Ucapan "meneran" Najib, Deepak, Musa dan royalti Kelantan
Ahmad Lutfi Othman, 03 Dis 2012
Selepas mengikuti Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Bharu baru-baru ini, dan melihat dari dekat semangat serta komitmen perwakilan Parti Islam itu, khususnya untuk berdepan PRU13, saya harap dapat menyaksikan sepenuhnya Ucapan Dasar Presiden Umno (tentunya disiarkan secara langsung oleh semua stesen televisyen utama), pagi Khamis, 29 November lalu.
Sebagai pengamal media, walaupun menerajui organ parti, saya teruja untuk melihat sendiri situasi para aktivis dua organisasi politik terbesar, PAS dan Umno, di ambang pilihan raya paling sengit ini. Sekurang-kurangnya dapat juga membuat penilaian dan perbandingan lebih seimbang. Boleh sahaja membaca ucapan perasmian dan penutup Presiden Umno dalam akhbar esoknya, namun saya lebih gemar mendengar intonasi dan melihat lenggok badan secara terus.
Semasa sihat bugar dahulu, terutama semasa era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, saya akan cuba mempastikan hadir di PWTC, terutama pada sesi penggulungan, pada hari terakhir persidangan Umno. Tentunya pidato Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Umno waktu itu, turut menjadi tumpuan. Anwar diakui mempunyai keistimewaan tersendiri, termasuk berupaya menyindir bosnya, Mahathir. Apa pun, saya kira ucapan Sanusi Junid selepas kalah pemilihan Naib Presiden pada 1993, mengenai gejala politik wang dalam Umno dengan mengaitkan lambang-lambang dalam setiap wang kertas, terakam kukuh dalam ingatan.
Ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi, satu pembaharuan dibuat, iaitu siaran langsung sesi perbahasan persidangan oleh Astro. Ia langkah berani, mungkin bertujuan untuk mempromosikan lagi Umno kepada khayalak lebih luas, tetapi malangnya menerima padah dan kesan negatif kepada Abdullah. Banyak persoalan sensitif yang dilemparkan perwakilan telah menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu dan mungkin kemudiannya menjadi faktor mereka menolak BN dalam PRU12.
Namun, apa yang tidak dapat dilupakan, semasa mengikuti ucapan Abdullah menerusi TV, saya lebih banyak tersengguk dan terlelap walaupun sudah tersedia pen di tangan untuk mencatat butiran penting leterannya!
Menyedari perhimpunan agung Umno (PAU) 2012 mempunyai banyak keunikan (seorang rakan beranggapan, ia pertemuan terakhir ahli-ahli dan pemimpin parti itu berada di pihak kerajaan), saya menggagahi diri mengikuti ucapan Najib walaupun terpaksa membatalkan temujanji rawatan rutin. (Seorang penalis di TV, semasa menunggu lintas langsung, menegur singkatan PAU, yang dilihatnya memberi konotasi negatif).
Nada Najib cukup tinggi, penekanan suara begitu bersemangat, tetapi ia dibuat agak keterlaluan, dan seringkali menganggu tempo, serta tidak sesuai dan canggung dengan lantunan suara semulajadi Najib. Ada kalanya seperti mahu "meneran", meniru gaya Anwar. Retoriknya kadang-kadang tersasar dan tidak menjadi. Tetapi ...biasalah, ia disambut tepukan bergemuruh.
Masih dalam mood mukadimah, di awal ucapannya, Najib terus bersuara lantang: "Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda." (Terdengar juga ketawa perwakilan selepas Najib menyebut "kuda-kuda").
Tanpa sembunyi, Presiden Umno itu mengisytiharkan perang bagi mempertahankan Putrajaya, satu manifestasi Umno-BN berada dalam kedudukan defensif sehingga terpaksa menjawab satu demi satu serangan Pakatan Rakyat. (Apakah Najib bersedia berperang dengan rakyat yang tidak sabar-sabar lagi untuk bereksperimen -- melakukan perubahan menukar kerajaan?)
Sepatutnya, mendengar ucapan penuh bersemangat itu, dengan sorakan perwakilan yang bergema, saya tidak akan tertidur seperti ketika memasang telinga Abdullah menyusun hujah enam dahulu. Realitinya, beberapa kali isteri menegur, "tengok TV ke, TV tengok dia ni", apabila menyedari saya terlelap lama. Jadi, saya terpaksa menyemak semula teks ucapan Najib itu dalam akhbar esoknya.
Saya kira lebih ramai penonton dapat menyaksikan apa yang tersirat daripada yang dihidangkan oleh paparan kaca TV. Najib cuba menyembunyikan kegelisahan dan keresahan. Majoriti rakyat sudah bersedia untuk melakukan perubahan. Rekod lebih lima dekad Umno sukar untuk dipertahankan lagi. Kebocoran tidak mampu ditampung; ketirisan menjadi-jadi akibat kecurangan dan salahguna kuasa berterusan pemimpin Umno-BN.
Ucapan Najib tidak lebih daripada ceramah politik berdegar-degar, yang hanya bertujuan membakar semangat ahli-ahli Umno dan langsung tidak menekankan isu-isu dasar-besar yang sepatutnya ditangani sebuah parti pemerintah, yang berkuasa selama lebih 55 tahun. Beliau hanya mengulangi mantera lama -- negara huru-hara, bankrap dan hancur berkecai jika rakyat memilih Pakatan. Daleh yang sukar diterima generasi yang terdedah dengan simpang-siur maklumat dan lebih bersedia berpartisipasi secara proaktif dalam politik.
Kalau dalam muktamar PAS, akan diadakan slot ceramah umum pada malamnya, dengan mengetengahkan tokoh-tokoh pemidato dan pemimpin kanan, dan bukannya dihamburkan dalam ucapan dasar seperti dilakukan Najib. Lucu juga menyaksikan lagak Najib bagaikan panglima perang mahu mengerahkan bala tenteranya turun bertempur. Dan ia dilakukan bukan kali pertama, malah berulang kali, tetapi masih belum berani mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong!
Sedangkan yang diperlukan dalam pilihan raya adalah lebih halus dan seni daripada itu (bukan seronok bertempik hinga hilang suara), yakni bagaimana mahu menambat hati, emosi dan pemikiran pengundi, serta usaha mempengaruhi "golongan yang boleh dipengaruhi" agar memberikan kepercayaan dan mandat untuk bersama-sama membangunkan negara tercinta ini.
Bagai dijangka, Dr Mahathir (ada pihak menggelarkannya ketua penerangan Umno tidak rasmi) menyifatkan ucapan Najib itu sebagai terbaik. "Ia satu ucapan yang fantastik," tegas Dr Mahathir, "beliau telah menjawab segala tomahan, tuduhan dan fitnah yang selama ini dilontarkan oleh parti-parti pembangkang terhadap Umno." Riak Mahathir, yang kelihatan sentiasa memberi sokongan penuh kepada Najib, juga membayangkan kekhuatiaran Presiden Umno ke-5 berdepan perhitungan rakyat dalam PRU13.
Najib juga tidak dapat menyembunyi perasaan harap-cemasnya apabila meminta perwakilan Umno sama-sama berdoa agar "apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, insya Allah kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah ..." Seolah-olah menjadi igauan dan mimpi ngeri bahawa PAU 2013 akan berlangsung muram dan suram ... ya, mesyuarat agung Umno buat pertama kali atas kapasiti sebagaai parti pembangkang!
II. Waspada dan cermati trend pengundi baru
Saya kira, banyak pihak dapat mengesan kebimbangan dan kegelisahan Umno terhadap pengundi muda atau yang baru pertama kali mengundi, selain kebijaksanaan majoriti rakyat untuk membuat pilihan tepat.
Dalam ucapannya di hadapan lebih 2,700 perwakilan Umno, Najib membentangkan hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Hampir 70 peratus daripada 29 juta penduduk tinggal di bandar, 80 peratus berumur kurang 45 tahun manakala separuh rakyat berusia bawah 25 tahun. Sejak Mac 2008, terdapat 2.9 juta pengundi baru telah mendaftar sebagai pemilih. Maknanya, setiap seorang daripada lima pengundi dalam PRU13 ialah pengundi baru atau yang pertama kali mengundi.
Pengundi baru dan generasi di bawah 45 tahun ini tidak lagi mudah dipengaruhi dogengan usang Umno. Mereka juga tidak terikat dengan nostalgia yang sengaja dipasak, khususnya mengenai sumbangan Umno sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan kemerdekaan. Kelompok ini lebih independen, sukar dikontrol dan tidak takut untuk melakukan "eksperimen" ataupun percubaan.
Dan ingat, anak-anak muda ini juga dikatakan tidak suka dikaitkan dengan mana-mana parti politik; hari ini menyokong parti A, esok mungkin berpindah parti B, atau boleh mengundi parti A di peringkat Dun, dan selektif untuk sokong parti B untuk kerusi Parlimen.
Kepada regim yang memerintah secara terus-menerus di peringkat persekutuan, seperti Umno, istilah "ubah", "tukar", atau "berani mencuba" cukup mengerikan. Pemimpin Umno, apatah lagi Najib, amat faham benar, sekali gabungan parti yang diterajuinya hilang kuasa di Putrajaya, seperti nukilan Najib sendiri: "Kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri!"
(Agak kerap saya mengulas bagaimana Umno begitu takut dan ngeri jika ditakdirkan berada di posisi pembangkang, sehingga tercetus ungkapan "terbangsat dan merempat", sedangkan dalam negara demokrasi, bukannya sesuatu yang mengaibkan bagi mana-mana parti untuk bersilih ganti menerajui negara, seperti ditunjukkan dalam sistem dua parti di negara-negara maju, misalnya Amerika Syarikat).
Justeru, Najib, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir sendiri, kerap memberi amaran agar tidak menjadikan PRU13 sebagai medan untuk mencuba atau bereksperimen menukar kerajaan. Walhal sistem demokrasi memberikan ruang seluasnya untuk rakyat membuat pilihan -- tanpa gentar dengan sebarang ugutan dan ancaman -- termasuk untuk memilih pemerintah yang baru. Dan inilah, dalam PRU13, buat pertama kali, rakyat Malaysia membuat kesempatan terbaik itu, yang tidak pernah muncul sepanjang 12 kali pilihan raya umum lalu.
"Pilihan raya bukan satu uji kaji," tegas Najib Khamis lalu, "lima tahun ialah jangka masa yang lama dalam pentadbiran sesebuah kerajaan ... pelbagai kerosakan boleh berlaku."
Pada Himpunan Barisan 1Malaysia, juga di PWTC, pertengahan November lalu, di hadapan aktivis NGO yang menyokong BN, Najib dilaporkan berkata: "Kenapa nak baiki jika tidak ada yang rosak? Ia tidak rosak, malah jauh daripada rosak. Negara kita dicemburui oleh banyak negara lain." Kenyataan itu untuk menyanggah momentum rakyat yang mahu melakukan perubahan ataupun penambahbaikan kepada pelbagai kerosakan yang dilakukan pemimpin Umno-BN selama ini.
Ya, beberapa kali, dalam kolum ini, saya merakamkan perihal keghairahan rakyat biasa yang saya temui, misalnya pemandu teksi dan kenalan lama yang sebelum ini tidak begitu berminat dengan politik.
"Apa salahnya kita mencuba kerajaan baru. Kalau mereka juga menyeleweng daripada janji-janji, rasuah, pilih kasih, utamakan kroni, seperti dilakukan BN, lima tahun nanti, kita tukar pula, lagipun rekod empat tahun Pakatan perintah Selangor boleh tahan juga, tak ada yang pelik-pelik dan merugikan rakyat," ujar seorang pemandu teksi, dalam perjalanan menghantar saya ke Hospital UKM, Cheras.
"Ubahlah ... dan jangan bagi peluang kepada mana-mana kerajaan untuk terlalu lama memerintah. Regim yang begitu lama berkuasa amat mudah melakukan korupsi kerana cukup berpengalaman dan arif dengan lubang serta peluang berbuat jahat. Mereka juga cenderung bersikap kuku besi. Tukar ajalah, lima tahun bukannya lama sangat, selamatkanlah negara kita," kata jiran saya, seorang Cina-Katolik, yang sebelum 2008 sentiasa menyokong BN, kini giat berkempen kepada rakan-rakannya agar mengundi Pakatan.
Namun begitu, Pakatan tidak seharusnya mengambil mudah kompleksiti ragam pengundi baru ini. Segalanya tidak mudah dalam PRU13. Jentera BN pastinya menggandakan usaha mendekati mereka, dengan pelbagai pendekatan memikat. Gerakerja Pakatan juga harus lebih ke hadapan, dan anak muda sentiasa memerhati dan menghakiminya.
III. Isu bonus buat Pakatan Rakyat; cabaran buat Harakah
Seorang rakan lama, bekas wartawan ekonomi, seperti lazimnya, mengirim SMS cadangan kepada Harakah setiap kali mendapat inspirasi baru. Petang 30 November lalu, dia memaklumkan: "Pengakuan Deepak, pendedahan Musa Hassan dan pengesahan Petronas tentang tindakan kerajaan persekutuan 'mengsonglap' royalti minyak Kelantan mesti dimanfaatkan secara besar-besaran dan berterusan oleh Harakah, dalam tempoh 15 bulan ini sebelum PRU13. Bola tanggung untuk kuburkan Umno-BN."
Banyak pihak suka mengaitkan siri wawancara Deepak Jaikishan dengan laman-laman bebas, dengan tragedi pembunuhan Altantuya Shaariibuu, termasuk menghubungkannya dengan Najib dan Rosmah Mansor. "Saya rasa kes ini tidak akan senyap sehingga kes Altantuya selesai dengan adil," kata Deepak kepada Harakahdaily.
Sidang akhbar bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang mendedahkan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein campur tangan dalam pasukan polis memang tidaklah menggemparkan. Namun ramai percaya, ia bukan terhenti setakat itu.
Dipercayai Musa mempunyai rahsia lebih besar, kemungkinan membabitkan kes-kes rasuah yang mempertaruhkan keselamatan negara dan hubungan baik di antara tokoh politik dan orang atasan tertentu dengan penjenayah yang ditangkap polis. Musa memberitahu media, terdapat pihak atasan yang menelefon pegawai kanan polis minta dilepaskan penjenayah tertentu
Mengenai isu royalti Petronas kepada kerajaan Kelantan, rakan saya itu meminta saya membaca tajuk muka 19, Utusan Malaysia, 30 November: "Petronas sudah luluskan royalti".
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Shamsul Azhar Abbas menjelaskan: "Petronas sedia maklum bahawa syarikat ini tidak pernah berhutang dan telah melunaskan pembayaran royalti kepada semua negeri dan kerajaan persekutuan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kepada kerajaan persekutuan. Terpulanglah kepada kerajaan persekutuan untuk membuat agihan itu sama ada dalam bentuk royalti atau wang ihsan."
Ya, saya kira Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Husam Musa ada hujah menarik mengulas kenyataan Shamsul Azhar itu dan pastinya merimaskan Mustapa Mohamed, serta membantutkan terus angan-angan BN Kelantan!
Dan tepat sekali, Husam sehari selepas itu menyifatkan tindakan Petronas membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan adalah satu jenayah pecah amanah: "Kerajaan persekutuan tidak menyampaikan pembayaran itu kepada kerajaan negeri Kelantan, tidak juga memasukkan ke dalam Akaun Wang Yang diSatukan Kerajaan Persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957 serta membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak akta yang sama."
Husam mengingatkan bahawa Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada tahun 1975 dengan Petronas dan tidak ada sebarang perjanjian antara Kelantan dan Kerajaan Malaysia. Menurut perjanjian itu, katanya, Petronas, bukan Kerajaan Malaysia, berjanji membayar secara langsung kepada Negeri Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun bilamana pengeluaran bermula.
"Semua pihak yang bersubahat menggunakan wang ini secara salah, termasuk jawatankuasa Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Dato' Dr Awang Adek juga melakukan jenayah pecah amanah yang sama," tegas Husam.