YB DATO' MOHD SHARKAR |
Pucuk pimpinan parti diminta menimbangkan hasrat peringkat akar umbi dalam meletakkan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Beberapa pemimpin Umno di negeri ini berpendapat pemilihan yang memenuhi aspirasi peringkat bahagian dan cawangan adalah bagi memastikan calon berkenaan benar-benar 'boleh menang' sementara pengumuman nama calon perlu dilakukan lebih awal.Bagaimanapun mereka berjanji akan tetap akur atas apa jua keputusan pucuk pimpinan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata langkah awal mengumumkan calon BN adalah penting bagi memastikan setiap gerak kerja kempen BN dapat disusun dengan lebih teratur.
"Kita akan akur dengan siapa juga calon yang diputuskan. Bagaimanapun kita berharap calon BN tidak diumumkan pada saat-saat akhir."Kita tidak mahu calon yang dikemukakan itu, orang tak berapa kenal.Akhirnya ada yang merajuk, akar umbi pun merajuk, susah nak pujuk orang yang merajuk ni," katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga Anggota Exco Kerajaan Negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lanchang yakin pucuk pimpinan akan menimbangkan hasrat peringkat akar umbi dalam memastikan calon yang diletakkan benar-benar memenuhi aspirasi di peringkat bahagian dan cawangan.
Ketua Umno bahagian Kuantan Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata Umno bahagian itu akan akur terhadap apa jua keputusan mengenai calon yang akan diletak bagi mewakili BN.
"Apa pun kita amat berharap pucuk pimpinan mengambil kira kehendak dan hasrat di peringkat umbi. Ini adalah penting bagi memastikan calon adalah calon yang mampu menang dan mendapat sokongan majoriti," katanya.Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur berkata semua anggota perlu kembali kepada asas perjuangan dan menerima sesiapa sahaja calon yang dipilih.
Timbalan Ketua Umno bahagian Pekan Datuk Ishak Muhammad berkata anggota dan pemimpin Umno perlu matang dalam mengharungi pilihan raya umum kali ini yang disifat sebagai paling sengit dalam sejarah negara.
"Kita mesti nyahkan pemimpin parti yang utamakan kepentingan diri, pemimpin yang main wayang dan gunakan Umno untuk mencari projek semata-mata," katanya.Beliau berkata peringkat akar umbi juga perlu bijak dalam membezakan pemimpin sama ada 'batu' atau 'permata'.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pahang Datuk Abu Jimi Samad berkata pergerakan itu akan menyokong sepenuhnya calon yang dipilih pucuk pimpinan dan akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan dua pertiga kepada BN.
Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Shahaniza Shamsuddin berkata beliau yakin pucuk pimpinan akan memastikan hanya mereka yang benar-benar mendapat restu di peringkat akar umbi yang akan dicalonkan.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak acap kali menegaskan calon BN dalam pilihan raya nanti mestilah yang boleh menang. Ini bererti pucuk pimpinan akan mengambil kira suara dan hasrat di peringkat akar umbi dalam menentukan calon," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment