Tuesday, September 14, 2010

RENUNGAN DARI SUNNAH-HADITH NABI

Hadith (3)

Amalan Rasuah Berleluasa

Maksud hadith RasululLah SAW,
Daripada Mu'az bin Jabal (Rh) berkata, aku telah mendengar RasululLah SAW bersabda"Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian, tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataan kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut jadi fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya".

Riwayat At-Thobrany dan Abu Na'im

Keterangan Ringkas:

Di akhir-akhir ini di seluruh negara Islam dan negara Umat Islam termasuk Malaysia, amalan rasuah di kalangan umat Islam sudah sampai ke peringkat kritikal. Wang mempunyai kuasa untuk menjadi senang dan kaya,wang menyelamatkan seseorang pesalah dari hukuman, jawatan dan pangkat dibeli dengan wang, wang juga digunakan untuk mempengaruhi individu berkuasa untuk mendapat kemudahan, kerja-kerja kontrak (runding-terus), Wang boleh menutup dan menghilangkan imej buruk seseorang dan wang membunuh diri sendiri.

Bagi orang yang tamak dan rakus, wang disembah dan dipuja. Dalam keadaan sebegini rupa, orang tidak mempedulikan langsung soal hukum dan dosa berat Allah SWT di akhirat kelak. Maka musnahlah akhlaq umat Islam, runtuhlah budi, yang wujud dan berleluasa ialah kezaliman dan kuasa. RasululLah tidak menggalakkan umatnya memohon sesuatu jawatan dan pangkat, apatah lagi membeli dengan wang untuk menjadi pemimpin, merasuah pengundi untuk menang dalam perebutan jawatan. Ini suatu tindakan yang hina dan keji. Yang paling memalukan ialah amalan rasuah kini berlaku di institusi pendidikan seperti sekolah dan IPT. Penguasa di sogok dan dijanjikan hadiah dan habuan lumayan, sekiranya kontraktor atau pembekal yang berurusan ditawarkan kerja-kerja pembekalan atau pemborongan perabut, buku, alat bantuan pembelajaran, komputer dan sebagainya.Amalan seumpama ini berlaku secara terancang dan bersahaja, hingga susah untuk dibuktikan. Hanya Allah yang mengetahui segala-galanya.

Dalam sebuah hadith yang yang lain,
Hadith (4)

An-Nasai meriwayat sebuah hadith daripada Abu Hurairah (Rh), Ia berkata RasululLah SAW pernah bersabda, maksudnya "Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, dari sumber yang halal atau pun haram".

No comments:

Post a Comment