Suara mahasiswa: Hentikan politik kotor dan jijik!
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menganjurkan siri “Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat” secara besar- besaran sebagai protes terhadap situasi politik negara yang dilihat jijik dan kotor, terutama isu video lucah mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Sekretariat Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin, siri jelajah ini diadakan bagi menunjukkan rasa cinta dan sayang mahasiswa terhadap negara dan berharap perkembangan politik negara menjadi lebih sihat dan konstruktif.
“Mahasiswa juga berpendirian tegas bahawa pelaku mahupun ketulenan video seks tersebut bukanlah isu utama, namun apa yang harus dibangkitkan ialah mengenai soal nilai serta prinsip peradaban sebuah negara bangsa yang terkenal dengan nilai-nilai murni dan berintegriti,” katanya.
Ahmad Shukri berkata, “mahasiswa melihat sikap sesetengah pihak terutamanya Dato T menayangkan video seks tersebut kepada media dan kini semakin tersebar kepada setiap lapisan masyarakat dan ini bertentangan dengan nilai peradaban dan integriti yang harus ditonjolkan oleh barisan pemimpin negara.
“Selain itu, ia juga amat bertentangan dengan prinsip ketuanan Melayu yang sebelum ini sering didendangkan oleh pimpinan Umno,” katanya melalui satu kenyataan kepada FMT hari ini.
Beliau berkata para mahasiswa akan mengadakan ‘silent protest’ di beberapa stesen komuter terpilih di sepanjang perjalanan.
“Para mahasiswa yang akan menggunakan tema pakaian putih pada hari tersebut akan menaiki komuter menuju ke Seremban dengan membawa beberapa pelekat dan kain rentang,” katanya.
Siri jelajah ini bakal menghimpunkan mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta antaranya termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Universiti Industri Selangor (Unisel) dan lain-lain.
Tags: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamarudin, Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
No comments:
Post a Comment