Thursday, December 20, 2012

Fathul Bari perlu rujuk buku 'Thawrah Sha'ab'


Salmiyah Harun, 19 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta Ulama Muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya merujuk semula tulisan Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam sebuah buku yang bertajuk 'Thawrah Sha'ab', sebelum melemparkan tuduhan beliau mempunyai ideologi Khawarij.

Presiden Abim Amidi Abd Rahman berkata tulisan Yusuf tersebut turut menjawab apa yang cuba dimainkan oleh Ulama Muda Umno itu.

"Tulisan beliau turut menjelaskan kebangkitan rakyat yang dimaksudkan mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan Fathul Bari patut rujuk buku tersebut," katanya.

Buku berkenaan diterjemahkan oleh Abim di mana ia mengumpul semua pandangan Yusuf Al-Qaradhawi terhadap kebangkitan rakyat Mesir.

Malah katanya, buku tersebut turut menggambarkan bagaimana pemikiran Yusuf dalam memahamkan umat Islam terhadap fikh kebangkitan, termasuk menyenaraikan ciri-ciri pemerintahan yang adil.

"Beliau juga memberi pencerahan bagaimana tunjuk perasaan yang dituntut, di mana letakkanya hukum dibolehkan unjuk perasaan dan demonstrasi," katanya kepada Harakahdaily.

Amidi tidak menolak kemungkinan Umno BN bimbang akan kebangkitan rakyat negara ini sebab itulah bermacam-macam label cuba dilemparkan kepada ulama tersohor itu.

Sehubungan itu, Abim akan mempergiatkan siri video rakaman Yusuf yang menyampaikan mesej kepada belia Islam di negara ini.

Justeru katanya, Fathul Bari harus baca dan tengok buku tersebut dan beliau digalakkan berbincang dengan Yusuf Al-Qaradhawi jika Ulama Muda Umno itu tidak bersetuju.

Sebelum ini, video Fathul Bari menyatakan pemikiran Yusuf mempunyai nilai-nilai pendukung Khawarij, yang tersebar dalam laman Youtube sejak beberapa bulan yang lalu dan kini sedang hebat dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook.





No comments:

Post a Comment