Dalam politik strategi ‘Devide and Rule’ atau ‘Pecah dan Perintah’ bukanlah sesuatu yang hanya baru digunakan di zaman moden ini. Sekiranya ditelusuri sejarah, strategi ini bukan hanya bermula setelah Machiavelli membincangkannya dalam The Art of War, tetapi berkemungkinan telah diaplikasikan sejak manusia mula bersengketa secara berkumpulan. Pemerintah Rom, Ceaser, dikatakan telah menggunakan strategi ini untuk menghadapi dan menguasai kaum Yahudi.
Semasa zaman Rasulullah saw, strategi ini juga digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan keutuhan umat Islam. Satu peristiwa yang dinukilkan sendiri oleh al-Quran berkaitan perkara ini ialah tindakan kaum Yahudi melaga-lagakan kaum `Aus dan Khazraj. Hasutan kaum Yahudi ini talah hampir-hampir mencetuskan peperangan di kalangan kedua-dua kabilah itu sehinggalah Rasulullah saw dengan pantas telah berjaya memadamkan api kemarahan tersebut. Berhubung dengan peristiwa ini Allah swt menurunkan ayat al-Quran surah Ali Imran, ayat 100 hingga 103 yang bermaksud:
" Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus). Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga) ". Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.
Sememangnya dimaklumi bahawa kaum Ansar dari kalangan kabilah `Aus dan Khazraj adalah tunjang kekukuhan negara Madinah pada ketika itu. Merekalah yang telah memberi kesanggupan yang tidak berbelah bahagi membela Rasulullah saw dan menolong saudara mereka dari kalangan Muhajirin. Menyedari perkara tersebut kaum Yahudi dan golongan munafik melihat bahawa tidak ada strategi lain untuk melemahkan negara yang diperintah oleh Rasulullah saw selain daripada melemahkan kaum Ansar.
Lalu merekapun mengaplikasikan strategi pecah dan perintah dengan mengapi-apikan semangat perkauman antara `Aus dan Khazraj. Kedua-dua kabilah hampir-hampir mencetuskan peperangan baru, yang kesannya akan melemahkan kekuatan negara Islam Madinah pada ketika itu. Rasulullah saw sebagai seorang Rasul menerima wahyu dan sebagai seorang pemimpin yang bijaksana cepat-cepat mencium strategi pecah dan perintah pihak musuh ini, lalu persengketaan itu dapat diselesaikan.
Ketika kuasa-kuasa imperialis Eropah menjajah dunia Islam, strategi yang sama digunakan. Mereka mengkaji dan mengenal pasti isu-isu sensetif yang dengan begitu mudah dicucuh untuk membakar api perpecahan di kalangan umat Islam. Antara isu-isu yang digunakan termasuklah semangat kebangsaan (nasionalisme) dan perbezaan mazhab. Dengan memenipulasikan isu-isu ini, umat Islam mula bersengketa dan akibat persengketaan itu, dengan mudah kuasa-kuasa ini menjajah dunia Islam.
Demi menyedari hakikat tersebut, Imam Hassan al-Banna menubuhkan Ikhwan al-Muslimin atau Persaudaraan Islam. Jelas sekali, antara tujuan terpenting beliau ialah menyatukan para pencintan Islam di bawah satu tujuan dan mengelakkan persengketaan yang tidak perlu sesama mereka. Visi dan misi Hassan al-Banna berkaitan persoalan ini termuat dalam Usul al-`Ishrin (Usul Duapuluh). Bagaimanapun, hari ini Ikhwan al-Muslimin turut tidak terkecuali daripada serangan yang berstrategikan pecah dan perintah oleh musuh-musuh mereka.
Demikianlah juga dengan PAS, tidak sunyi daripada menghadapi strategi ini. Hari ini, ramai pihak mengakui bahawa PAS adalah antara parti politik yang paling konsisten dan pengaruhnya semakin hari semakin bertambah. Dalam konteks senario politik terkini, PAS dianggap sebagai ‘King Maker’ yang mencorakkan politik Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sendi kekuatan PAS ialah kesatuan fikrah dan kesatuan bertindak di kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.
Semenjak era Kepimpinan Ulama, hampir tiada satu perselisihan pandangan yang mampu menggugat keutuhan PAS. Meskipun berlaku beberapa peristiwa perselisihan pandangan seperti kewujudan kumpulan Islah yang menentang kerjasama dengan Parti Melayu Semanngat 46, keretakan itu tidak berpanjangan. Sebaliknya, perselisihan tersebut telah menapis golongan yang sebelum ini menjadi bebanan kepada PAS disebabkan tindakan mereka yang dikaitkan dengan takfir.
Setelah hampir 40 tahun era Kepimpinan Ulama, sekali lagi PAS menghadapi perselisihan pandangan khususnya di kalangan pimpinan. Lazimnya perselisihan seumpama ini akan dapat diselesaikan melalui semangat syura sama ada di peringkat Majlis Syura Ulama atau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Bagaimanapun ada sedikit kelainan pada kali ini, iaitu UMNO telah cuba menyuntik strategi pecah dan perintahnnya. Peranan ini dibantu oleh media-media massa yang pro-UMNO dan BN.
Cetusan idea Kerajaan Perpaduan oleh Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang tidak pernah langsung mengaitkan hanya hubungan PAS dan UMNO. Tuan Guru Presiden PAS telah menjelaskan bahawa gagasan itu akan melibatkan semua parti. Bagaimanapun, pimpinan-pimpinan UMNO dan media-media mereka mengelirukan rakyat termasuk ahli-ahli PAS sendiri dengan menyogokkan gagasan itu adalah antara PAS dan UMNO. Sehingga artikel ini ditulis, mereka terus menerus menyempitkan pengertian itu.
Strategi UMNO ini sememangnya sedikit sebanyak telah mewujudkan perselisihan yang agak runcing dalam PAS. Namun begitu sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan sentiasa mengembalikan segala urusannya kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan dipimpin oleh para ulama. Saya percaya, strategi UMNO kali ini akan gagal, sebaliknya PAS akan bangkit semula dengan lebih kuat untuk menumbangkan mereka khususnya dalam Pilihanraya Umum akan datang.
جزاك الله خير الجزاء وبارك فيك وأفاض عليك من نعمه ظاهرة
وباطنة
وأسأل الله باسمه العظيم الأعظم أن ينير بصرك وبصيرتك
بنور اليقين
وأن يجعله فى ميزان حسناتك
وباطنة
وأسأل الله باسمه العظيم الأعظم أن ينير بصرك وبصيرتك
بنور اليقين
وأن يجعله فى ميزان حسناتك
No comments:
Post a Comment