Memahami Makna Perubatan Islam
Memahami Makna
Perubatan Islam Pengubatan Arab Jahiliyyah
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab jahiliyyah bukan
sahaja mempunyai masalah tauhid dan masalah keharmonian kemasyarakatan, malah
mereka juga mempunyai pengetahuan perubatan yang tidak tersusun, jahil serta
bercanggah dengan nilai perubatan yang sebenar. Pelbagai cara perubatan mereka
yang bukan sahaja bertentangan dengan akal malah mengandungi unsur-unsur
khurafat dan syirik.
Antara contohnya;
a). Merawat pesakit
yang dipatuk ular atau disengat kalajengking adalah dengan mengalungkan
perhiasan emas di lehernya.
b). Apabila anak
mendapat bisul maka ditudungkan kepala dengan penapis lalu mengelilingi
rumah-rumah kaum mereka untuk mengumpulkan roti dan kurma yang kemudiannya
diberikan kepada anjing untuk dimakan supaya anaknya sembuh.
c). Pemberian azimat atau tangkal-tangkal tertentu dalam
pelbagai bentuk lalu dikalungkan atau diletak di badan seperti pakaian buruk
dan tulang manusia kononnya penyakit itu akibat perbuatan roh jahat. Malah
sakit tekak juga ‘dikurniakan’ azimat kepada mereka.
Apabila datangnya Islam maka tradisi perubatan yang tidak
masuk akal ini diperangi dengan pelbagai cara melalui ajaran Nabi saw dan hasil
ijtihad para sahabatnya. Adapun kaedah Nabi saw bukan sahaja melalui ruqyah
(bacaan-bacaan doa) malah termasuk juga cara mencegah dan merawat melalui
pemakanan.
Pelbagai Doa
Terdapat begitu banyak doa-doa bacaan sebagai salah satu
kaedah dalam merawat penyakit dari Nabi saw.
Di antara yang paling
mahsyur di kalangan umat Islam zaman ini adalah surah al-Fatihah (terdapat
dalam Sahih Bukhari no. 2115).
Sekiranya anda hendak membeli buku-buku ruqyah ini pastikan
ia adalah sabit dari hadith Nabi saw. Biasanya ia terletak di notakaki buku
tersebut. HINDARI buku-buku doa yang tidak diketahui asal-usul doanya.
Contohnya seperti terdapat buku-buku doa yang menggambarkan tulisan Arab atau
Jawi yang terputus-putus dan disarankan untuk menyalinnya lalu disimpan di
dalam dompet sebagai penangkal sihir atau penolak bala. Inilah yang dipanggil
tangkal. Selain itu terdapat juga doa-doa atau kononnya selawat-selawat yang
dapat menyembuhkan penyakit, sedangkan Nabi saw tidak pernah mengatakannya
malah kelebihannya melampau-lampau pula hingga meninggalkan sunnah Nabi saw
yang sahih.
Oleh kerana itu saya sarankan pilihlah buku-buku doa yang
mempunyai notakaki yang mengatakan dari hadith mana doa itu diambil. Apakah
Ruqyah Itu Memadai? Sekiranya cukup dengan doa tentulah Rasulullah saw tidak
akan mengatakan bahawa madu, kurma, habatussauda dan kandungan makanan lainnya
yang mempunyai aspek penyembuhan. Tetapi menerusi penyelidikan terkini umat
Islam dan juga bukan Islam mula membuka mata mengenai kehebatan wahyu (sunnah)
menerusi lisan Nabi Muhammad saw.
Antara mukjizat ilmu perubatan yang diberi pada Nabi saw
seperti hadith lalat, kurma ajwa, kencing unta dan banyak lagi yang mempunyai
kesan penyembuhan terhadap penyakit. Sehingga kini ada yang mampu dikaji dan
ada yang masih tidak diketahui oleh penyelidik. Selainnya anda boleh melihat di
dalam buku ‘Mengubat Cara Nabi’ karangan ulamak yang terkenal Imam Ibnu Qayyim
Al-Jauziyah.
Cara Perubatan Rasulullah saw kaedah atau pengubatan yang
dilakukan oleh Nabi saw terdapat tiga cara iaitu;
a). Pengubatan secara semulajadi melalui pemakanan dan
sebagainya. Jika kita kaitkan pada zaman ini samalah seperti pengambilan
ubat-ubatan serta pengambilan pil vitamin dan seumpamanya melalui kajian yang
sah.
b). Pengubatan secara
ruqyah (doa yang diilhamkan kepada Nabi saw) bagi menghilangkan pelbagai penyakit
termasuk penyakit kerohanian.
Dari Anas bin Malik r.a. Maksud hadith: "Mahukah kamu aku ruqyah
dengan ruqyah Rasulullah saw?" ..... Anas r.a berkata :
(Ya Allah Rabb
manusia, Dzat yang menghilangkan rasa sakit. Sembuhkanlah sesungguhnya Engkau
Maha Penyembuh. Tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan Engkau iaitu
kesembuhan yang tidak akan menyebabkan penyakit lagi)." [5301] Sahih
Bukhari
Oleh itu untuk mengamalkan ruqyah ini adalah sunnah. Apabila
kita mengamalkan doa atau selawat yang bukan diilhamkan kepada Nabi saw,
bererti seolah-olah kita mengangkat perkataan orang lain lebih dari Nabi saw
dan meninggalkan sunnah yang sahih seperti ini.
c). Pengubatan yang menggabungkan kedua-duanya. Sebenarnya
inilah kaedahnya yang sebenar tetapi saya mengasingkannya atau menyusunnya
supaya mudah dibaca dan difahami.
Pemahaman Perubatan Islam Yang Salah @ Pengubatan Islam
Jahiliyyah Inilah tujuan utama risalah ini dan ia adalah isu yang amat penting
terutama pada zaman kita ini. Umat Islam telah mula meniru kembali
kaedah-kaedah perubatan Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam.
Paling buruk ia dilakukan oleh orang yang kononnya digelar
sebagai ahli agama sedangkan ia ahli hawa nafsu yang mengaut untung dan
mengambil kesempatan terhadap orang lain, antaranya;
a). Menziarah kubur untuk meminta kesembuhan. Baru-baru ini
kita melihat mengenai orang yang menziarahi Pulau Besar di Melaka. Walaupun
lisan kita mengatakan hanya Allah yang menyembuhkan, tetapi perbuatan kita ke
sana atas tujuan ‘usaha’ itu adalah salah. Inilah konsep perantaraan yang jatuh
kepada syirik. Maksudnya kita tidak yakin akan kekuasaan Allah yang memakbulkan
doa kita dan perlu ke tempat ‘keramat’ seperti itu untuk meminta hajat.
b). Air zam-zam yang
dibacakan tiga puluh juz Al-Quran. Perkara ini sangat menghairankan kerana
apakah tidak cukup keberkatan air zam-zam itu sehingga kita ingin menambah
‘berkah’ kepada air zam-zam tersebut dengan bacaan ayat Al-Quran? Konsepnya,
dari mana datang keberkatan? Semuanya dari Allah, apakah kita meragui? Para
ahli ilmu tidak akan tertipu, sasaran mereka hanya kepada umat Islam yang
jahil.
c). Mempercayai bomoh yang bergelar ustaz. Ada seseorang
yang menceritakan kepada saya bahawa ia menjumpai seorang ‘ustaz’ dan meminta
supaya disembuhkan penyakitnya. ‘Ustaz’ itu kemudiannya memberikan beberapa
paku yang dibaca doa dan ayat Al-Quran untuk diletakkan di pintu rumah. Apakah
paku itu boleh menyembuhkan penyakit? Ini sihir dan syirik.
d). Pembedahan batin. Kaedah ini dilakukan oleh para
penyihir yang bekerjasama dengan syaitan dari golongan jin. Mereka yang
mendatangi penyihir ini samalah seperti mendatangi bomoh.
e). Zikir amalan yang bertentangan dengan zikir Nabi saw dan
SALAHGUNA ayat-ayat Al-Quran. Antara tujuan zikir ini bukan sahaja untuk tujuan
menyembuh penyakit malah untuk tujuan seperti untuk bertemu jodoh, zikir
menjadi halimunan, zikir menjadi kebal dan sebagainya.
f). Pemetaan genom yang kononnya apabila dapat dikumpul
genom dan memahaminya maka manusia akan bebas dari segala penyakit (mungkin
saja ini salah satu dari fitnah dajjal). Ini syirik. Islam tidak melarang
pengkajian genetik untuk memberi manfaat tetapi perlu didasari dengan syariat dan
bukan mengatasi syariat.
Allah yang mendatangkan penyakit dan hanya Allah yang
menyembuhkan. Sakit itu perkara biasa kerana ia menghapus dosa atau menaikkan
darjat seseorang. Hendaklah kita meyakini bahawa penawar atau penyembuh bagi
setiap penyakit di dalam Islam hanyalah dari Allah. Namun bukanlah bermakna
kita perlu berpeluk tubuh dan kononnya bertawakal tanpa berusaha, sebaliknya ia
satu motivasi di dalam diri untuk mencegah dan mencari penawar dengan
mengamalkan sunnah Nabi saw. Disamping itu ia dapat menghasilkan rasa harap,
takut dan berserah diri kepada tempat meminta segala pertolongan (Allah).
Kesimpulan Perubatan
Islam
Sebenarnya adalah sistem perubatan yang sah dan sama dengan
asas perubatan atau ilmu kedoktoran masa kini melalui kajian-kajian empirik.
Malah perubatan Islam bukan sahaja melalui perubatan sains semata-mata, malah
ia tetap berpegang dan meletakkan wahyu (Al-Quran dan Al-Sunnah) di peringkat
paling atas. Ini bermakna perubatan yang bertentangan dengan syariat adalah
ditolak. Adapun sabdaan Nabi saw mengenai kandungan-kandungan pemakanan adalah
wahyu dan kita sebagai umatnya perlu jadikan ia satu motivasi untuk mengkajinya
dan memberi kemanfaatan kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. Ilmu yang
bermanfaat akan mendapat pahala yang berterusan, oleh itu berusahalah.
Dari Jabir bin Abdullah r.a : Maksud Hadith: Rasulullah saw
bersabda:
"Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ditemukan ubat yang tepat
untuk suatu penyakit, maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah 'azza
wajalla." [4084] Sahih Muslim
Punca salah faham mengenai perubatan Islam ini kerana tidak
memahami makna iman dengan betul. Perbaharuilah syahadah kita setiap hari dan
berdoa moga dihindarkan bukan sahaja pada diri sendiri malah keselamatan ahli
keluarga, jiran tetangga dan seluruh umat Islam dari fitnah yang merosakkan
akidah ini. Belajarlah ilmu tauhid yang sebenar, BACALAH dan tanyalah kepada
mereka yang mengetahui.
Kembalilah kepada tauhid yang benar sebelum membicarakan
mengenai hukum-hukum perubatan Islam yang lain.
Rujukan dan kitab
yang DIANJURKAN untuk dibaca :
1) Al-Quran dan hadith yang sahih
2) Sirah Nabi Muhammad [Abu Mazaya al-Hafiz]
3) Mengubat Cara Nabi [Ibnu Qayyim al-Jauziyah]
4) Perdukunan Karomah [Zainal Abidin Bin Syamsudin]
5) Fikah Perubatan [Dr. Harmy dan lain-lain keluaran PTS]
6) Perubatan Al-Quran dan Al-Sunnah [Abdul Aziz Ismail]
Rujukan yang DILARANG
untuk dibaca atau diamalkan :
1) Kitab Mujarrobat
2) Ilmu Rohani dan Mengenal Manusia Serta beberapa
lagi yang tidak wajar disampaikan di sini.
No comments:
Post a Comment