Thursday, July 26, 2012

Puasa Tetapi Tidak Solat


Soalan: Ustaz, apakah diterima puasa orang yang sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yangg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan:

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijma') para ulama'. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulama' berbeza pandangan tentang hukumnya;

1.Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.

2.Jumhur ulama' berpandangan; ia fasiq, tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulama' hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh bin Baz, Ibnu Uthaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerjakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulama' (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun yang perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah utama dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riya'; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riya' tersebut. Kerana itu, ulama'-ulama' al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (Bekas Ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulama'-ulama' dari Arab Saudi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadith yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (iaitu Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).



No comments:

Post a Comment