Thursday, October 7, 2010

APAKAH HUKUM MERAWAT SIHIR DENGAN SIHIR

(Dipetik dari buku bertajuk MENJAWAB PERSOALAN MAKHLUK HALUS - Kaitannya Dengan Penyakit dan Pengubatan - oleh Tuan Guru Dato' Dr Haron Din)

Disusun semula oleh Ust Ishak AR (MA). No Ahli:0575

Orang yang terkena sihir meruapakan mereka sedang yang diuji oleh Allah SWT. Ikhtiar penyembuhannya hendaklah melalui cara yang dibenarkan oleh syarak iaitu seperti menggunakan rawatan dengan bacaan doa-doa yang ma’thur.

Salah satu cara pengubatan seperti yang disebutkan dalam hadith sahih ialah dengan menggunakan daun bidara yang ditumbuk dengan batu, dimasukkan ke dalam air, dan didoakan dengan doa-doa daripada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW. Air tadi dibuat minum dan dimandikan ke atas pesakit.

Menggunakan sihir untuk mengubati sihir diistilahkan di dalam syarak sebagai an-Nusyrah yang bermaksud mengubati sihir dengan sihir. Sihir merupakan amalan yang ditegah dan diharamkan oleh Islam kerana amalan ini membawa kepada syirik.

Ini berdasarkan kepada hadith Jabir bin ‘Abdullah yang diriwayatkan oleh Abu Daud (Rh):

 سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن النشرة فقال هو من عمل الشيطان

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya tentang hukum an-Nusyrah, maka Rasulullah SAW menjawab bahawa perbuatan itu merupakan pekerjaan syaitan.”

Jelas menunjukkan di sini bahawa Rasulullah SAW melarang pengubatan sihir dengan sihir. Kita hendaklah memikirkan kaedah lain selain menggunakan khidmat ahli sihir. Jika kita mengetahui orang tersebut adalah ahli sihir dan menggunakan khidmatnya, bermakna kita bersubahat dengan ilmu yang dilarang oleh Allah SWT.

Banyak perkara yang boleh menjerumuskan seseorang kepada tunjuk ajar ahli sihir. Contoh yang sering berlaku dalam masyarakat, terdapat bomoh dan dukun yang meminta pengorbanan seekor ayam atau kambing untuk disembelih, dan menggunakan darah haiwan tersebut untuk mengubati sesuatu penyakit.

Perbuatan menyembelih binatang kerana jin, syaitan atau sihir seumpama ini jelas perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Saudara,

Marilah kita sama-sama membenteras amalan dan perbuatan seperti ini. Pupuklah iman kita dengan keimanan hakiki yang dibimbing oleh syarak dengan berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Khidmat rawatan yang diikhtiarkan oleh para perawat bertauliah yang diiktiraf Darussyifa’ sentiasa berada di atas landasan syarak.

Perhatian Penting

Sekiranya saudara ingin mendapatkan rawatan atau pengubatan dari perawat yang mendakwa diri mereka adalah ahli Darussyifa’, pastikan mereka memiliki naskhah SIJIL/IJAZAH yang dianugerahkan oleh Darussyifa’ Pusat, Bangi, Selangor. Ijazah mestilah tertera pengesahan dan ditandatangani oleh Y.Bhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din sahaja.

No comments:

Post a Comment