/364)
Justeru, hukum memberi pengeras adalah haram dan boleh membawa
kepada syirik kerana meletakkan syarat pengeras bagi penentu kesembuhan. Ini sekaligus
menafikan kekuasaan Allah SWT sebagai Maha Penyembuh. Firman Allah SWT:
وَإِنْ يَمْسَسْكَ
اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ
فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan
bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan
Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka
Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-An’am: 17)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam
mengamalkan agamanya dengan cara yang sahih dan tidak bercanggah dengan
syariat-Nya.
Rujukan Hadis-Hadis Rasulullah SAW
Hadis 1
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; Bermaksud: Bahawa beberapa orang di kalangan
sahabat Rasulullah s.a.w. sedang berada dalam perjalanan melalui salah satu
dari perkampungan Arab. Mereka berharap dapat menjadi tetamu penduduk kampung
tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka
sebagai tetamu. Namun begitu ada yang bertanyakan kepada mereka; ”Adakah di
antara kalian yang boleh menjampi? Kerana ketua kampung kami terkena sengatan
binatang. Salah seorang daripada para sahabat itu menjawab: Ya, ada. Sahabat
tersebut kemudiannya melawat ketua kampung yang sedang sakit itu dan
menjampinya dengan Surah Al-Fatihah. Ternyata ketua kampung itu sembuh, lalu
diberikanlah kepadanya beberapa ekor kambing. Sahabat itu menolak untuk
menerimanya dan berkata: Aku akan bertanyakan dahulu kepada kepada Nabi s.a.w.
Dia pun pulang menemui Nabi s.a.w. lalu menceritakan peristiwa tersebut kepada
Rasullullah. Dia berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan
Surah Al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu lalu Rasulullah s.a.w. tersenyum dan
bersabda: Tahukah engkau bahwa Al-Fatihah itu merupakan jampi? Kemudian baginda
bersabda lagi: Ambillah pemberian dari mereka itu dan asingkan sedikit untuk
bahagianku.
(Hadis
Riwayat Imam Muslim)
Hadis 2
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; Bermaksud: Bahawa pada suatu ketika beberapa
orang sahabat Rasulullah SAW telah datang ke sebuah perkampungan Arab, akan
tetapi penduduk kampung itu tidak menerima kedatangan para sahabat tersebut,
tiba-tiba ketua kampung itu disengat ular, (lalu wakil penduduk kampung berjumpa
dengan para sahabat tersebut) dan bertanya: Adakah kamu mempunyai ubat penawar
sengatan ular atau adakah di antara kalian ahli perubatan?, para sahabat
menjawab: Kalian telah tidak menerima kedatangan kami di kampung ini, kami tidak akan
melakukannya sehingga kalian membayar upah untuk kami. Akhirnya mereka berjanji
akan memberikan beberapa ekor kambing sebagai upahnya. Kemudian salah seorang
sahabat membaca Surah al-Fatihah, kemudian mengeluarkan sedikit ludah
(diletakkan di bahagian sakit), dengan serta merta ketua kampung sembuh,
kemudian mereka membawa kambing-kambing kepada para sahabat. Para sahabat
tersebut berkata: Jangan kita ambil upah ini, sehingga kita bertanya kepada
baginda Rasulullah SAW, kemudian mereka menanyakannya, lalu Rasulullah
tersenyum dan berkata: Ketahuilah bahawa Surah al-Fatihah itu adalah ubat
penawar, ambillah upah itu dan bagi aku sedikit (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Riwayat 3|
Diceritakan
kisah serombongan sahabat Rasulullah SAW bermusafir hingga sampai di sebuah perkampungan.
Mereka meminta untuk menjadi tetamu penduduk kampung, namun orang kampung tidak
bersedia. Mereka (para sahabat) berkhemah di luar kampung tersebut. ditkdirkan
Allah s.w.t. Penghulu kampung dipatuk ular. Satu riwayat menyebut terkena
gangguan jin. Mereka lalu datang meminta pertolongan sahabat untuk merawat
sakit tersebut. Seorang Sahabat menyahut bersedia untuk merawat (menjampi).
Namun beliau mensyaratkan agar dibayar sebanyak 30 ekor kambing. Apabila orang
kampung bersetuju maka beliau pun merawat dengan mebacakan surah al-Fatihah.
Lelaki tersebut sembuh. Sahabat tersebut diberikan 30 ekor kambing seperti yang
dijanjikan. Sahabat itu ingin mengagihkan hasil yang diperolehinya dariapa
merawat tetapi para Sahabat yang lain menolak sehinggalah dijelaskan hukumnya
oleh Nabi SAW Apbila tiba di Madinah Nabi SAW menyetujui apa yang dilakukan
oleh sahabat tersebut. Baginda bersabda: "Bagaiamana kamu tahu bahawa
surah Fatihah itu adalah satu jampi? Agihkan kambing tersebut dan berikan
kepadaku satu bahagian.
Kesimpulan Hadis & Riwayat
1.
Hukum upah rawatan adalah HARUS.
2.
Secara umumnya Surah al-Fatihah boleh digunakan untuk rawatan semua jenis
penyakit.
Perihal Upah Rawatan
Dari
hadis-hadis dan riwayat yang disebutkan, hukum upah untuk rawatan sakit adalah
harus. Dalam kes di atas, hanya dengan membaca Fatihah untuk rawatan sakit
patukan ular atau gangguan jin, upahnya ialah 30 ekor kambing. Jika dinilai
pada hari ini lebih dari RM15 ribu (30 ekor X RM500). Justeru itu tidak salah bagi perawat
mengambil upah atau mengenakan bayaran tertentu untuk rawatan pesakit mengikut
persetujuan dua pihak (perawat dan pesakit).
Adalah
wajib pesakit membayar bayaran yang telah dipersetujui dan haram jika pesakit
enggan menjelaskan bayaran tersebut. Jika perawat telah menyatakan atau
mempamerkan upah harga rawatan, wajib pada pesakit membayar mengikut harganya.
Namun, jika tiada apa-apa perjanjian atau persetujuan mengenai jumlah bayaran,
maka terpulang kepada pesakit untuk memberi seberapa yang termampu (biar
berpadanan dengan rawatan).
Pendapat Ulamak berkenaan Upah Bayaran
1.Berkata
Ibn Qudamah dalam kitab Al-Mughni:
Adapun
mengambil upah rukyah (menjampi) maka Imam Ahmad memilih qaul yang mengatakan Harus
dan beliau sendiri mengatakan Tidak Mengapa.
2.
Kata Ibn Hazam dalam kitab Al-Mahalli:
Upah
rukyah (menjampi) adalah Harus
3.
Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti dalam kitab Fiqh As-Sirah:
Malik,
Syafie, Ahmad, Ishak dan Abu Thaur berpendapat Harus Mengambil Upah Rawatan, manakala Abu Hanafiah memperincikannya
iaitu Haram Mengambil Upah Bagi
Mengajar Al-Quran Dan Harus Pula Untuk Merukyah.
Tujuan Upah Masa Kini
1.Upah
dikenakan kerana penggunaan Masa, Tenaga dan Keperluan Am
Untuk Merawat seperti
Kenderaan, Sewa Bangunan, Bayaran Pembantu Dll.
2.Risiko
perawat diserang balas oleh Bomoh, Jin dan penyakit tekanan
melampau akibat merawat seperti Demam, Strok dan sebagainya amat Tinggi.
Siapa pula yang Harus membayar
kos merawat untuk perawat jika perawat pula yang Sakit?
3.Adapun
merawat penyakit gangguan kebiasaannya mengganggu masa tidur perawat. Bila tak
cukup tidur, tentu akan menjejaskan kesihatan. Sewaktu sakit, perawat tidak
berupaya merawat dan hilang sumber pendapatan. Siapa pula yang akan menanggung
kos sara diri dan keluarga perawat?
Pesanan Pada Pesakit dan Keluarga Pesakit
Jangan kerana Ikhlas, Pesakit melabelkan perawat
berubat kerana Wang, Bukan Kerana Allah. Perlu
diingat, amalan untuk mengubati penyakit Harus Ikhlas pada
syariat dan pengamalan.Jadi, bagi diri perawat sendiri sudah ditanam Taqarrub
Pada Allah. Kenapa tidak dipersoalkan pada Perkhidmatan Doktor?
Jika diberi ubat, betullah dengan kos pengilangan dan pengeluaran harus dibayar. Tapi bagaimana pula dengan Perkhidmatan?
Atas nilai apa perlu dibayar? Ya...kerana ilmu untuk menjadi doktor diguna..Jadi itulah caj
harga yang perlu dibayar... Bagi perawat Islam, perlukan seseorang itu
menuntut dan berilmu? yang dibayar bukan ilmunya tetapi perkhidmatannya, maka samalah keadaannya dengan khidmat doktor perubatan. Mungkin bagi doktor perubatan ia dinilai kepada ilmu perubatan yang dimiliki dan khidmat yang diberikan kedua-duanya perlu dibayar.
Oleh itu janganlah dipertikaikan caj perkhidmatan rawatan yang ingin
disumbangkan kepada para perawat Islam. Adapun kunci kesembuhan milik Allah adalah
dengan tiga syarat utama: Pertama: Ikhlas dengan semua bentuk sumbangan,
Kedua:
Berkeyakinan sepenuhnya di atas ikhtiar yang dilakukan oleh perawat dan Ketiga:
Bertawakkal kepada Allah moga dengan izinNya penyakit kita disembuhkan.
Wassalam
Written by: Tarmizy-rwgCH
- Posted in: Bicara alam ghaib – edited by IAR Al-‘Alawy (Darussyifa’ Mentakab)
Ada salah seorang keluarga pesakit
yang saya rawat terkejut bila saya menceritakan bahawa Qarin ni ada dua,
malahan di forum perbincangan pun ada yang berdebat tentang Qarin. Bagi yang tidak
mengetahui apa tu Qarin, Qarin bermaksud “pendamping”
atau “teman”. Sejak manusia lahir,
Allah menjadikan dua Qarin padanya, satu dari bangsa malaikat dan satu dari
bangsa jin. Dan rupa mereka seiras kita manusia, boleh dikatakan mereka adalah
kembar kita.
Qarin bangsa malaikat mengilhamkan
kebaikan pada kita manakala Qarin jin mengilhamkan kejahatan pada kita. Hanya
Qarin jin Rasulullah (ﷺ) telah Islamkan dan
hanya mengilhamkan kebaikan (Sebab tu Nabi maksum).
Berikut adalah petikan dari sebuah
buku berkenaan Qarin yang mana tajuk buku tersebut ialah “Rahsia Keajaiban
Roh” tulisan Abu Mazaayaa Al-Hafiz terbitan Al-Hidayah. (minta izin dari
penerbit dan penulis untuk saya siar petikan itu disini). Diriwayatkan oleh
Jabir bin Abdillah bahawa Nabi Adam as. Ketika diturunkan ke bumi, beliau
berdoa, “Wahai Tuhanku, inilah
syaitan yang telah Engkau jadikan permusuhan antara aku dan dia. Jika Engkau
tidak memperlihatkan dia, maka aku tidak mampu menghadapinya.”
Kemudian Allah s.w.t. berfirman yang
ertinya; “tidak akan dilahirkan seorang anak dari kamu, kecuali ditugaskan
seorang malaikat untuk menjaganya.” Seterusnya Nabi Adam as. Berdoa
lagi, “Ya Tuhanku, berilah tambahan kepadaku.” Allahpun berfirman
lagi yang maksudnya, “Aku akan membalas satu keburukan dengan
satu keburukan dan satu kebaikan akan Aku balas dengan sepuluh kali ganda
sesuai dengan apa yang Aku kehendaki”. Nabi Adam as. berdoa dan memohon lagi,
“Ya Tuhanku, berilah tambahan kepadaku”.
Allah
s.w.t. berfirman lagi yang mafhumnya, “Sesungguhnya
pintu taubat selalu terbuka, selagi nyawa masih berada di jasad.” Kemudian
tiba giliran Iblis untuk meminta, iapun berkata, “Ya Tuhanku, manusia (Adam)
inilah yang telah Engkau muliakan atasku, kalau Engkau tidak memperhatikannya,
aku tidak akan kuat menghadapinya.” Allah berfirman yang ertinya, “Tidak
akan dilahirkan seorang anak dari nya kecuali dilahirkan pula seorang anak dari
bangsa kamu.” Iblis berkata lagi, “Ya Tuhanku, berilah tambahan kepadaku.”
Allah s.w.t. berfirman, “Kamu dapat berjalan-jalan ditubuh mereka
seperti mengalirnya darah dan kamu dapat membuat hati mereka sebagai
rumah-rumah untuk kamu.” Iblis meminta lagi, “Ya Tuhanku, berilah tambahan
kepadaku.” Kemudian Allah pun berfirman sebagai berikut sebagai berikut
yang ertinya: “Dan kerahlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang
berjalan kaki dan bersyarikatlah (menyatulah) dengan mereka pada harta dan
anak-anak dan berilah janji mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan
kepada mereka melainkan tipuan belaka.” (Al-Isra’:64).
Sekarang sudah faham kenapa Qarin
ada dua? Sekarang pun dah faham kenapa jin boleh buat rumah dalam badan
manusia? Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Tulisan oleh
Mohamed Ibrahim Marican (Rabu, Oktober 6, 2011 “Qarin Ada Pada Semua Manusia.......
Qarin Akan Bersama-sama Mengiringi Kelahiran Seorang Bayi.”
Sabda Nabi (ﷺ) maksudnya
: "Tidak ada sesiapa diantara
kamu melainkan baginya ditugaskan qarin dari kalangan jin.
Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah
menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya
akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat
Muslim)
Qarin adalah sejenis jin yang
berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (di kalangan jin)
yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Qarin suka menghasut manusia kearah
kejahatan, melainkan qarin Nabi (ﷺ) yang
telah ditundukkan oleh baginda dan telah memeluk Islam. Firman Allah S.W.T.
maksudnya : (Syaitan) yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu)
berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya
dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong”.
(Allah berfirman) : “Janganlah kamu bertengkar dihadapanKu, dan sungguh,
dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu. KeputusanKu tidak dapat diubah
dan Aku tidak menzalimi hamba-hamba-Ku." (Surah Qaf ayat 27-29)
Menurut Ibn Kathir ra, ayat "(qarin)
syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata : "Ibn
Abbas r.a, Mujahid, Qutaadah dan lain-lain mengatakan bahawa ia merujuk kepada
'syaitan' yang ditugaskan berdamping dengannya". Disifatkan bahawa
qarin ini pada hari kiamat tidak mengaku telah menyesatkan manusia, lalu
mengatakan bahawa manusialah yang menyesatkan diri mereka sendiri.
Seterusnya Ibn Kathir ra. memetik
firman Allah S.W.T. menyatakan tugasan syaitan setelah berjaya menyesatkan
manusia :- Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu:
Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah
menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku
sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak
kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan
daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan
kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku
telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya.
Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan
tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya." (Surah
Ibrahim: 22)
Ibn Kathir ra menerangkan bahawa
apabila di hadapan Allah kelak, kedua-dua manusia dan qarin saling menuduh
diantara satu sama lain. Seterusnya Allah S.W.T. mengatakan bahawa semuanya
sudah di hakimi, dan Allah hanya akan mengazab dosa yang ditanggung oleh
masing2 dan bukan dosa orang lain. (Mukhtasar Tafsir al-Quran al-Azhim - Umdah
al-Tafsir - Al-hafiz Ibn Kathir 3/371, Dar al-Wafa' 2003. Syiekh Ahmad Muhammad
Syakir).
Satu persoalan yang timbul, adakah
qarin Nabi (ﷺ) juga seperti qarin
manusia yang lain? Tentu sekali tidak. Nabi (ﷺ) telah mengIslamkan qarinnya. Kewujudan qarin ini ialah untuk
menggoda manusia menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat
seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk
menjerumuskan manusia dan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara
menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin sama ada ia
nabi atau orang soleh. Qarin juga yang sentiasa menimbulkan was-was semasa kita
mengerjakan solat hingga lupa berapa rakaat. Qarin yang sudah sedia ada bersama
manusia akan bekerjasama dengan syaitan dan jin kafir lain yang datang kepada
manusia untuk membisikan dan menggoda manusia dengan apa cara sekali pun.
Jika seseorang meninggal dunia
(biasanya seseorang yang menuntut ilmu sihir) kadangkala ternampak banyangan
simati balik kerumah, sebenarnya yang balik bukan ruh si mati tetapi qarin si
mati yang berupa seperti wajah simati.
Dalam surah al-An'am: 112 Allah S.W.T berfirman maksudnya:
"Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu
musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada
yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu."
Tersebut dalam Al-Quran tentang
tugas-tugas malaikat. Di antara mereka ada yang tugasnya mencatat amalan
makhluk setiap hari, mencatat segala ucapan dan ada yang membawa wahyu kepada
rasul-rasul dan nabi-nabi. Ada pula yang menjadi duta‑duta. Ada pula yang
bertugas memelihara al -Quran, ada yang menjaga syurga dan ada yang menjaga neraka.
Di antara mereka juga ada yang sentiasa berdoa siang dan malam, memuji-muji
Allah dan bersujud. Ada pula yang sentiasa berdoa agar makhluk yang taat kepada
Allah diberi keampunan.
Tersebut juga dalam Al-Quran tentang adanya malaikat yang datang
membawakan ilham kepada Maryam bahawa dia akan diberi putera, atau yang
kelihatan oleh Rasulullah (ﷺ) ketika beliau mula-mula
menerima wahyu.
Tersebut juga dalam Al-Quran bahawa
malaikat yang datang membawa wahyu kepada rasul-rasul itu namanya Jibril .
Manusia yang sentiasa beriman dan istiqamah (tetap hati) akan didatangi oleh
malaikat-malaikat untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka.
Dijelaskan juga dalam hadis bahawa
malaikat-malaikat itu memberi ilham yang baik semangat dan iman. Ketika
manusia diberi ilham yang baik oleh malaikat atau was-was yang buruk oleh
syaitan, maka yang menerima ilham atau was-was itu bukanlah badan kasar,
melainkan roh manusia jua. Tidak ada seorang pun yang dapat melihat dengan
matanya sama ada malaikat atau syaitan yang datang memberi ilham atau was-was,
melainkan pengaruh mereka itu masuk ke dalam jiwa atau perasaan orang yang
berkenaan. Kenyataan ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Tarmizi dan an-Nisai demikian maksudnya : "Sesungguhnya dari syaitan
ada semacam gangguan kepada anak Adam, dan dari malaikat pun ada pula. Adapun
gangguan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran dan sentuhan
malaikat ialah menjanjikan kebaikan dan menerima kebenaran. Maka sesiapa
merasai yang demikian, dia hendaklah mengetahui bahawa perkara itu daripada
Allah dan terima kasihlah ia kepada-Nya." Tetapi kalau didapatinya
yang lain, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah daripada syaitan yang
direjam. Banyakkan berzikir dan beristighfar supaya terhindar daripada gangguan
syaitan.
Jelasnya bahawa setiap orang itu mempunyai qarin. Maksud
qarin di sini ialah jin kafir yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan
manusia. Di antara qarin dan manusia, perbezaannya ialah manusia adalah
seumpama bahan tunggangan, manakala qarin (jin kafir atau syaitan) tadi adalah
penunggangnya. Demikianlah perbandingan yang diberi oleh Rasulullah (ﷺ) Maksud menunggang atau memperkosa di sini bukanlah seumpama
manusia itu menunggang kuda, menjadikan syaitan itu seumpama seorang penunggang
yang sentiasa berada di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat
dilihat.
Maksud sebenar hadis ini ialah:
iblis dan syaitan itu sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut
kehendaknya. Banyak di antara mereka yang terpedaya dengannya sehingga
menjadikan manusia itu memandang benda-benda yang baik itu buruk dan yang buruk
itu baik serta menarik, cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang
perintah Allah S.W.T. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan
qarin tadi.
Sesungguhnya syaitan itu duduk
mengganggu manusia dengan berbagai-bagai cara. la duduk melakukan gangguan
kepada manusia dengan alasan Islam. Lalu ia berkata:
"Apakah kamu masuk Islam dan meninggalkan agama kamu dan agama
nenek-moyang kamu? Tetapi manusia itu menentangnya dan masuk Islam. Lalu
syaitan itu duduk mengganggu manusia dengan jalan hijrah." Syaitan
berkata: "Apakah kamu hendak hijrah, meninggalkan bumi dan langitmu?
Tetapi manusia itu menentang dan hijrah. Kemudian syaitan itu duduk dan
menganggu manusia dengan jalan jihad dan berkata: “Apakah kamu akan
berjihad sedangkan jihad itu menghilangkan nyawa dan harta. Kamu akan terbunuh.
Maka isteri kamu akan dikahwini oleh orang lain, manakala harta-harta kamu akan
dibahagi-bahagikan.” Tetapi manusia tetap menentang syaitan dan terus
berjihad. Begitulah gambaran ringkas atas tamsil yang terjadi antara manusia
dan qarinnya atau dengan syaitan lain. Hanya manusia yang leka dan sesat sahaja
yang akan terpedaya dengan qarinnya yang boleh diperintah dan diarahkan menurut
kehendaknya.
Mereka inilah yang akan menjadi kuda
tunggangan iblis dan syaitan. Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai
pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia.
Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri.
Rasulullah (ﷺ) sendiri tidak
terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya
adalah kafir.
Pada umumnya qarin yang kafir ini
kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was,
melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja
sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan. Untuk
mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal
kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap
manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat.
Walau bagaimanapun orang-orang Islam
mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya
dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang
pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah
Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas'ud r.a. maksudnya: "Setiap
kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat.
Mereka bertanya: "Engkau juga ya Rasulullah."
Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga
Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan
sahaja." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Aisyah ra. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah
(ﷺ) keluar dari rumahnya
(Aisyah), Aisyah berkata: "Aku merasa cemburu."
tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: "Wahai Aisyah apa
sudah jadi, apakah engkau cemburu?" Aku berkata: "Bagaimana
aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah." Sabda
Baginda: "Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?"
Aku bertanya: "Apakah aku ada syaitan?" Sabda Baginda: "Setiap
insan ada syaitan, iaitu Qarin." Aku bertanya lagi: "Adakah
engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?" Jawab Baginda: "Ya,
tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam."
(Riwayat Muslim)
Di dalam hadis lain daripada Ibnu
Umar r.a., sabda Rasulullah (ﷺ) yang bermaksud: "Aku
dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku
kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu
akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia
membuat kesalahan." (Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi
menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan
syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu
kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau
kurus, "Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia
berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu."
Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: "Aku
sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum." Qarin akan berpisah dengan
"kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan
ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur
jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya
akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas
tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan
manusia.[sumber] Inilah jawapan Allah SWT ketika
iblis bersumpah akan membinasakan manusia seperti yang tersebut dalam surah al
Hijr: 42 yang bermaksud : "Sesungguhnya
hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu atas mereka kecuali orang yang
mengikut kamu iaitu orang-orang yang sesat."
Selain gangguan qarin, Imam Muslim
meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah (ﷺ) ada bersabda, yang bermaksud bahawa tidak ada anak Adam
yang dilahirkan ke dunia ini yang tidak diganggu oleh syaitan kecuali Isa a.s.
dan ibunya Maryam berdasarkan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat
36 yang bermaksud : "Sesungguhnya Aku melindungi akan dia (Maryam)
serta anak keturunannya daripada syaitan yang direjam." Lantaran
gangguan-gangguan yang sedia menunggu maka sunat dibacakan azan (bang) di
telinga kanan dan (qamat) di telinga kiri sebaik-baik seorang bayi itu dilahirkan
yang salah satu tujuannya untuk mengelakkan daripada gangguan iblis dan
syaitan."
Daripada Abu Rafi r.a (bekas hamba yang dimerdekakan oleh
Rasulullah (ﷺ) ia berkata yang maksudnya : "Aku
lihat Rasulullah (ﷺ)
membaca azan solat di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah r.ha.
melahirkannya."
Wassalam
ASSALAMU'ALAIKUM,
PRK DARUSSYIFA' MENTAKAB AKAN MENGADAKAN MAJLIS TAHLIL MEMPERINGATI AL-MARHUM TUAN GURU DATO' DR HARON DIN (HARI HAUL) PADA 16 HB SEPT 2020 (RABU) INI.
TEMPAT: DEWAN KULIAH DARUSSYIFA' MENTAKAB
ALAMAT: NO. 20, JALAN BENDERA 1 H, TAMAN BUKIT BENDERA, MENTAKAB, PAHANG.
MASA: 7.00 PTG - 12.00 MLM
ATURCARA:
7.12 PTG - MAGHRIB (SOLAT BERJAMAAH)
- SOLAT SUNAT HAJAT BERJAMAAH
- BACAAN 33 AYAT ASAS RUQYAH
- TAHLIL, ZIKIR DAN DOA
- TAKLIMAT & TAZKIRAH RINGKAS
- SOLAT ISYAK BERJAMAAH
- JAMUAN
- BERSURAI
MAJLIS AKAN DIHADIRI OLEH SEMUA AHLI LAMA DAN BARU DARUSSYIFA' CAWANGAN TEMERLOH/MENTAKAB, PAHANG.
WASSALAM
Adab makan Rasulullah
Rasulullah SAW adalah suri tauladan umat dalam segala aspek kehidupan. Begitu juga dalam urusan kesihatan. Ajaran-ajaran baginda sudah banyak dibuktikan kebenaran manfaatnya melalui penyelidikan moden. Salah satu ajaran baginda adalah adab-adab makan yang berkesan untuk penjagaan kesihatan dan keberkatan sepanjang zaman.
Di antara adab-adab makan yang telah diajar oleh Rasulullah SAW
adalah :
1.
Tidak mencela makanan yang tidak disukai
Abu Hurairah ra. berkata : “Rasulullah SAW tidak pernah sedikit pun mencela makanan. Bila baginda berselera, baginda memakannya. Dan jika baginda tidak menyukainya, maka baginda meninggalkannya.” (HR. Bukhari Muslim)-
Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada
keluarganya (isterinya) tentang lauk pauk. Mereka menjawab : “Kami
hanya ada cuka”. Lalu baginda memintanya lantas memakannya, seraya bersabda :
“Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka (al-khall), sebaik-baik lauk pauk adalah
(yang mengandungi) cuka.” (HR. Muslim)
Penelitian Dr. Masaru Emoto dari Jepun dalam bukunya ‘The True
Power of Water’ mendapati bahawa unsur air adalah hidup dan mampu bertindakbalas
dengan perbuatan manusia sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Sekiranya
perkataan yang baik diucapkan atau ditampalkan tulisan dengan ayat positif,
maka air tersebut akan membentuk struktur kristal yang indah dan boleh memiliki
daya sembuh untuk berbagai-bagai penyakit. Sebaliknya, jika diucapkan atau
ditampalkan ayat-ayat umpatan, celaan atau negatif, maka air tersebut akan
membentuk struktur kristal yang buruk dan boleh memberi kesan negatif terhadap
kesihatan.
2.
Mencuci tangan sebelum dan sesudah makan
Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa yang tertidur
sedang di kedua tangannya terdapat bekas makanan (kerana tidak dicuci) dan
ketika bangun pagi ia menderita suatu penyakit, maka hendaklah dia tidak
menyalahkan kecuali dirinya sendiri.”
3. Membaca
basmalah dan hamdalah
Rasulullah SAW bersabda : “Jika seseorang di antara kamu
hendak makan, maka sebutlah nama Allah SWT. Dan jika ia lupa menyebut nama-Nya
pada awalnya, maka bacalah, ’Bismillahi awwalahu wa akhirahu’ (Dengan menyebut
nama Allah SWT pada awalnya dan pada akhirnya).” (HR. Abu Dawud)
Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa suatu ketika Rasulullah
SAW pernah tersenyum seraya menjelaskan sekiranya seorang muslim tidak membaca
Basmalah sebelum makan, maka syaitan akan ikut makan dengannya. Namun,
sekiranya muslim tersebut teringat dan menyebut nama Allah SWT, maka syaitan
pun langsung memuntahkan makanan yang sudah dimakannya.
Rasulullah SAW juga bersabda : “Sesungguhnya Allah SWT
meredhai seorang hamba yang ketika makan suatu makanan lalu dia mengucapkan
Alhamdulillah. Dan apabila dia minum suatu minuman maka dia pun mengucapkan
Alhamdulillah.” (HR. Muslim, Ahmad dan Tirmizi)
4. Makan
menggunakan tangan kanan
Abdullah bin Umar ra. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda
: “Jika salah seorang di antaramu makan, maka hendaklah ia makan dengan
tangan kanannya dan jika ia minum maka hendaklah minum dengan tangan kanannya.
Sebab syaitan itu makan dan minum dengan tangan kirinya.” (HR. Muslim)
Ini kerana kedua-dua tangan manusia mengeluarkan tiga jenis
enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan lebih banyak daripada tangan kiri.
Enzim tersebut sangat membantu dalam proses pencernaan makanan.
5. Tidak
bersandar ketika makan
Rasulullah SAW bersabda : “Aku tidak makan dengan posisi
bersandar (muttaki-an).” (HR. Bukhari)
“Muttaki-an” ada yang mentafsirkan duduk bersilang kaki dan ada
pula yang menafsirkan bersandar kepada sesuatu, sama ada bersandar di atas
salah satu tangan atau bersandar pada bantal. Ada pula yang mentafsirkan
bersandar pada sisi badan.
Rasulullah SAW jika makan, tidak makan dengan menggunakan alas
duduk seperti bantal duduk sebagaimana orang-orang yang ingin makan dengan
variasi menu makanan. Rasulullah SAW menjadikan amalan makannya sebagai ibadah
kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, baginda duduk tanpa alas dan mengambil
makanan secukupnya.
6.
Memakan makanan yang terdekat dahulu
Umar bin Abi Salamah ra. bercerita : “Ketika aku masih
belia, aku pernah berada di kamar Rasulullah SAW dan kedua tanganku seringkali
mengacak-acak piring-piring. Rasulullah SAW bersabda kepadaku, ’Nak, bacalah
Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan baik yang
terdekat.” (HR. Bukhari)
7. Makan
ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang
Dari Mikdam bin Ma’dikarib ra. menyatakan pernah mendengar
Rasulullah SAW bersabda : “Tiada memenuhi anak Adam suatu tempat yang
lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap yang
dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak ada cara lain, maka sepertiga
(dari perutnya) untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiganya
lagi untuk bernafas.” (HR. Tirmidzi dan Hakim)
8. Menjilat
tangan ketika makan tanpa sudu atau garfu
Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Jika
salah seorang di antaramu makan, maka hendaklah ia menjilati jari-jemarinya,
sebab ia tidak mengetahui dari jemari mana munculnya keberkatan.” (HR.
Muslim)
Dalam hadis riwayat Imam Muslim pula, Ka’ab bin Malik ra.
memberikan kesaksian bahawa dia pernah melihat Rasulullah SAW makan dengan
menggunakan tiga jarinya dan beliau menjilatnya sebaik sahaja selesai makan.
Penemuan kesihatan moden menunjukkan bahwa ketika kita makan
dengan jari dan menjilat jari untuk membersihkannya, maka jari tersebut
mengeluarkan enzim yang sangat membantu untuk kelancaran pencernaan.
9. Membuang
kotoran dari makanan yang terjatuh lalu memakannya
Dari Anas bin Malik ra. berkata bahawa Rasulullah SAW sering
makan dengan menjilat ketiga jarinya (ibu jari, telunjuk dan jari tengah), lalu
bersabda : “Apabila ada makananmu yang terjatuh, maka buanglah
kotorannya dan hendaklah ia memakannya serta tidak membiarkannya untuk
syaitan.” Dan baginda juga memerintahkan kami untuk menjilat piring dan
bersabda : “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada makanan yang mana adanya berkah
itu.” (HR. Muslim)
Islam melarang hal-hal yang membazir, termasuk dalam hal
makanan. Seringkali kita menyaksikan orang yang mengambil makanan berlebihan
sehingga tidak habis dimakan. Makanan yang membazir itu akhirnya dibiarkan
untuk syaitan, sedangkan boleh jadi pada makanan tersebut ada keberkatan. Oleh
sebab itu, ketika mengambil makanan harus berkira-kira sama ada makanan
tersebut boleh dihabiskan atau tidak.
10.
Makan dan minum sambil duduk
Rasulullah SAW suatu ketika melarang seorang lelaki minum sambil
berdiri. Berkata Qatadah : “Bagaimana dengan makan?” Rasul menjawab :
“Itu lebih buruk lagi.” (HR. Muslim)
11.
Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan
mulut dari tempat minum ketika bernafas
Dari Abu Al-Mutsni Al-Jahni ra berkata, aku pernah berada di
rumah Marwan bin Hakam, tiba-tiba datang kepadanya Abu Sa’id ra. Marwan berkata
kepadanya : “Apakah engkau pernah mendengar Rasulullah SAW melarang
bernafas di tempat minum?” Abu Sa’id menjawab : “Ya. Ada seseorang pernah
berkata kepada Rasulullah SAW, “Aku tidak kenyang dengan air hanya satu kali
nafas.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jauhkanlah tempat air (gelas) dari
mulutmu, lalu bernafaslah!” Orang itu berkata lagi, “Sesungguhnya aku melihat
ada kotoran pada tempat minum itu”. Lalu Rasulullah SAW bersabda, ”Kalau
begitu, tumpahkanlah!” (HR. Abu Dawud)
Dan juga dari Ibnu Abbas ra. berkata : “Rasulullah SAW
telah melarang untuk menghirup udara di dalam gelas (ketika minum) dan meniup
di dalamnya.” (HR. Tirmizi)
Rasulullah SAW melarang bernafas ketika minum. Apabila minum
sambil bernafas, tubuh kita mengeluarkan CO2 (karbondioksida), apabila
bercampur dengan h2o (air) dapat menjadi h2co3 (cuka) sehingga menyebabkan
minuman menjadi asid (asam). Hal ini boleh terjadi ketika meniup air panas.
Makanan dan minuman panas sebaiknya tidak disejukkan dengan ditiup.
12.
Tidak berprasangka buruk jika makan ditemani
orang yang berpenyakit
Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah memegang tangan
orang yang majdzum (kusta), beliau meletakkan tangannya pada piring makan
seraya bersabda : “Makanlah, yakinlah kepada Allah SWT dan
bertawakkallah.” (HR. Abu Daud)
13.
Tidak duduk pada meja yang dihidangkan makanan
haram
Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Barangsiapa
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia tidak duduk pada
meja makan yang padanya diedarkan minuman khamr.” (HR. Imam Tirmizi)
14.
Mendoakan orang yang mempelawa makan
Dari Anas bin Malik ra. bahwa Rasulullah SAW pernah datang ke
Sa’ad bin Ubadah ra. yang menghidangkan roti dan mentega. Rasulullah SAW
memakannya, lalu beliau bersabda, “Telah berbuka di sisimu orang-orang
yang berpuasa. Hidanganmu telah dimakan oleh orang-orang soleh (baik) dan
malaikat pun mendoakan kebaikan untukmu.” (HR. Ahmad dan Abu Daud)
15.
Menutup tempat makan dan minum
Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Tutuplah
tempat makanan dan tempat minuman!” (HR. Bukhari Muslim)
Menutup tempat makan dan minum sangat penting bagi menghindari
makanan dari pencemaran udara, kotoran atau zat-zat berbahaya yang masuk ke
dalam makanan atau minuman yang tidak ditutupi.
Sumber
daripada www.islampos.com