Friday, August 3, 2012

JIN MENGAMUK?...


KOTA TINGGI: Lima sekeluarga di Felda Bukit Waha, dekat sini, kini terpaksa menanggung hutang RM2,500, ‘menumpang’ di rumah sendiri dengan tidur dan makan di ruang tamu selepas mendakwa diganggu ‘benda asing’ di rumah mereka sejak hujung tahun lalu.

Lebih menyayat hati, mereka yang mempunyai rumah empat bilik, dapur dan bilik air kini tidak boleh menggunakan semua kemudahan itu kerana jika berdegil, mereka akan dilempar dengan pelbagai barangan.

Selain itu, seorang daripada enam anak pasangan peneroka itu pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan si bapa terbabit dalam kemalangan, sedangkan peneroka itu sibuk di kebun.

Penghuni rumah itu, Samsudin Abdul Hassan, 60, berkata keluarganya mula diganggu ‘benda asing’ hujung tahun lalu apabila terdengar bunyi sekumpulan kucing berlari di atas atap rumah.

Menurutnya, kejadian itu agak pelik kerana dia sudah menghalang semua laluan ke atap, namun tidak menolak kemungkinan ada kucing yang bermain di atap rumahnya itu.

Katanya, pada satu hari dia melihat sendiri beberapa kucing berkejaran di atap rumahnya, tetapi hairan apabila kucing itu melompat ke tanah, tetapi tidak mengeluarkan sebarang bunyi.

“Ketika Kota Tinggi dilanda banjir besar, pertengahan Januari lalu, semua enam pintu rumah kami tidak boleh ditutup seolah-olah ada orang bergayut atau menghalangnya.

“Bimbang dan bingung dengan keadaan itu, saya terpaksa membuat tambahan di pintu bagi membolehkannya ditutup.

“Awal Februari lalu, keadaan bertambah pelik apabila suis utama rumah kami tiba-tiba rosak, sedangkan ketika itu tidak hujan dan tiada apa-apa berlaku,” katanya.

Katanya, dia memanggil seorang rakannya yang juga seorang juruelektrik di kawasan itu sebelum menukar suis baru, malangnya masalah sama berulang.

Katanya, masalah itu tidak berubah, sebaliknya bertambah buruk apabila pelbagai barangan di rumahnya mula berterbangan sendiri, hingga mengenai kepala dan badan lima penghuni rumahnya.

“Bermula dari barangan kecil, hinggalah tong gas, dapur dan peti sejuk semuanya pernah dialihkan. Malah, kunci dalam kocek seluar boleh disembunyikan selain kipas di dapur bengkok.

“Kami kemudian tidak boleh menggunakan dapur lagi kerana setiap kali memasak, dapur akan dialih atau makanan yang dimasak itu akan ditambah gula, garam mahupun barangan lain hingga tidak boleh dimakan.

“Keadaan berlarutan apabila ‘benda pelik’ itu mula merenjis najis di dinding dan permaidani rumah ketika tidur hingga permaidani terpaksa dibuang kerana tidak sanggup lagi membasuhnya,” katanya.

Keadaan baling itu, katanya, biasanya bermula selepas Maghrib dan berakhir kira-kira jam 4 pagi, selain waktu siang dan mereka kini hanya boleh tidur selepas ‘benda pelik’ itu menghentikan serangannya.

Menurutnya, anak bongsunya, Ahmad Zaid Jamian, 16, kini hanya ke sekolah tiga kali dalam dua bulan apabila bajunya dilarikan dan ditemui diconteng menggunakan cat dan najis.

Katanya, semua barang yang disembunyikan akan ditemui di sekitar kawasan rumahnya, sama ada di dalam mahupun di atas atap.

Bagaimanapun, katanya, sejak beberapa hari lalu ‘benda pelik’ itu mula bertindak membakar pakaian dan terbaru semalam, apabila tong gas rumahnya terbakar.

Sejak diganggu ‘benda pelik’ itu, katanya, dia sudah membelanjakan kira-kira RM8,000 untuk membaiki setiap kerosakan dan kini, terpaksa berhutang RM2,500 daripada saudaranya.

Seorang anaknya, Fairul Hassan, 26, berkata dia pelik dengan kejadian itu kerana sejak ibu bapanya tinggal pada 1981 tiada penghuni lain yang diganggu seumpama itu.

“Semalam (kelmarin) saya terkejut apabila menerima SMS berbunyi ‘Abah kemalangan, balik cepat’ daripada nombor telefon bimbit ibu saya, sedangkan ibu tidak pernah menulis SMS kepada saya.

“Apabila saya menelefon abang saya yang berada di rumah ibu, dia mengatakan perkara itu tidak benar dan bapa sebenarnya berada di kebun. Susah nak gambarkan kejadian ini kerana biasanya makhluk halus akan membuat kacau cara lain, tetapi kini dah boleh menggunakan SMS.



No comments:

Post a Comment