Monday, March 4, 2013


KEMUSYKILAN DIJAWAB OLEH TUAN GURU DATO DR. HARON DIN - DARUSSYIFA


Soalan:


Saya pernah membaca dalam beberapa penulisan termasuk penjelasan yang ustaz telah berikan dalam Harakah yang lepas bahawa makhluk halus (jin, syaitan dsbnya). Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis-jenis penyakit boleh dilakukan oleh makhluk ini kepada manusia?

Jawapan:
Berdasarkan kepada nas-nas yang sahih khususnya dalam al-Quran dan sunnah Nabawiyyah, bahawa Allah SWT memperincikan bahawa makhluk halus seperti jin, ifrit dsbnya, dalam keadaan tertentu boleh memberikan berbagai penyakit ke atas anak Adam.
Di antara penyakit itu disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 102 (mafhumnya), "Sesungguhnya orang-orang yang memakan riba' tidak dibangunkan pada Hari Kiamat melainkan dalam keadaan seperti orang yang telah rasuk oleh syaitan daripada sentuhan yang membawa kepada kecelakaan."
Istilah yang Allah digunakan dalam ayat tersebut ialah 'attkhabbut' yang bermakna dipukul dengan kuat atau dicederakannya.
Surah al-A'raf ayat 201, Allah menggunakan perkataan 'almass' yang diantara maksudnya, "Sesungguhnya orang-orang yang taqwa itu apabila mereka diganggu oleh syaitan dengan 'mass', sentuhan yang boleh membawa kepada kehilangan akal oleh jin-jin yang berkeliaran. Mereka segera ingat kepada Allah SWT, lalu mereka dapat pulih."
Surah al-Mujadalah ayat 19, Allah menggunakan perkataan 'istihwaaz', maksudnya syaitan boleh menguasai dan mengalahkan manusia sehingga mereka tidak sedarkan diri atau lupakan segalanya.
Surah al-A'raf ayat 300, syaitan boleh mengenakan kepada manusia 'annazghu' atau menipu dan menghasut untuk melakukan kejahatan. Ertinya golongan syaitan boleh menipu dan menghasut manusia sehingga kepada membunuh.
Surah as-Saad ayat 41, syaitan boleh mengenakan 'annasad' dalam ayat ini yang mafhumnya, "Dan ingatlah peristiwa hamba kami Ayub a.s, ketika ia bermunajat kepada Allah dengan mengadu katanya, 'sesungguhnya saya ya Allah, dikenakan oleh syaitan dengan 'nusghin wa azab'." Nasad yang membawa makna penat atau lebih yang amat sangat.
Jelas bahawa kepenatan, keletihan, kesusahan dan azab sengsara boleh dilakukan oleh makhluk ini berdasarkan ayat-ayat yang saya sebutkan.
Dalam sunnah yang sahih, disebut bahawa syaitan dan suku sakatnya boleh menyebabkan manusia menjadi gila. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dikisahkan tentang seorang anak muda yang baru berkahwin sempena dengan Peperangan Ahzab. Beliau menyertai Rasulullah s.a.w mengorek parit di waktu tengahari, beliau memohon izin kepada Rasullah untuk pulang. Rasulullah keberatan mengizinkan. Namun atas desakannya lalu dibenarkan. Bagaimanapun Rasullullah mengingatkan kepada pemuda tersebut supaya membawa senjata. Apabila sampai di rumah beliau dapati isterinya berada di luar rumah. Lalu dilihat dalam rumahnya ada ulat hitam yang besar. Pemuda ini terus menusuk tombaknya kepada ular tersebut. Lalu ular itu menggelupur, tapi dalam waktu yang sama pemuda itu turut menggelupur. Akhirnya ular itu mati dan pemuda pun mati juga. Apabila peristiwa ini dimaklumkan kepada Rasulullah, lalu baginda menyebut itu (ular) adalah jin. (Sahih Mulim, Juzuk ke 4 hadis 1756).
Suatu peristiwa lain, Yaa'li bin Murrah menceritakan dari bapanya, bahawa suatu ketika seorang perempuan telah membawa anaknya yang berpenyakit 'lammam' (akal yang bercelaru atau gila). Rasullah s.a.w merawatnya dengan membaca sesuatu, lalu baginda menepuk belakangnya dan pemuda itu termuntah lalu keluarlah objek kehitam-hitaman berlari keluar dan terus hilang, lalu pemuda ini kembali siuman seperti biasa. Hadis ini terdapat dalam Musnah Imam Ahmad.
Inilah di antara sebahagian penyakit yang boleh dicetuskan syaitan ke atas


SOALAN:

DATO’, ada ustaz (bekas pensyarah IPTA) di tempat kami, berdiam diri dan tidak mahu campur langsung dalam hal politik. Dia selalu berhujah mengatakan politik sekarang lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan, sedangkan Islam menganjurkan kebaikan. Oleh itu katanya cukuplah beliau melakukan kerja amal kebajikan, tanpa perlu masuk dalam politik yang rosak dan merosakkan. Apa pandangan Dato’ bagi golongan sebegini? Terima kasih.

ZULKIFLI MOHD SAMAN
Kuala Kangsar, Perak

JAWAPAN:

POLITIK yang membawa kerosakan atau keburukan, adalah kerana ia diasaskan untuk kepentingan duniawi yang tidak ada kena mengena dengan politik Islam. Politik Islam adalah politik yang berteraskan kepada syariat Allah. Mana mungkin politik yang berteraskan kepada syariat Allah boleh membawa kepada
keburukan atau kerosakan.

Orang-orang yang menyendiri atau mengasingkan diri daripada menegakkan Islam (menerusi politik Islam) adalah golongan yang oportunis (mementingkan diri). Tidak mahu bersusah berjihad kerana hendak bersenang lenang dengan keluarga untuk kehidupan dunia. Mereka ini akhirnya akan berhadapan dengan hukuman Allah dan akan menerima balasan kerana meninggalkan jihad.

Berjihad untuk menegakkan syariat Allah atau untuk memartabatkan Islam melalui politik seperti di Malaysia sekarang ini, ada hukumnya yang tersendiri. Meskipun hukum jihad itu adalah fardu kifayah, bagi maksud jika ada sebahagian melaksanakannya, maka gugurlah tuntutan itu kepada orang lain. Namun, jika
sebahagian yang melaksanakannya tidak berhasil mencapai matlamatnya, maka hukum tadi akan berubah kepada fardu ain.

Ini berpandukan kepada kaedah fikah yang bermaksud: “Sesuatu yang tidak sempurna yang wajib melainkan dengannnya, maka perkara itu pun menjadi wajib juga.” Contohnya untuk mudah difahami, misalnya hukum berwuduk. Hukum asalnya sunat sahaja. Tetapi jika hendak menunaikan solat, maka tidak sah solat melainkan seseorang itu mempunyai wuduk. Maka di dalam hal ini, hukum sunat wuduk sudah berubah kepada wajib.

Demikian halnya dengan hukumhukum Allah di dalam al-Quranul karim. Contohnya seperti hukum hudud, qisas dan takzir, malah seluruh hukum-hukum Islam, tidak boleh dilaksanakan, melainkan dengan memegang kuasa di peringkat Pusat.

Maka berpolitik untuk memegang kuasa di Pusat, termasuk negeri, hukumnya adalah wajib. Wajibnya itu sudah menjadi fardu ain. Ia wajib dilaksanakan setiap individu Muslim. Said Hawa dalam kitabnya, Jundullah di halaman 493 menulis yang bermaksud: “Hukum-hukum Islam, tidak terlaksana dalam sebahagian besar negara umat Islam. Maka ia menjadi suatu faridhah (kewajipan) asas ke atas setiap individu Muslim. Sesungguhnya barang yang tidak sempurna wajib, melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib.

Selagi hukum-hukum Allah tidak tertegak dan jihad yang sebenar tidak direalisasikan, dan pemerintahan Islam tidak wujud, maka tugas menegakkan negara tersebut adalah wajib, ke atas semua orang Islam di tempat tersebut.”

Umat Islam awalan dahulu, diwajibkan kepada mereka berhijrah dan berjihad ke jalan Allah. Yang berjihad, tetapi enggan berhijrah, Allah menempelak mereka menerusi firman-Nya (mafhumnya): “Sesungguhnya orang orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun
untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Anfaal, ayat 72)

Selepas pembukaan Makkah pada tahun kelapan hijrah, Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya): “Tidak ada lagi tuntutan berhijrah dari Makkah ke Madinah selepas ini, yang ada hanyalah jihad dan niat, sehinggalah ke hari kiamat.” Jihad inilah yang menjadi tuntutan syarak kepada setiap individu Muslim. Ia tidak boleh dielakkan dengan alasan yang hanya dibuat-buat seperti soalan yang anda tanyakan di atas.

Tidak boleh dijadikan alasan politik itu membawa keburukan. Itu adalah politik yang tersasar daripada landasan Islam. Jihad merupakan bisnes yang serius, wajib dipikul oleh semua umat Islam, tanpa mengira apa kedudukan mereka. Lebih-lebih lagi golongan yang ada kedudukan dalam Islam seperti bekas pensyarah IPTA di bidang Islam, maka tentulah orang itu lebih faham bahawa kewajipan jihad adalah wajib ke atas setiap individu Muslim, maka terserahkan kepada diri masing-masing itu melaksanakannya. Apa yang pasti, akhirnya kita akan menghadap Allah SWT untuk ditentukan amal-amal yang dilaksanakan.

Wallahua’lam.
DATO’ DR HARON DIN

No comments:

Post a Comment