Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera buat semua pembaca setia Darussyifa' Mentakab Masalah “lupa” sering dialami oleh semua orang terutama pelajar akademik, penuntut ilmu di institusi-institusi ilmu secara formal dan di masjid dan sistem pengajian pondok secara informal . Mereka cepat lupa apa yang diajar oleh guru atau tuan guru. Justeru itu, masalah ini menjadi kebimbangan di kalangan pelajar dan penuntut ilmu, apatah lagi apabila masalah lupa ini menghantui mereka disaat peperiksaan, dan ujian lisan dan tasmi' (bagi penuntut sekolah pondok dan maahad tahfiz) hampir tiba.
Anda perlu tanya kepada diri sendiri, kenapa saya mudah lupa ? Apakah punca yang menyebabkan saya mudah lupa? dan bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini ? Pasti anda akan dapat jawapannya.
Kenapa Mudah Lupa
- Mempunyai sikap sambil lewa
- Tidak berminat terhadap sesuatu ilmu pengetahuan
- Tidak ambil perhatian ketika guru mengajar
- Tidak mengulangkaji pelajaran secara sistematik
- Sering melakukan kesalahan dan dosa
- Tidak menghormati naskhah kitab dan buku pelajaran
- Tidak menghormati guru
- Tidak menerima nasihat orang lebih pandai dan berilmu
Perkara-perkara yang menyebabkan mudah lupa
- Mengabaikan solat lima waktu : Solat adalah tuntutan agama. Ia wajib dilakukan 5 waktu sehari semalam. Solat juga merupakan tiang agama. Pelajar yang sering mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat seperti mereka mengabaikan keperluan hidupnya. Jika diabaikan bermakna mereka telah lupa kewajiban dan tanggungjawab yang paling penting dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Kalaulah aspek yang paling penting ini dilupakan apatah lagi aspek kehidupan yang lain.
- Sering bercakap bohong : Pelajar yang sering berbohong sukar untuk membezakan perkara yang benar dan sebaliknya. Meraka yang suka berbohong bukan sahaja mewarisi penyakit lupa malah akan hilang jati diri.
- Selalu mungkir janji : Alasan yang diberikan pelajar yang selalu mungkir janji adalah lupa. Jadi pelajar yang tidak menepati janji secara tidak langsung membawa dirinya ke arah penyakit lupa.
- Makanan yang shubhah (meragukan) status halal : Kita digalakkan memakan makanan yang bersih, suci dan halal. Seseorang pelajar itu hendaklah mengelakkan diri daripada memakan makanan yang kotor dan meragukan status kehalalannya. Kerana ia akan mempengaruhi sikap dan minda seseorang pelajar itu.
Cara untuk mengatasi masalah lupa
- Jangan abaikan solat lima waktu
- Perbanyakkan solat sunat
- Selalu membaca ayat-ayat suci al-Quran
- Selalu berdoa kepada Allah SWT
- Jangan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT seperti berbohong, mungkir janji, melakukan maksiat, berzina dan sebagainya.
- Makan makanan yang berkhasiat, bersih, suci, seimbang dan halal
Manakala terdapat beberapa cara agar ingatan lebih kuat dan dapat bertahan lama dalam aspek pelajaran.
- Mengulangkaji Pelajaran : Lebih kerap pelajar mengulangkaji lebih kekal lama ingatan tentang apa yang dipelajari dalam minda.
- Gunakan pelbagai cara untuk menyalin nota : Jika nota ditulis menggunakan teks sahaja, maka pelajar akan cepat merasa bosan untuk mengulangkaji. Nota yang dicatat perlu dilakar dalam bentuk peta minda supaya pelajar senang ingat dan menarik minat untuk melihatnya. Pelajar perlu menulis nota secara kreatif, gunakan pelbagai jenis warna pen, penggunaan gambar atau grafik.
- Gunakan pelbagai jenis carta : Termasuklah carta aliran, gambar rajah, venn, lukisan, singkatan, nemoniks dan lakaran.
- Kaedah bayangan : Pelajar boleh membayangkan isi kandungan yang dibaca. Bayangkan dalam bentuk gambar, gambar rajah, peta konsep, carta aliran, jadual serta pemandangan.
- Mengulang dan mengingat kembali : Mengulang dan mengingat kembali bayangan itu dengan lebih kerap dan menyebutnya berulang kali.
- Kurangkan teks : Jadikan ia gambar dan kata kunci.
- Selalu rujuk kamus : Bagi pelajar yang mengambil aliran bahasa arab, hendaklah selalu berkawan dengan kamus dan menghafaz sekurang-kurangnya 5 patah perkataan sehari.
- Merujuk kaedah dan cara merawat penyakit pelupa anda dengan mana-mana cawangan Darussyifa; di seluruh Malaysia.
Akhir kalam, diucapkan selamat mencuba, jangan putus asa dan lakukan dengan bersungguh-sungguh insyaallah mudah-mudahan masalah lupa dapat di atasi dalam diri masing-masing
No comments:
Post a Comment