Wednesday, May 18, 2011

Saturday, March 26, 2011
POLITIK FITNAH DI MALAYSIA - SUATU KAJIAN ILMIAH



Muktahir ini negara digemparkan dengan pelbagai isu politik yang menghangatkan lagi pertembungan antara dua parti seteru di negara ini. Natijah daripada penyakit cintakan dunia yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin berakidah sekular, pelbagai cara dilakukan semata-mata untuk memastikan diri terus berkuasa meskipun terpaksa bergelumang dengan dosa-dosa besar fitnah.


Menyingkap semula fakta yang tersimpan di dalam lipatan sejarah, kewujudan politik fitnah di negara ini bukanlah sesuatu yang baru. Hakikatnya, negara telah lama dihidangkan dengan adegan politik fitnah yang cukup mengaibkan khususnya kepada individu yang terlibat secara langsung dan menjadi mangsa kepada politik fitnah di negara ini. Bahkan, bukan sekadar individu yang terkesan dengan permainan politik fitnah malah Islam dalam sejarah di Malaysia juga pernah dimangsakan oleh pemain-pemain politik fitnah di Malaysia.


Bukan sesuatu yang mudah untuk membuat satu unjuran secara tepat di manakah tapak bercambahnya budaya politik fitnah ini. Namun penulis lebih berpendapat bahawa kemerdekaan yang dicapai negara merupakan suatu bentuk politik fitnah dengan Islam menjadi mangsa pertama kepada gerakan sekularisme berpandangan barat. Islam diisytihar sebagai agama rasmi namun definisi Islam di dalam perlembagaan bukanlah dirujuk kepada hakikat Islam sebenar sebaliknya definisi yang digunakan untuk mentafsir perkataan "Islam" di dalam perlembagaan diceduk dari kamus pemikiran sekular yang ditaja kelompok yahudi dan musuh-musuh Islam. Dalam keadaan separa sedar, saban tahun kita meraikan politik fitnah sulung di Malaysia dengan Islam dimangsakan golongan yang rakus dengan keduniaan ini.


Untuk menceritakan satu persatu kisah politik fitnah di negara ini mungkin memerlukan ruang yang lebih luas. Cukuplah penulis hadirkan di dalam artikel ini beberapa contoh kisah politik fitnah yang pernah memanaskan senario politik negara.


Tahun 80an menyaksikan negara menukil satu kisah pilu dalam sejarah politik Malaysia gara-gara politik fitnah di bawah kepimpinan pemimpin yang disifatkan paling zalim dalam barisan kepimpinan yang pernah menerajui bahtera sekularisme di Malaysia. Isu memali merupakan rentetan daripada fitnah yang dibawa parti sekular apabila melihat gerakan pencerahan semakin menampakkan kesan dari sudut penerimaan rakyat.


Ustaz Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Ibrahim Libya telah menjadi sasaran fitnah berikutan kuliah-kuliahnya yang menjelaskan batas-batas iman dan kufur mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat Islam ketika itu.


Bingung dengan perkembangan negatif (bagi golongan sekular) itu mereka memulakan gerak kerja politik fitnah dengan melabelkan Ustaz Ibrahim Libya bersama para daie yang lain (antaranya Ustaz Abdul Latif Mohamad di Besut) sebagai membawa ajaran neo-khawarij serta dituduh membawa perpecahan kepada umat Islam dengan mengkafirkan sesama umat Islam. Hakikatnya mereka hanya memberi penjelasan tentang batas-batas akidah dalam Islam. Kemuncak politik fitnah ini adalah kekecohan yang berlaku di Baling atau dikenali sebagai Tragedi Memali telah meragut nyawa As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya bersama lebih 1 000 para syuhada yang lain (AL-FATIHAH).


Untuk rekod, permainan politik fitnah secara kecil-kecilan paling banyak dilakukan ketika kempen pilihanraya baik pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum. Pernah dalam satu pilihanraya Umum fitnah ditabur khususnya kepada masyarakat bukan Islam kononnya semua dari mereka akan dipotong tangan atau disunatkan sekiranya Islam menang dan memerintah Malaysia. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk menjayakan serangan fitnah ini termasuk mencetak beribu-ribu risalah bergambar dan berwarna yang menunjukkan Tok Guru sedang memegang parang berdarah sambil mengejar lelaki cina. Satu fitnah terhadap hakikat Islam yang sememangnya menjadi penghalang kepada kebenaran Islam dengan masyarakat non-muslim.


Pasca PRU 2008 memperlihatkan kawasan penguasaan kelompok sekular mengcil apabila terlepas 5 negeri kepada lawan politik. Maka, bermula dari saat pertama pelbagai serangan fitnah membabitkan individu, binatang, perkauman malah agama juga.


Di Selangor, golongan sekular laknatullah ini pernah memainkan isu babi. Selangor dilabel sebagai negeri yang cuba menjadikan babi sebagai penduduk negeri kerana jumlah binatang itu yang banyak. Tetapi fitnah tetap fitnah. Hujah yang mematikan segala langkah mereka apabila didedahkan jumlah yang luar biasa banyak itu adalah warisan dari kerajaan sekular terdahulu. Ketika fitnah dilancarkan, kerajaan Selangor baru berusia 3 bulan. Andai kata semua khinzir di Selangor pada ketika itu bunting, anak benihnya pun masih belum dilahirkan lagi. Bermakna, jumlah yang ada merupakan jumlah sedia ada yang ditinggalkan kerajaan dahulu.


Di Perak, gerakan Islam difitnah sebagai tunduk kepada sahabat siyasi iaitu sebuah parti yang diketuai ramai pemimpin-pemimpin cina. Haji Nizar Jamaluddin dituduh tunduk kepada kehendak pemimpin-pemimpin cina. Tetapi rakyat Perak bijak menilai. Pemimpin yang dikatakan mengawal pentadbiran Haji Nizar itu adalah antara pemimpin paling lantang menyuarakan hak orang Melayu walaupun berketurunan cina. Pernah dalam satu sidang dewan, Ngeh Koo Ham (pemimpin yang dimaksudkan) bangun dan meminta bantuan dari kerajaan negeri kepada sekolah agama rakyat di negeri itu dinaikkan dua kali ganda berikutan keadaan sekolah agama yang kritikal kesan daripada dipinggirkan pada zaman sekularisme.


Seorang lagi pemimpin iaitu Nga Kor Ming juga adalah antara yang paling lantang di Dewan Undangan Negeri dalam isu tanah rezab orang-orang Melayu yang telah digadaikan pemimpin-pemimpin sekular dahulu. Malah, beliau merupakan pemimpin yang membongkarkan realiti tanah rezab Melayu yang dijual kepada tauke-tauke Cina kaya serta kroni-kroni kerajaan terdahulu.


Bukan setakat dalam negara, politik fitnah tajaan pemimpin sekular di Malaysia turut menyerang individu di luar negara. Contohnya anak kepada Tuan Guru Nik Aziz iaitu Ustaz Nik Abduh Nik Aziz sehingga beliau pernah merasa 'nikmat' dipenjara tanpa sebarang sabitan kesalahan yang jelas. Sehingga hari ini beliau masih belum mengetaui kesalahan beliau dan bukti beliau bersalah.


Kedah, Pulau Pinang dan suatu ketika dahulu Kelantan juga mengalami perkara yang sama. Tetapi watak paling utama yang menjadi mangsa politik fitnah ini adalah Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Bermula dengan adegan fitnah 1 pada 1998, seterusnya konspirasi fitnah 2 dan terkini konspirasi fitnah 3 yang cukup mengaibkan perbadi beliau.


Secara ringkas, adegan fitnah 1 bermula apabila DSAI dilihat tidak boleh menjadi regu kepada kepimpinan Tun M. Tambah menggetirkan apabila DSAI menghidu perbuatan mengkayakan kroni oleh kepimpinan sekular ini khususnya apabila beliau memangku jawatan Perdana Menteri selama 3 bulan sebelum beliau dipecat. Akhirnya plan konspirasi 1 dijalankan dan akhirnya DSAI meringkuk di dalam penjara dengan 1001 persoalan yang tidak dijawab berkaitan kes beliau.


Episod fitnah 2 pula direncana dengan skrip yang sama cuma pelakon yang berbeza. Skrip serta jalan cerita fitnah 2 yang hampir sama dengan fitnah episod 1 menyebabkan kelemahan perancangan rencana fitnah tersebut juga hampir sama. Beberapa fakta yang mengelirukan dalam kes ini antaranya keengganan pihak polis mengambil keterangan Hasanuddin dan isteri yang merupakan alibi kukuh DSAI dalam kes ini.


10 lagi DNA yang dikesan di seluar dalam Saiful (pelakon S) juga tidak diselidik milik siapa. Yang difokuskan adalah DNA milik lelaki Y sahaja. Tambahan lagi, pengakuan pelakon S yang berubah-ubah apabila mengatakan dia diliwat secara paksa sedang kes dibaca dengan peruntukkan hubungan luar tabie, liwat secara rela. Kenyataan dia menemui DSNR untuk mendapatkan nasihat juga agak meragukan. Rapatnya dia dengan musuh politik DSAI itu.


laporan forensik HKL


Lawak fitnah 2 juga berlaku apabila Saiful mengatakan duburnya tidak dicuci dari hari dia kononnya diliwat sehingga hari dia melakukan pemeriksaan. Bahkan tindakan menggelapkan laporan forensik HKL yang mengatakan dia tidak diliwat juga agak meragukan. Hakikatnya, kes yang semakin sampai ke penghujung ini mempunyai keraguan yang banyak sama seperti episod fitnah 1.


Merasakan 'filem' fitnah ini tidak dapat memukau pandangan rakyat yang semakin jelik dengan fitnah politik maka satu lagi 'filem' fitnah dirancang untuk menjatuhkan DSAI dari pentas politik Malaysia. Awal-awal lagi DSAI menyatakan "LAWAN TETAP LAWAN". Jika dahulu fitnah DSAI adalah lelaki dengan lelaki kali ini mereka menggunakan kreativiti dengan menfitnah DSAI dengan wanita pula.


Malangnya episod fitnah 3 ini lebih besar lubang bohongnya. Dalam masa beberapa hari sahaja pelbagai kenyataan bercanggah dikeluarkan pihak yang dikenali dengan Datuk T. T bermaksud trio iaitu gabungan pimpinan UMNO yang mempunyai dendam kesumat secara langsung dengan DSAI iaitu Dato Rahim Thamby Chik yang pernah dikaitkan dengan kes rogol sehingga menyebabkan Lim Guan Eng dipenjara di ISA kerana membela wanita Melayu yang dizalimi itu. Kedua adalah watak Datuk Shazky Ezray Abdullah yang mirip wajah DSAI dan dipercayai wajah di dalam video fitnah tersebut dan ketiga ialah Datuk Shuib Lazim, bendahari PERKASA yang diketahui menjadi barua kepada parti sekular.


Walaupun skrip telah dirombak namun adegan fitnah 1 dan 2 iaitu penuduh (dalam fitnah 3 Datuk T) berjumpa DSNR masih tidak di'trim'. Mereka dilaporkan bertemu DSNR sebelum menayangkan video ini di Parlimen. Kenyataan meragukan mengenai jam Omega serta cara mereka menemui video ini juga meragukan. Malah, kenyataan bercanggah pada dua hari berlainan mengenai tarikh sebenar mereka mengetahui isi kandungan video ini juga menimbulkan keraguan besar.


Ketika menayangkan video kepada wartawan (Isnin) Datuk Shazky mengatakan dia mendapati perakam tersebut merakam aksi seks ketika membawa perakam itu keluar dari Hotel Carcosa selepas kononnya mencari jam Omega milik Anwar. Kenyataan bercanggah dikeluarkan pada sidang media bersama Datuk Rahim Thamby Chik (selasa) apabila dia mengatakan dia hanya mengetahui isi perakam tersebut seminggu lalu.


Ditanya penglibatan Datuk Rahim Thamby Chik dalam kes ini, Datuk Shazky mengatakan dia menghubungi Datuk Rahim untuk mendapatkan hotel yang mempunyai kawalan keselamatan tanpa melibatkan polis. Malah dia juga membuat kenyataan bahawa dia menghubungi Datuk Rahim Thamby Chik kerana beliau memerlukan bantuan mencari hotel sedemikian kerana beliau bukan orang Kuala Lumpur tetapi orang Kedah. Sesuatu yang aneh kerana Datuk Shazky seorang jutawan dikenali sebagai individu yang sering berurusan di Kuala Lumpur dan mempunyai hubungan rapat dengan media-media asing.


Dari sudut keraguan video pula terdapat beberapa perkara yang meragukan seperti;


1. Pada awal rakaman, terdapat seorang lelaki lain yang sedang menguruskan rakaman video pada ketika orang yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim masuk ke dalam bilik. Sewajarnya orang itu (yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim) sedar bahawa perlakuannya akan dirakam. Mustahil sesiapa yang waras akan melakukan adegan sedemikian kecuali dia diupah.


2. Tempoh masa rakaman yang menunjukkan muka si pelaku adalah terlalu pendek. Ditambah dengan rakaman yang dibuat di dalam hitam putih; menyukarkan untuk betul-betul mengesahkan identiti si pelaku.


3. Bahu si pelaku terlalu lebar dan tegap berbanding bahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


4. Bahagian belakang si pelaku (punggung) juga berisi dan jelas berbeza dengan tubuh badan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


5. Di akhir adegan, si pelaku bangun dan tubuh badannya dirakam dengan jelas. Perutnya adalah buncit dan terlalu besar jika dibandingkan dengan perut Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


6. Warna kulitnya adalah terlalu cerah dan hampir tidak dapat dibezakan dengan warna kulit wanita terlibat


Fakta diatas disokong oleh salah seorang pimpinan tertinggi Syarikat Akhbar The Star yang diketahui bermusuh hebat dengan DSAI.


Cerita fitnah 3 ini baru bermula tatkala fitnah 2 semakin tiba ke penghujung. Dalam jangka waktu terdekat ini penulis yakin pelbagai perkara aneh akan berbangkit. Dari pemerhatian penulis isu ini merupakan cara blok sekular mengalihkan tumpuan tatkala berdepan rakyat dalam PRU ke-13 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.


Seorang sahabat dalam mesejnya kepada saya berkata "Mereka semakin kejam. Sahabat semua, adakah kita hanya berdiam dengan fitnah terang-terangan ini. Pemimpin zalim dan kaki fitnah ini perlu disanggah dan dinyahkan dari kepimpinan negara. Ayuh sahabat BANGKIT!!"


Walau bagaimana hebatpun perancangan manusia ketahuilah perancangan Allah Maha Hebat. Penulis tinggalkan pembaca semua dengan firman Allah;


"...Ketahuilah fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan..."
(Surah Al-Baqarah ayat 191)

No comments:

Post a Comment