Sunday, September 12, 2010

ILMU ASAS KEMAJUAN SAHSIAH UMAT ISLAM

Ilmu adalah suatu asset yang amat berharga dengan nilainya yang lebih tinggi daripada intan. Ia diibaratkan olih para ulama’ seperti nyawa (Nyawa dizahirkan olih denyutan nadi – Ilmu dizahirkan olih hasil tingkahlaku pemiliknya). Ertinya ilmu sama penting dan sama nilainya dengan nyawa. Sesiapa yang tidak berilmu seolah-olah ia berjalan tanpa nyawa (mati)

Imam Al-Ghazaly r.a. pernah berkata:
…” Barang siapa yang tidak melalui pertambahan ilmu dan pengetahuan dalam masa 7 hari hidupnya, maka jiwa, akal dan hatinya lesu. Dan Barang siapa dalam masa 40 hari hidupnya tanpa pertambahan ilmu, maka jiwa, hati dan akalnya mati”…

Beginilah erti pentingnya ilmu. Aset hartabenda bolih dicari dan diusahakan dengan senang, tetapi ilmu, pengetahuan, kepakaran, kemahiran, kebolihan menjadi aset yang kekal dan akan dibawa di kehidupan alam akhirat. Manakala hartabenda tinggal di dunia.

Dalam pada itu, masih ramai orang yang merasakan dan menganggap ilmu tidak penting. Bagi umat Islam yang sempurna akal sepatutnya tahu bahawa agama Islamlah yang pertama dibentuk dengan ilmu dan membentuk ilmu pengetahuan. Lihat sahaja 5 ayat pertama yang diturunkan itu: Surah al-‘Alaq (Iqra’) – dimana simbolik & konsepnya adalah ilmu.

Menurut Burhanuddin  Az-Zarnuji (13 Masihi) di dalam kitabnya: Ta’limul Muta’allim-Tariqut Ta’allum.

…”Seorang muslim atau muslimat mestilah mengetahui sebanyak yang terdaya untuk menjalani hal ehwal kehidupannya dengan sempurna seperti yang dituntut olih Islam, meliputi berbagai aspek kehidupan”…

Walaupun umat Islam telah mewarisi martabat keilmuan sejak abad-berabad – tetapi umat Islam tidak upaya menjadikannya sebagai suatu budaya yang baik bagi seluruh umat Islam di dunia.

Penulis Jepun Yukichi Fukuzawa (1982) dengan judul bukunya “Galakan Pelajaran” telah dijual pada tahun 1982 sebanyak 600,000 naskhah. Sambutan baik orang Jepun kepada buku ini kerana kandungannya mencabar manusia,  khususunya rakyat Jepun. Dalam buku itu antara lain menyebut:

…”Manusia tidak dilahirkan hina atau mulia, kaya atau miskin, tetapi dilahirkan sama dengan yang lain. Sesiapa yang gigih belajar dan menguasai ilmu dengan baik akan menjadi mulia dan kaya, tetapi kereka yang jahil akan menjadi papa dan hina”…

Mengenai budaya ilmu Jepun ini seorang Professor dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat pernah mengatakan:

…”Satu factor yang bolih menjelaskan kejayaan Jepun ialah kepekaan pemimpin, institusi dan rakyat Jepun terhadap kepentingan ilmu dan maklumat, dan kesungguhan mereka mengumpul dan menggunakan ilmu adalah untuk faedah orang jepun”…

Barat pula menganggap bahawa ilmu sebagai satu kuasa (knowledge is power) – pemimpin dan pentadbir bolih merancang dan melaksanakan dasar yang bolih mengembangkan lagi ilmu – sekaligus ilmu menjadi sumber kekuatan. Ilmu pada mereka  mewarnai seluruh tamadun Barat – dualisme, humanisme dan tragedy. Ilmu dipelajari dan hikmahnya dihormati.

Umat Islam, sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber ilmu, kepakaran dan kemahiran. Tetapi yang menjadi suatu “nightmare” (mimpi ngeri) bagi umat Islam ialah untuk menanamkan minat, untuk merubah tanggapan, sikap dan kurang keyakinan tentang kepentingan ilmu. Ini yang menjadi masalah besar. Sebahagian besar masih kurang didedahkan kepada sejarah kegemilangan umat Islam terdahulu.

Menuntut ilmu dan memperolehi ilmu melalui pembacaan dan penyelidikan belum menjadi budaya hidup. Sebab itulah umat Islam masih jauh ketinggalan dalam bidang ilmu, terutamanya dalam usaha menerokai ilmu fardhu kefayah (khazanah ilmu Allah yang tersirat).

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. amat menekankan bahawa untuk mengecapi kebahagian dan kemajuan di dunia dan kesejahteraan di akhirat hendaklah memiliki ilmu.

Sebagaimana maksud sabda Baginda:

…” Barangsiapa yang mahukan kebahagian di dunia hendaklah ia berilmu, dan barangsiapa yang inginkan kesejahteraan di hari akhirat hendaklah ia berilmu. Begitu juga sekiranya ia mahukan kebahagian di dunia dan di akhirat maka hendaklah juga ia memiliki ilmu”…

Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.

Bermaksud:
…” Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (hartabenda atau pengaruh),nescaya ia tidak dapat mencium bau syurga di hari kiamat kelak”…

(Abu Daud dan Ibnu Majah)

Olih itu seseorang penuntut ilmu hendaklah membersihkan hatinya, supaya ilmu dan amal yang diusahakannya sungguh--sungguh kerana Allah.

Mengenai hal ini Imam al-Ghazaly dan para ulama’ yang lain telah membahagikan penuntut-penuntut ilmu kepada tiga bahagian:

Pertama: Orang yang menuntut ilmu kerana Allah dan untuk keselamatannya pada hari akhirat, maka ia adalah dari kalangan orang-orang yang berjaya.

Kedua:     Orang yang menuntut ilmu untuk mendapatkan kemulian, kebesaran dan harta kekayaan, dalam pada itu ia menyedari akan tujuannya yang buruk itu. Orang yang demikian jika ia bertaubat dan menyelamatkan dirinya daripada perbuatan yang salah oitu, maka ia termasuklah dalam golongan orang-orang yang berjaya.

Ketiga:    Orang yang menuntut ilmu dengan tujuan mendapat harta kekayaan dan pangkat kebesaran, dengan menyangka bahawa ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, kerana ia berlagak seperti alim-ulama’ pada pakaian dan tutur-katanya, maka orang demikian adalah golongan orang yang binasa kerana ia dihalangi dari bertaubat dan menyangka ia berada di jalan yang benar.

Di negara kita Malaysia, sejak merdeka tahun 1957 hingga kini berbagai usaha telah dilaksanakan Kerajaan memerintah dalam menyediakan prasarana ilmu, dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat tertinggi institusi pengajaian tinggi (IPT). Berbagai ilmu di peringkat asas, pertengahan dan lanjutan telah disediakan. Keseimbangan untuk mendapatkan ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah bolih di diperolehi di setiap mukim, daerah dan negeri. Justru, tidak harus lagi ada alas an yang mengatakan bahawa diri dan ahli keluarga mereka tidak berpeluang mendapat tempat menuntut ilmu dan pengajian.

Olih itu bersama-samalah kita memperlengkapkan diri kita dan setiap ahli keluarga kita dengan ilmu, kemahiran,
Dan sekiranya berkemampuan menjadi pakar di dalam sesuatu bidang dan cabang ilmu. Bagi mereka yang Allah telah kurniakan dengan ilmu, hendaklah bertanggungjawab pula menyampaikan kepada orang lain yang memerlukannya.

Sesuai dengan peringatan Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olih Abu Hurairah:

Maksudnya:

…”Sesiapa yang ditanyakan kepadanya mengenai sesuatu ilmu (agama) lalu ia menyembunyikannya, nescaya Allah mengekangkan mulutnya dengan kekang dari api neraka di hari kiamat kelak”…


Sekian, wasslamu’alaikum…

No comments:

Post a Comment