Sunday, February 6, 2011

KEMUSYKILAN DIJAWAB TUAN GURU DATO DR HARON DIN

Bolehkah berlaku sesuatu ilmu itu menyebabkan suami isteri boleh membenci antara satu sama lain?


Soalan 1

Kakak saya telah mendirikan rumahtangga dengan pilihannya sendiri tanpe restu ibu bapa kerana akhlak bakal suaminya tidak sesuai dengan kakak saya. Tidak lama selepas berkahwin, berlaku perselisihan yang membawa kepada perceraian. Keluarga sebelah bekas abang ipar, menuduh ibu bapa saya menjadi punca perceraian. Mereka menuduh ibu bapa saya membuat ilmu pembenci sehingga kakak bercerai.


Dato' bolehkah berlaku sedemikian? Apakah nasihat untuk kami sekeluarga, khasnya keluarga sebelah bekas abang ipar saya. Terima kasih

Nurul Hasanah Abu

Parit Buntar

Jawapan

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu amalan sunnah. Dituntut oleh syarak kepada yang hendak mendirikan rumah tangga, hendaklah memenuhi beberapa kriteria utama.

Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w menyebut kriteria yang patut ada pada suami mahupun bakal isteri. Biasanya dikahwini seorang perempuan itu kerana ada empat kriteria utama, rupa paras yang cantik; keturunan yang mulia; harta benda yang mencukup dan keagamaan serta akhlaq yang sempurna. Dalam hal ini Nabi menyebut, "Pilihlah yang beragama, berakhlak dengannya kamu memperolehi untung."

Daripada senario yang disebut dalam soalan, jelas bahawa bakal suami kakak saudari, bahawa akhlaknya tidak secocok dengan bakal isteri. Di sinilah punca letaknya kufu atau kafaa'ah yang disebut dalam kitab fekah sebagai salah satu daripada kriteria yang patut dipenuhi.

Di samping mengutamakan kriteria keagamaan dan akhlak, keredaan atau restu ayah dan ibu amat-amat diperlukan. Kalau perkahwinan yang ketara tidak secocok kerana akhlak dan ibu ayah pula tidak merestuinya, sepatutnya tidak dilangsungkan.


Sebabnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda (yang bermaksud),"Keredhaan Allah ada bersama dengan keredhaan kedua ibu bapa."


Apabila ibu bapa tidak redha, maka dibimbangi akan berlaku uquq iaitu derhaka kepada ibu bapa. Allah SWT akan berada bersama dengan keredhaan ibu bapa. Jika keduanya tidak redha, maka Allah juga tidak redha.


Perkahwinan yang sebegini, besar kemungkinan mengundang padah, atau setidak-tidaknya boleh menjadi salah satu faktor yang membawa kepada ketidakdamaian. Mungkin juga akan membawa kepada porak peranda yang berakhir dengan perceraian.


Meskipun kita ketahui ada perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa tetapi mereka mendapat kebahagiaan dan beranak pinak.


Tetapi yang mustahak sekali adalah fakta keagamaan. Bagi kes-kes tertentu ibu bapa tidak restu kerana faktor kedudukan kewangan bakal suami sepadan, atau keturunannya tidak secocok atau tidak sepadan, tanpa mengambil kira faktor yang utama dalam kes kufu ini adalah agama dan akhlak.


Jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah, maka perpisahan juga termasuk dalam Qada' dan Qadar Allah SWT. Apabila berlaku perceraian, biasanya orang suka melihat kepada kelemahan atau sebab musabab yang menjadi punca ia berlaku.


Bagi kes yang saudari bawa ini, dituduh pula ia adalah angkara ibu bapa saudari, maka saya ingin menasihati dalam perkara yang sebesar ini, agar tuduh menuduh, syak mengesyaki, buruk sangka kepada seseorang adalah sifat-sifat yang dikeji oleh syarak.


Tidak sepatutnya insan mudah meletakkan punca perceraian kerana ada orang atau pihak yang melakukan sesuatu ikhtiar atau ilmu pembenci.

Kita harus akui, memang perceraian akan bermula daripada krisis. Ia berlaku dari sekecil-kecilnya sehingga kepada yang besar. Krisis akan menimbulkan kebencian, hilang rasa sayang, lenyap rasa kasih yang timbul hanyalah permusuhan.

Ia boleh berlau secara tabie, di mana tidak secocok akhlak suami dengan akhlak isteri. Ataupun dengan kata lain isteri lebih kuat berpegang kepada agama, suami tidak sedemikian.

Maka dengan sendiri apabila isteri yang lebih kuat berpegang dengan agama dalam sesuatu perkara, tidak disukai oleh suami yang tidak berpegang kepada hukum agama.

Ianya adalah sistem nilai yang berbeza antara orang yang taat kepada Allah berbanding dengan orang yang tidak suka kepada perkara-perkara agama. Di sinilah akan berlaku pertembungan yang akan berakhir dengan perceraian.

Ini fakta fizikal yang saya rasa lebih dekat dengan kes yang saudari bawa, maka saya fikir tidak wajar dituduh mana-mana pihak melakukan ikhtiar yang meruntuhkan sesuatu rumahtangga.

Bagaimanapun hal ini telah berlaku, saya fikir kita harus mencari jalan damai. Jodoh setakat itu sahaja, mana tahu jodoh itu akan bersambung pada masa akan datang.

Kerana itu maka tidak elok menyalahkan antara satu sama lain dan melemparkan tuduhan, lebih-lebih lagi jika tuduhan itu tepat dengan apa yang berlaku, ianya hanya mengundang perselisihan dan permusuhan. Kembalilah kepada prinsip asal sesungguhnya Umat Islam itu bersaudara.

No comments:

Post a Comment