Kategori: Akidah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Sabah
Keputusan:
Muzakarah
Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 3/2016 telah bersidang pada 10-11 Ogos 2016M/7-8
Zulkaedah 1437H, bertempat di Bilik Seri Beringgis, TH Hotel & Residence,
Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Aliran Dan Dakyah
Wahabiah” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah
bahawa:
Aliran dan
Dakyah Wahabiah didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang
menjadi teras pegangan masyarakat Islam di Negeri Sabah. Percanggahan tersebut
berdasarkan kepercayaan, perbuatan dan pengamalan aliran Wahabiah seperti
berikut:
(a) Menolak
dan menyesatkan pengamal pendekatan Tauhid Sifat 20;
(b)
Menganggap syirik amalan-amalan ahli sunnah seperti perbuatan tawassul,
tabarruk dan istighathah dan selawat-selawat yang mengandungi pujian kepada
Rasulullah SAW seperti Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyyah;
(c) Mendakwa
bahawa pengikut aliran Asya’irah dan Maturidiyah tidak termasuk dalam golongan
Ahli Sunnah Wal Jamaah;
(d)
Membid’ahkan pelbagai amalan ahli sunnah yang bersifat khilafiyah sebagai
melakukan bid’ah dalalah dan pengamalnya akan menjadi penghuni neraka;
(e)
Menganggap amalan dan sambutan-sambutan yang dilakukan bertujuan memuliakan
Rasulullah SAW sebagai perbuatan syirik;
(f) Menolak
sepenuhnya beramal dengan hadis daif;
(g) Memahami
al-Quran dan al-Sunnah secara makna zahir semata-mata dan menolak pentakwilan
dalam memahami teks al-Quran;
(h) Menolak
fahaman bermazhab;
(i) Menolak
kefahaman dan amalan tarikat tasawuf yang muktabar;
(j)
Mempertikaikan ulama Nusantara yang muktabar serta kitab-kitab karya mereka;
(k)
Mempertikaikan fatwa-fatwa atau keputusan pihak berkuasa agama;
(l)
Berpegang dengan fahaman tashbih dan tajsim berdasarkan zahir ayat dan hadis yang
mutashabihat; dan
(m) Mudah
mengkafirkan, membid’ahkan dan memfasikkan golongan yang tidak sealiran dengan
mereka;
Oleh yang
demikian, Majlis Fatwa Negeri Sabah mengambil keputusan bahawa;
(i)
Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi
penyebar aliran dan dakyah Wahabiah adalah disifatkan berfahaman Wahabiah yang
bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan
Maturidiyah;
(ii)
Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui
pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran dan
dakyah Wahabiah dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi,
perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur
persamaan dengan aliran dan dakyah Wahabiah, adalah disifatkan mengamalkan
ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal
Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah;
(iii)
Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau
persatuan yang cuba menyebarkan aliran dan dakyah Wahabiah, sama ada melalui
apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai
unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahabiah adalah disifatkan
mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah;
(iv) Apa-apa
variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran dan dakyah Wahabiah atau
apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan
unsur-unsur aliran dan dakyah Wahabiah adalah bercanggah dengan pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah; atau
(v) Apa-apa
jua bahan publisiti dan sebaran yang menojolkan tokoh, aliran dan dakyah
Wahabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai
persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahabiah dalam apa jua bentuk penerbitan
dan cetakan adalah dilarang;
(vi)
Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang terlibat
dengan perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil
tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 atau
mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa di Negeri Sabah.
Tarikh
Warta: 7 September 2017
No comments:
Post a Comment