Sunday, September 13, 2015

TANAH SUCI MADINAH : MASJID QUBA'. MASJID ZUL HULAIFAH , KAMI MENYAHUT PANGGILAN MU YA ALLAH

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم السلام عليكم  ALHAMDULILLAH

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan . Begitu juga dengan bumi Madinah yang akan ku tinggalkan demi menyahut jemputan Allah sebagai tetamuNYA. Sebelum itu kami singgah di Masjid Quba' untuk solat sunat yang pahalanya seumpama pahala satu umrah .

Masjid Quba tetap sama seperti yang aku singgahi setahun setengah yang lalu  namun keadaan di sebelah petang tak sesibuk di sebelah pagi . 




Masjid Quba adalah merupakan antara masjid tertua di Arab Saudi diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w semasa baginda dalam perjalanan berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Masjid Quba kemudian disiapkan oleh sahabat Rasulullah. Rasulullah s.a.w menghabiskan masa selama 20 malam(selepas hijrah) menunaikan solat fardhu dan solat sunat. Pada ketika itulah,inilah satu-satunya masjid yang ada untuk baginda s.a.w beribadah kepada Allah s.w.t.

Masjid ini telah disebut oleh Alah s.w.t di dalam Al-Quran(surah al-Taubah ayat 108 dan 109) sebagai masjid yang dibangunkan di atas dasar taqwa. Semasa dalam perjalanan berhijrah ke Madinah,Rasulullah s.a.w telah singgah di Quba selama 4 hari. Baginda tidak akan tinggal di satu-satu tempat itu,kecuali dengan mendirikan masjid. Atas dasar itulah maka masjid Quba telah dibangunkan atas dasar taqwa baginda kepada Allah S.W.T. 




Semasa hayatnya,Nabi Muhammad S.A.W kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat. Mengikut Hadis Ibnu Umar r.a 

"sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berkunjung ke Masjid Quba dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki. "


Telah diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w menziarahi Masjid Quba pada setiap hari sabtu dengan menaiki tunggangannya.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w lagi: 

"sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba lalu mendirikan solat di dalamnya,ganjaran pahalanya samalah dengan pahala orang-orang yang mengerjakan ibadah Umrah"


Yang pasti kunjungan ke Masjid Quba ini jadi suatu kemestian sekiranya kita melakukan ziarah luar di kota Madinah . Namun sebenarnya kunjungan ini hanya sekadar kunjungan sekiranya kita tidak mengambil peluang meraih pahala disebalik kunjungan ini .

Oleh itu , ambillah kesempatan untuk solat tahyatul masjid Sungguh besar pahalanya yang Allah dah sediakan untuk kita, jangan lepaskan peluang keemasan yang datang bukan selalu pada kita .





Kami tinggalkan Masjid Quba lalu menuju ke Masjid Zul Hulaifah yang lebih popular dengan nama Bir Ali yang terletak di tanah halal. Ia merupakan tempat miqat bagi jemaah umrah atau haji dari arah Madinah.

Jika musim haji, Bir Ali sentiasa dipenuhi oleh jemaah tak kira siang atau malam.


Aku seret sekali hand luggage  kerana aku nak tanggalkan semua pakaian berjahit yang membaluti tubuh badan ku kerana sebentar lagi hanya dua keping kain putih ihram sahaja yang bakal membaluti tubuh kusehinggalah kami selesai bertahalul nanti setelah menyempurnakan ibadah umrah . 

Itulah perlambangannya apabila aku kembali kepada pencipta Ku nanti yang tubuh dikala itu hanya dibaluti dengan kain putih dan hanya amalan dan taqwa sahaja ketika itu yang akan mengiringi ku nanti menanti hari pembalasan kelak.




Macam biasa , setiap kali itu perasaan teruja dan debaran sentiasa mengiringi ku dan semoga ibadah umrah kami nanti dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Solat sunat ihram dua rakaat disempuranakan sebelum kami menaiki kenderaan yang menanti kami . Kami berniat bersama2 dalam kenderaan sebelum Abdul Karim meluncur laju meninggalkan Bir Ali yang bersempadan dengan tanah haram .

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ
لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
 إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ
لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Hamba Mu datang menyambut panggilan Mu, Ya Allah
Hamba-Mu datang menyahut panggilan Mu
Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan Mu
yang tiada sekutu bagi-Mu 

No comments:

Post a Comment