Isu muflis: Pemuda Umno guna media sosial dapatkan respon
Bernama
6:52PM Dis 10 2012
Pemuda Umno akan menggunakan media sosial untuk mendapat respons masyarakat mengenai isu muflis, menerusi platform 'Muflis Peluang Kedua' yang akan dilancar minggu depan.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan berkata melalui ruang yang disediakan menerusi blog, Facebook dan Twitter itu, orang ramai boleh menyalurkan idea dan pandangan mengenai kajian semula Akta Bankrap 1967.
Selain itu, satu forum mengenai isu muflis juga akan diadakan pada Januari ini, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Insolvensi, di Putrajaya hari ini.
Menurutnya langkah itu diambil memandangkan ramai golongan muda yang muflis enggan tampil bagi mencari penyelesaian dan akhirnya menyusahkan diri sendiri.
Kajian semula Akta Bankrap itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini dalam usaha kerajaan membantu rakyat yang muflis akibat beban hutang.
Usul mengenai Akta Bankrap itu dibawa Pemuda Umno pada perhimpunan itu.
Menurut Sohaimi, sehingga kini terdapat 242,846 orang diisytihar sebagai muflis dan hanya 30 peratus tampil mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Insolvensi.
Beliau berkata 20 peratus mereka yang muflis adalah dalam lingkungan umur 25 dan 34 tahun; 34 peratus mereka yang berusia 35 dan 44 tahun; dan 26 peratus kelompok usia 45 dan 54 tahun.
No comments:
Post a Comment